Powered By Blogger

Monday, April 11, 2016

Susun Kelapa: Antara Penawar dan Racun

Pokok susun kelapa atau Tabernaemontata divaricata dikategorikan sebagai tumbuhan renek yang sederhana tinggi dan tumbuh setinggi dua meter. Pokok ini mempunyai silara yang rimbun, daun yang berkilat, dan berbentuk bujur serta meruncing ke hujung. Susun kelapa tidak memerlukan penjagaan yang rapi dan berbunga sepanjang tahun. Tumbuhan renek ini sesuai ditanam di tempat terbuka dan lazimnya dijadikan tanaman hiasan atau tanaman pagar.
Selain ditanam untuk tujuan perhiasan, susun kelapa juga mempunyai banyak kegunaan dalam perubatan tradisional. Jus daripada bahagian daun yang ditumbuk digunakan bagi melegakan batuk. Getah putih yang diperoleh daripada bahagian daun dipercayai dapat menyejukkan badan dan mengurangkan bengkak pada luka.



Bahagian akar pokok ini digunakan untuk merawat sakit  mata, demam, cirit-birit, dan sakit perut. Akar yang dikunyah pula digunakan untuk melegakan sakit gigi. Susun kelapa juga dipercayai digunakan dalam campuran ramuan herba bersalin, mengurangkan masalah senggugut. dan mengubat resdung.
Dalam bidang mikrobiologi, ekstrak berakues, etanol, dan metanol daripada daun pokok susun kelapa dapat merencatkan pertumbuhan bakteria seperti Staphylococcus aureus, Streptococcus agalactiae, Streptococcus uberis, dan Escherichia coli.
Kajian lain yang dilakukan ialah kesan ekstrak tumbuhan ini dalam mengatasi masalah kegemukan. Ekstrak metanol daripada bahagian daun susun kelapa didapati berjaya menurunkan berat badan pada tikus obes. Palam kajian antidiabetic pula. mendapati bahawa pemberian rawatan menurunkan aras glukosa di dalam darah tikus.



Selain jtu, ada kajian awal untuk melihat kesan ekstrak daripada bahagian akar pokok susun kelapa terhadap tekanan darah dan degupan jantung haiwan makmal. Penyelidik di Thailand mendapati ekstrak etanol daripada bahagian akar pokok ini merendahkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik pada jantung tikus kajian.
Dalam kajian lain, ahli sains juga mendapati bahawa pemberian ekstrak metanol daripada bahagian bunga pokok susun kelapa dapat mengurangkan risiko kejang otot atau pengecutan anggota badan tikus kajian.
Satu lagi kajian dijalankan untuk membuktikan kegunaan pokok susun kelapa dalam mengubati sakit perut. Kajian tersebut menunjukkan bahawa tikus kajian yang dikawal dengan sediaan ekstrak metanol daripada bahagian bunga susun kelapa mengurangkan masalah saluran gastro usus.


Selain itu, ekstrak daripada bahagian daun pokok susun kelapa berkesan dalam mengurangkan kandungan atau bilangan radikal bebas di dalam badan. Sudah tentu pokok ini juga dapat digunakan sebagai sumber antioksidan semula jadi dalam bidang pemprosesan makanan, kesihatan, dan perubatan.
Pokok susun kelapa sering dijadikan tanaman hiasan di taman awam dan kawasan perumahan. Orang ramai terutama kanak-kanak perlu berhati-hati kerana getah putih yang dihasilkan daripada pokok ini bersifat menghakis dan menyebabkan kegatalan pada kulit sensitif.
Selain itu, bahagian akar dan daun susun kelapa mengandungi bahan kimia yang meninggalkan kesan keracunan yang lazim seperti loya, muntah, dan sedikit menggigil. Jika terkena pada dos yang tinggi, getah susun kelapa ini menyebabkan seseorang itu mengalami halusinasi, penurunan tekanan darah, lemah denyutan nadi sehingga berlaku kegagalan fungsi jantung, sawan, lumpuh anggota badan, dan kegagalan fungsi pernafasan.
Penemuan saintifik ini membantu kita untuk memahami tumbuhan ubatan di sekeliling kita. Diharapkan ada lebih banyak penemuan baharu pada masa akan datang yang dapat memberikan pelbagai manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Sumber:
"Susun Kelapa antara Penawar dengan Racun" , Dewan Kosmik, Mac 2013)

      Foto:  Koleksi peribadi

Thursday, June 11, 2015

NASIHAT LUQMAN AL-HAKIM KEPADA ANAKNYA

Satu-satunya manusia yang bukan nabi, bukan pula rasul tapi kisah hidupnya diabadikan dalam al-Quran ialah Luqman al Hakim. Ibnu Katsir berpendapat bahwa nama panjang Luqman ialah Luqman bin Unaqa' bin Sadun manakala asal-usul Luqman, sebahagian ulama berbeza pendapat. Ibnu Abbas menyatakan bahawa Luqman adalah seorang tukang kayu dari Habsyi. Riwayat lain menyebutkan,  ia bertubuh pendek dan berhidung mancung dari Nubah, dan ada yang berpendapat ia berasal dari Sudan. Ulama lain pula menyebut bahawa Luqman adalah seorang hakim pada zaman nabi Daud.
Kenapa kisah Luqman al – Hakim diceritakan dalam al-Quran? Tidak lain kerana hidupnya penuh dengan hikmah. Suatu hari ia pernah menasihati anaknya tentang hidup .
Anakku, jika makanan telah memenuhi perutmu, maka akan matilah fikiran dan kebijaksanaanmu. Semua anggota badanmu akan malas untuk melakukan ibadah, dan hilang pulalah ketulusan dan kebersihan hati padahal hanya dengan hati bersih manusia dapat  menikmati lazatnya berzikir anakku. Kalau sejak kecil engkau rajin belajar dan menuntut ilmu, dewasa kelak engkau akan memetik buahnya dan menikmatinya .
Anakku.ikutlah engkau pada orang-orang yang sedang mengusung jenazah, jangan kau ikut orang orang yang hendak pergi ke majlis perkahwinan kerana jenazah akan mengingatkan engkau pada kehidupan yang akan dating sedangkan majlis perkahwinan akan membangkitkan nafsu duniamu.
Anakku,  aku sudah pernah memikul batu-batu besar, aku juga sudah mengangkat besi-besi berat tapi tidak pernah kurasakan sesuatu yang lebih berat daripada tangan yang buruk perangainya.
Anakku, aku sudah merasakan semua benda yang pahit tapi tidak pernah kurasakan yang lebih pahit dari kemiskinan dan kehinaan .

Anakku, aku sudah mengalami penderitaan dan bermacam-macam kesusahan tetapi aku belum pernah merasakan penderitaan yang lebih susah daripada menanggung hutang.

Anakku, sepanjang hidupku aku berpegang pada lapan wasiat para nabi. Kalimat itu adalah :
1-    Jika kau beribadah pada Allah, jagalah fikirannmu baik-baik
2-    Jjika kau berada di rumah orang lain, maka jagalah pandanganmu
3-    Jika kau berada dalam majlis, jagalah lidahmu
4-    Jika kau hadir dalam jamuan makan, jagalah perangaimu
5-    Ingatlah Allah selalu
6-    Ingatlah maut yang akan menjemputmu
7-    Lupakan budi baik yang kau lakukan pada orang lain
8-    Lupakan semua kesalahan orang lain terhadapmu


Antara nasihat Luqman yang terdapat dalam al-Quran, Surah Luqman ialah:

1). Tidak melakukan syirik  (Luqman [31]:13)
2). Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa  ( Luqman [31]:14)
3). Allah Maha Mengetahui ( Luqman [31]:16)
4). Dirikan salat (Luqman[31]:17)
5). Perbuat amal kebajikan ( Luqman [31]:17)
6). Jauhi kemungkaran ( Luqman [31]:17)
7). Sabar menghadapi ujian atau musibah ( Luqman [31]:17)
8). Jangan sombong ( Luqman [31]:19)
9). Sederhana cara berjalan (Luqman: 19)
10). Melunakkan Suara (Luqman: 19)


Semoga bermanfaat untuk kita semua. 

Saturday, April 25, 2015

Pemakanan Cegah Kanser

Artikel dari halaman PERUBATAN ISLAM bersama HAJI LOKMAN ABDUL HAMID  yang disiarkan di akhbar Berita Harian bertarikh 6 Januari 2013.


SOALAN
EMPAT tahun lalu. saya pernah mendapat penyakit kanser kolon, tahap tiga. Saya telah menjalani pembedahan membuang bahagian kolon yang ada kanser dan menjalani kemoterapi sebanyak enam kali. Alhamdulillah, setakat ini saya sihat dan tiada tanda menunjukkan kanser kembali. Bagaimanapun saya harap Tuan Haji Lokman dapat memberi penjelasan bagaimana untuk mencegah penyakit kanser melalui pemakanan.

■ Rahim Osman, Pulau Pinang


SEBELUM ini saya telah menerangkan kaedah mengubati kanser dari perspektif moden dan al-Quran. Kali ini saya akan berbicara mengenai kaedah mencegah kanser melalui pemakanan. Dalam pengalaman saya mengubati pesakit kanser di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, ini adalah salah satu soalan yang selalu ditanya pesakit terutama yang telah menjalani pembedahan dan rawatan kemoterapi atau radioterapi. Mereka telah sihat tetapi tidak mahu kanser datang kembali (cancer relapse atau cancer recurrence.)

Nabi Muhammad SAW bersungguh-sungguh menyeru prinsip "mencegah lebih baik daripada mengubati". Dalam mencegah penyakit kanser, ada tiga faktor yang kita perlu fokus iaitu gaya hidup sihat. diet seimbang  dan stres minimum. Tidak dinafikan, antara punca utama kanser adalah gaya hidup tidak sihat seperti merokok, mengambil minuman keras, tekanan emosi atau stres berterusan manakala faktor utama adalah pemakanan tidak teratur dan seimbang. Ini pendorong kuat kepada kanser membarah di dalam tubuh.

Justeru, dengan mengambil berat kepada tiga faktor ini, insya-Allah kanser dapat dielakkan. Makanan mengandungi pH alkali tinggi dapat mengelakkan serangan kanser, malah mampu membantu menyembuhkan seseorang yang menghidap kanser. Malangnya, kebanyakan rakyat Malaysia, gemar memilih diet dengan pH berasid.

Apa itu diet beralkali?

DIET berakali melibatkan pengambilan minimum makanan seperti daging merah (lembu dan kambing). daging ayam, ikan, makanan laut. makanan berasaskan susu seperti mentega, keju, ais krim, tepung, teh, kopi, makanan segera. minuman soda dan gula. Kebanyakannya adalah makanan asasi dan kesukaan rakyat Malaysia. Makanan ini meningkatkan kandungan asid dalam badan seseorang. Diet berakali tinggi adalah makanan berunsur sayur-sayuran dan buah-buahan, biji-bijian, kurma, habatus-sauda, madu, jus buah-buahan. teh hijau dan makanan berunsur soya seperti tempe dan tau fu faa.

Makanan ini meninggalkan alkaline ash atau persekitaran tubuh berakali.

Sayur-sayuan yang kaya dengan kandungan anti kanser
Bagaimana diet beralkali pengaruhi sel kanser?

KAJIAN makmal membuktikan, sel kanser dalam tabung uji lebih cepat membiak dalam persekitaran berasid. Apabila tahap asid dikurangkan maka didapati ketumbuhan kanser lebih lambat. Dengan memilih diet yang menjadikan pH di dalam tubuh seseorang lebih berakali. maka potensi untuk kanser tumbuh dan membiak adalah berkurang. Makanan  berakali tinggi menghasilkan persekitaran sukar untuk kanser membiak dan merebak.

Sel kanser tidak boleh membiak dalam persekitaran yang tinggi kandungan oksigen. Apabila kandungan oksigen rendah, ia menggalakkan pembiakan kanser. Apabila sel tisu dalam badan inempunyai kandungan alkali tinggi, ia berupaya menampung kandungan oksigen tinggi berbanding sel tisu berasid tinggi. Dengan memastikan kandungan pH alkali di dalam badan tinggi, ia dapat melindungi sel di dalam badan daripada diserang kanser. Kesimpulannya, semakin tinggi tahap alkali dalam badan, semakin banyak kandungan oksigen dapat ditampung dalam badan, maka semakin nipis peluang sel kanser membiak. Adalah digalakkan memakan banyak makanan berasaskan buah-buahan dan sayur-sayuran, makanan mengandungi kandungan serat tinggi, jus buah-buahan terutama sekali jus lobak merah. Ini bukan bermakna pesakit kanser tidak boleh mengambil diet berasid tinggi, tetapi dinasihatkan mengurangkan pengambilannya.

Makanan yang perlu dikurang atau dielakkan

1. Daging merah
Sel kanser tumbuh dengan cepat pada persekitaran berasid. diet daging bersifat asid sangat tinggi. Daging mengandungi antibiotik ternak yang menumbuhkan hormon dan parasit berbahaya, terutama kepada pesakit kanser. Diet lebih baik adalah memakan ikan dan ayam kerana walaupun bersifat asidik tetapi tahap kandungan asid tidak setinggi daging merah.

2. Gula
Gula adalah 'hayat kanser'. Dengan mengurangkan pengambilan gula, bererti kita mengurangkan hayat atau potensi sel kanser. Gula terbaik adalah gula semulajadi seperti madu. Madu tergolong di dalam makanan bersifat alkali.

3. Garam
Garam yang digunakan dalam masakan mempunyai tambahan kimia untuk membuat warna putih dan tahan lama. Garam yang lebih baik adalah garam laut.

4. Makanan laut cengkerang
Kebanyakan makanan laut cengkerang aeperti kerang, ketam dan kepah mengandungi banyak kimia dan toksik yang boleh menggalakkan pembiakan kanser.

        5. Kopi, teh, coklat
Ketiga-tiga diet ini mempunyai kandungan kafein tinggi. Kafein mengandungi kandungan asid tinggi. Teh hijau adalah alternatif terbaik melawan kanser. Amalan meminum air bersih ditapis adalah baik bagi menghindari racun atau bahan kimia di dalam air memasuki tubuh. Hari ini kita melihat banyak produk pengganti gula di pasaran, namun kita harus menyiasat terlebih dahulu adakah produk itu berkesan atau lebih buruk daripada gula.

6. Makanan cuka tinggi
Elakkan memakan makanan dijeruk seperti jeruk buah-buahan.

7. Makanan berminyak
Elakkan memakan makanan berminyak seperti makanan goreng. Utamakan makanan kukus atau disediakan menggunakan ketuhar.

8. Hindari alkohol
Minuman mengandungi kandungan alkohol tinggi menyumbang kepada tahap asid tinggi. Kerana itu, Islam melarang umatnya meminum minuman yang mengandungi alkohol dan memabukkan.

9. Makanan kandungan lemak tinggi
Kanser melemahkan sistem imunisasi seseorang. Pemakanan seimbang boleh menguatkan sistem pertahanan tubuh dan melawan semula jangkitan penyakit. Diet sihat mempercepatkan penyembuhan tisu rosak akibat kanser atau kemoterapi. Rawatan kemoterapi boleh membuatkan seseorang kurang selera makan. Kadangkala pesakit dijangkiti penyakit ulser di dalam mulut dan lidah menyebabkan rasa sakit menelan atau mengunyah. Kadangkala ubat kemoterapi boleh menghilangkan selera makan. Semasa menjalani kemoterapi, pesakit berasa penat dan emosi mereka lebih tertekan. Hilang selera makan boleh berlarutan sehingga berminggu atau berbulan. Adalah mustahak pesakit kanser memaksa diri untuk makan meskipun tidak ada selera.  Apabila makan, badan menjadi kuat untuk melawan jangkitan kuman dan membaiki tisu tubuh yang rosak akibat rawatan kemoterapi. Kesimpulannya, pesakit kanser perlu menyedari kepentingan diet seimbang. Ini untuk mengawal pembiakan sel kanser di dalam badan pesakit.

Jika pesakit mengamalkan diet yang sama seperti sebelumnya, ini akan membahayakan. Ini kerana bila seseorang menghidap kanser. mereka perlu menukar cara pemakanan dengan mengambil diet lebih bersifat alkali seperti sayur-sayuran dan buah-buahan bagi mengurangkan diet berasid. Selain pemakanan seimbang, pesakit kanser mesti mengamalkan cara hidup sihat iaitu memastikan waktu tidur dan rehat mencukupi, serta mengawal tekanan emosi dan stres, perbanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan melakukan solat sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.  Bila hati dan jiwa kita dekat dengan Allah, hati lebih tenteram dan datang rasa reda kepada Allah atas penyakit yang dihadapi. Nabi Muhammad bersabda "Berubatlah kamu dengan dua perkara - madu dan al-Quran" (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Madu adalah ubat segala penyakit tetapi dengan syarat tidak menjadikan madu atau ubat sebagai pegangan menyebabkan kita sembuh, itu adalah dengan keizinan Allah semata-mata untuk menyembuhkan kita. Jadi, di sini wajar pesakit kanser mengamalkan sunah Nabi iaitu dengan menggantikan pengambilan gula dengan madu kerana sifat alkalinya yang tinggi. Kajian saintis Barat menunjukkan madu sebagai satu alternatif sihat mengganti gula. Disebutkan dalam hadis Abu Dzar bahawa Nabi bersabda tentang air zamzam "Sesungguhnya air zamzam itu penuh berkat, sesungguhnya ia makanan yang mengenyangkan". Abu Daud Ath-Thayalisi menambah dalam musnadnya "Dan penyembuh penyakit". (Hadis Riwayat Muslim).

D dalam proses penyembuhan penyakit kanser digalakkan agar pesakit meminum air zamzam sebanyak mungkin. Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah ada menganjurkan pakej umrah untuk pesakit dan orang ramai. Selalunya pesakit yang menyertai pakei umrah ini, selain melakukan perubatan di Tanah Suci, disyorkan meminum air zamzam sebanyak mungkin bagi membantu proses rawatan di samping mengamalkan bacaan ayat al-Quran yang telah diberikan. Nabi Muhammad SAW bersabda "perut adalah tempat bermula pelbagal penyakit" (Hadis Riwayat Muslim).

Jadi di sini memang wajar umat Islam mengambil berat tentang jenis makanan dan diet yang diambil setiap hari agar tubuh kita sihat dan dapat menikmati kualiti hidup. Nabi SAW bersabda "Seorang mukmin yang sihat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada seorang mukmin yang lemah.
" (Hadis Riwayat Muslim).

Kita sebagai seorang mukmin wajib menjaga kesihatan agar menjadi seorang yang sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat.








Awas, Jangkitan Parasit Kucing!

Artikel  daripada halaman SOAL JAWAB DOKTOR bersama PROF. MADYA DR. NIK HAZLINA NIK HUSSAINPenyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi) Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan yang disiarkan di akhbar Berita Harian bertarikh 6 Januari 2013.. 




SAYA ialah seorang penggemar kucing. Saya mempunyai 10 ekor kucing di rumah, kebanyakannya kucing kampung. Untuk pengetahuan doktor, saya sedang mengandung anak pertama dalam empat bulan. Saya tidak mengalami apa-apa alahan atau masalah perubatan semasa hamil. Kawan baik saya ada memberitahu akan masalah yang mungkin timbul kepada bayi dalam kandungan jika kita membela kucing. Motion penjelasan daripada doktor?



■ Penggemar kucing. Selangor.

JAWAPAN:
Haiwan jinak seperti kucing sememangnya kerap dijadikan haiwan peliharaan di rumah. Tetapi sekiranya anda sedang hamil, mungkin anda perlu mengehadkan masa bersama dengan haiwan peliharaan khususnya dari segi pengendalian najis kucing. Membela kucing boleh memberikan kesan negatif kepada kehamilan. Keadaan ini berkait rapat dengan sejenis parasit iaitu protozoa yang dikenali sebagai toxoplasma gondii yang membiak di dalam usus kucing dan didapati di dalam najisnya dan juga dalam tanah.

Parasit ini menyebabkan sejenis jangkitan yang sering ditemui iaitu toksoplasmosis yang tidak membahayakan orang dewasa tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan serius kepada bayi dalam kandungan. Ini boleh mendatangkan ancaman jangkitan toksoplasma yang boleh memberi kesan kepada anak dalam kandungan. Ramai wanita dijangkiti oleh parasit toksoplasma tetapi tidak menyedari hakikat ini kerana parasit ini tidak memberikan tanda yang ketara.

Isu yang paling dikhuatiri ialah apabila jangkitan parasit itu dialami buat kali pertama ketika mengandung. Ramai ibu yang sedang hamil tidak mengetahui bahaya parasit berkenaan kerana ia tidak mendatangkan petanda luar biasa seperti sesak nafas atau demam tinggi.

Sebaliknya, ibu yang dijangkiti akan mendapat demam serta selesema biasa. kelenjar limfa membengkak. sakit otot, kekejangan dan sakit sendi. Gejala sebegini selalu dianggap sebagai "keadaan biasa" oleh ibu hamil dan doktor yang merawatnya. Proses penyebaran boleh berlaku berpunca daripada najis haiwan peliharaan yang menyebabkan toksoplasmosis atau dalam dunia perubatan digelar jangkitan yang disebabkan oleh parasit toksoplasma yang menyerang jaringan saraf manusia.

Menjangkiti bayi
Seorang wanita yang dijangkiti sama ada sebelum atau semasa hamil, boleh menjangkiti bayi yang dikandung. Toksoplasmosis kongenital adalah satu masalah perubatan yang mana bayi dalam kandungan dijangkiti melalui uri (plasenta). Jika seorang wanita menerima pendedahan pertama kepada toksoplasmosis ketika mengandung, bayi akan berisiko tinggi. Risiko bayi termasuk mati dalam kandungan, buta mata dan kecacatan otak termasuk 'retardasi mental'. Jangkitan paling biasa diperolehi menerusi sentuhan dengan kucing serta najis mereka. Toksoplasma juga boleh dijangkiti apabila wanita mengendalikan daging mentah atau separuh masak.


Peringatan
Sebagai peringatan kepada wanita khususnya yang sedang hamil dan berusaha untuk hamil. anda perlu mengehadkan masa bersama haiwan atau pengurusan najis haiwan itu. Pengurusan najis haiwan ini boleh dilakukan oleh suami atau orang lain. Dengan cara ini moga anda dapat mengelak risikojangkitan kali pertama ketika hamil. Lebih utama ia dapat mengurangkan risiko bayi menghidapi toxoplasmosis kongenital.

Jika doktor mengesyaki yang ibu mempunyai jangkitan toksoplasmosis aktif, ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran antibodi yang mengesahkan jangkiMa ini: Jika ibu disahkan mendapat jangkitan. ujian lanjutan seperti amniosintesis dan ujian imbasan ultrabunyi akan dilakukan ke atas bayi dalam kandungan. Ibu akan diberi ubat khusus jika bayi disyaki telah dijangkiti. agar gejala yang akan dialami oleh bayi apabila lahir dapat dikurangkan.



Rawatan
Rawatan ini diteruskan ke atas bayi selepas dilahirkan. Sebaliknya. jika bayi dalam kandungan belum dijangkiti. ibu akan diberi ubat antibiotik khusus supaya risiko jangkitan kepada bayi dapat dikurangkan sehingga 50 peratus. Bayi-bayi yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu yang mendapat jangkitan toksoplasmosis haruslah diuji agar tidak mempunyai sebarang gejala semasa dilahirkan dan terus diberi rawatan.

Langkah-langkah pencegahan sepeti berikut dapat mengurangkan insiden ia berlaku. Antaranya dengan membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan, mengelakkan pemakanan daging mentah atau tidak sempurna dimasak, membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak perlu dimasak sebelum dimakan, menggunakan sarung tangan semasa berkebun atau semasa mengendalikan tanah dan akhir sekalj elakkam daripada menyentuh najls kucing. Elakkanlah membela kucing semasa hamil seklranya langkah ini sukar dilakukan.


Sunday, February 15, 2015

Pengurusan Kewangan: Kemahiran Untuk Semua Orang


Hutang isi rumah negara pada 2013 dilaporkan telah mencecah 86.7% berbanding nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar.

Merujuk kepada data Jabatan Insolvensi Malaysia pula, seramai 134,550 orang individu diisytihar muflis sepanjang tahun 2007 hingga Jun 2014. Secara purata, angka ini menunjukkan seramai 68 orang diisytiharkan muflis setiap hari. Golongan berumur 35 hingga 44 tahun mencatatkan peratusan tertinggi, iaitu 34.23 peratus, diikuti kumpulan berumur 45 hingga 54 tahun sebanyak 26.70 peratus, manakala golongan berumur 25 hingga 34 tahun mencatatkan 20.27 peratus.

Utamakan keperluan daripada kehendak


Langkah penjimatan dan perancangan kewangan sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup keluarga.

Jika dilihat kepada punca muflis pula, data Jabatan Insolvensi Malaysia, antara tahun 2007 hingga 2013, mendapati hutang disebabkan oleh sewa beli kenderaan mencatatkan sebanyak 30,452 kes, diikuti pinjaman perumahan 20,529 kes, pinjaman peribadi sebanyak 18,053 kes dan pinjaman perniagaan sebanyak 14,431 kes.
Masalah ini timbul disebabkan mereka gagal menguruskan kewangan dengan baik. Begitu juga dengan tahap kesedaran mereka terhadap kesan yang akan dihadapi oleh mereka apabila tidak membayar hutang.  Apabila mereka gagal melunaskan hutang, maka nama mereka akan  disenaraihitamkan. Oleh itu, apabila mereka ingin membuat permohonan membuat pinjaman pada masa akan datang, permohonan tersebut tidak diluluskan oleh pihak institusi kewangan.

Baru-baru ini, dilaporkan sebanyak 183,486 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) langsung tidak membuat sebarang pembayaran sejak tahun 2010. Peminjam ini diberi peluang untuk berbincang mengenai kaedah pembayaran balik sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

Pengetahuan dan kesedaran tentang pengurusan kewangan perlu diberikan di peringkat kanak-kanak tadika, pelajar sekolah, mahasiswa pengajian tinggi, pekerja muda dan semua peringkat umur. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) pada tahun 2012, 47 peratus pengguna muda berumur 18 tahun hingga 35 tahun menghadapi masalah hutang yang serius. Manakala, 37 peratus daripada mereka berbelanja di luar kemampuan. Purata perbelanjaan menggunakan kad kredit pula sebanyak RM702 sebulan. Ini menunjukkan kehidupan dan kos sara hidup generasi pengguna pada masa kini semakin mencabar.

Terdapat juga kes penipuan kad kredit melalui penggilan telefon

Pengguna perlu bijak dan mencari alternatif bagi mempelbagai sumber pendapatan. Langkah penjimatan dan perancangan kewangan sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup keluarga. Pengguna muda perlu mengatur belanjawan peribadi untuk keluarga. Amalkan prinsip 'Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian'.

Berikut ialah beberapa langkah yang boleh dilakukan dalam menguruskan kewangan, iaitu:-
a)   Simpan 10 peratus daripada pendapatan bulanan.
b)   Catatkan segala perbelanjaan harian, termasuk bayaran yang dibuat menggunakan kad       kredit.
c)   Senaraikan segala hutang dan bil tertunggak. Tetapkan matlamat anda untuk 
      melangsaikan hutang tersebut.
d)   Utamakan keperluan daripada kehendak.
e)  Tetapkan azam untuk mencapai matlamat kewangan. Disiplinkan diri dan jangan 
      berputus asa.
f)    Sediakan perlindungan kewangan yang terbaik untuk diri dan keluarga anda.
g)   Sentiasa mengemas kini maklumat pembayaran pinjaman dengan pihak institusi  
       perbankan (sekiranya ada).
h)   Dapatkan maklumat terkini laporan kredit melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit 
      Berpusat (CCRIS) di Bank Negara Malaysia dan cawangan/ pejabat wilayah         
      berhampiran.

Menyedari kepentingan pendidikan dan pengurusan kewangan, FOMCAtelah mengadakan Program Bulan Kewangan Berhemat pada bulan Oktober tahun 2011. Program ini telah dijadikan sebagai acara tahunan.
Pada tahun 2014, tema Bulan Kewangan Berhemat ialah 'Pendidikan Kewangan untuk Semua'. Tema ini bertujuan untuk memberikan penekanan kepada rakyat Malaysia bahawa pengurusan kewangan merupakan kemahiran hidup bagi semua orang.

Sepanjang bulan ini pelbagai aktiviti dirancang antaranya latihan kewangan untuk kanak-kanak pra sekolah, pendidikan kewangan untuk eksekutif muda, ceramah di sekolah dan di institusi pengajian tinggi, bengkel kewangan untuk komuniti khususnya golongan belia dan wanita serta pendidikan pelaburan untuk pemimpin masyarakat. Melalui aktiviti ini, pengguna akan diberi kesedaran agar membangunkan dan mengekalkan tabiat kewangan yang sihat untuk kesejahteraan kewangan mereka.


Sumber:   Fomca



Saturday, September 13, 2014

BUKAN IKLAN. CUMA TERKENANG AYAH.



Setiap kali saya memandang dakwat Quink (Quick and Ink) dan pen Parker ini saya terkenang arwah ayah saya. Saya teringat inilah bentuk serta warna pen dan dakwat yang dibelikan ayah untuk saya semasa diminta guru menggunakan pen dan belajar tulisan sambung semasa darjah 4. Memang seronok dapat menggunakan pen dakwat (hanya pen jenis dakwat yang dibenarkan). Pen ini saya gunakan hingga tingkatan enam. Saya gunakan secara maksimum untuk subjek Geografi (subjek yg paling saya minati). Dari nota yg diberi guru hinggalah peta yg dilukis saya ingin melihatnya sempurna. Peta yang dilukis dan diwarna mesti sama seperti dalam buku teks. Baru saya puas hati.


Dakwat ini menghasilkan warna yang cantik

Pen Parker berwarna hitam yang ketika itu harganya cuma RM4.50 sebatang 

Pakaian terutama kasut sekolah, jenama Bata yang ayah pilih untuk kami. Semasa darjah 1 dan darjah 2 saya hanya memakai kasut getah. Berulang kali juga merengek pada ayah, tapi mak memujuk … “nanti le dulu. Pakai dulu kasut yang ada tu. Nanti kalau dapat duit lebih boleh le beli kasut tu.” Hati sedikit sedih dan terkilan tapi mengenangkan ketika itu hidup susah lantaran adik beradik ramai dan masih bersekolah, maka saya belajar untuk bersabar. Semasa darjah 3 saya dapat rasa memakai kasut Bata dengan potongan seperti yang sering dipakai jururawat. Tapi pandai2 la berjimat. Kasut yang ayah beli tu untuk dipakai 2 tahun. Hanya sepasang seorang. Kotor? Basuh dan diang tepi api. Kasut Bata BM2000 saya pakai masa darjah 4. Gembira tak terkira dapat kasut jenama itu. Terfikir juga ayah cuma penoreh getah. Dapat duit RM180 saja dari paysheet yang saya baca. 

Tahun-tahun 70-an yang mencabar kerana enam daripada lapan adik-beradik yang bersekolah termasuk dua oang di asrama. Tapi masa tu saya cuma budak2, fikiran tak jauh ke mana. Pendapatan ayah sebanyak itu sememangnya tidak cukup apatah lagi jika dibandingkan dengan keadaan ekonomi sekarang dan bilangan isi rumah yang ramai. Tapi mak bijak berbelanja dan mengurus wang.  Yang saya lihat, untuk kelengkapan persekolahan, ayah selalu pilih yg terbaik walaupun saya selalu dapati dompet ayah selalu nipis dan poketnya banyak duit syiling sahaja.  Bagi mak pula, apa-apapun hal sekolah diutamakan dahulu. Mak tak kisahpun kalau ayah tak belikan mak rantai tangan atau rantai leher. Tapi dia sangat risau kalau yuran sekolah kami belum dibayar atau buku rujukan tidak dapat dibeli.  Bergadai barang kemas dan tebus balik sudah jadi perkara biasa bagi mak. Semua tu untuk persekolahan kami.  Apa yang saya ingat, saya cuma pernah minta kasut Bata BM2000 dan tahun sebelumnya kasut Bata dengan potongan kasut yang sering dipakai jururawat ketika itu. Potongan kasut yang nampak feminine ( masa tu ada angan2 nak jadi jururawat tambahan pula mak sedara pun jururawat. Saya suka pekerjaan yang sering berjumpa orang ramai). Masa sekolah menengah, saya hanya memakai kasut Bata dengan jaluran hijau di sekeliling tumit. Kasut yang cantik dan potongannya kemas pada fikiran saya ketika itu. 

Memang puas hati biala ayah belikan kasut ini

Bila dah sekolah menngah, tiada lagi meminta itu ini sebab saya dapat biasiswa BKP. Alhamdulillah.  Duit itu digunakan untuk membayar yuran dan membeli buku rujukan. Nak jumpa guru biasiswa pun malu. Melihat ayah balik dgn peluh dan penat menoreh, saya jadi tak sampai hati nak minta macam-macam.  Duit belanja sekolah hanya disimpan. Bawa bekal nasi dengan lauk ala kadar. Kadang-kadang bawa kuih saja.  Cukup la. Makan dengan kawan2 di belakang Blok D. Gembira rasanya. Ya la ... belajar berjimat. Cuma sesekali pergi ke kantin untuk makan nasi lemak atau cucur udang.  Itu pun kerana saya pengawas bertugas memang dibenarkan keluar 10 minit awal ke kantin.  Jika tidak, saya lebih suka memilih menikmati bekalan yang dibawa ke sekolah.  Kesian ayah dan mak yang Cuma menoreh getah dan petangnya pula ke kebun lagi untuk mengutip getah buku atau getah skrap.  

Pada hari cuti, saya suka duduk di tingkap nako yang dibuka luas menunggu ayah lalu depan rumah. Saya nak tengok berapa plastik susu getah yang ayah bawa ke setor getah. Kadang-kadang dua plastik penuh yang diletakkan di depan dan di belakang motorsikal. Kadang-kadang cuma satu plastik saja.  Kami yang perempuan memang tidak dibenarkan menorah (takut pokok rosak …hehe) dan hanya dibenarkan kutip skrap sahaja, itu pun hari cuti sekolah. Bila ada kesempatan bersembang, saya tanya juga pada mak mengapa susu getah yang ayah dapat tak banyak macam orang lain? Sekali sekala saja saya Nampak plastik yang penuh dan diangkut dua kali ke setor.  Mak pernah kata dengan melawak, “nak banyak? Boleh. Kita campur dengan air.” Tapi, mak kata, “tak usah le nak buat macam itu. Itu namanya menipu.  Dengan susu getah tu le mak dengan ayah nak bagi kamu semua makan. Biar le halal.”   Saya terdiam.

Sememangnya ayah juga tau apa saya suka. Setiap kali saya pulang bercuti semester pula, ayah tak lupa belikan laksa yg saya suka. Turun bas saja, saya nampak ayah dah menanti di dewan orang ramai. Ketika sihatnya, subuh dan maghribnya hanya di masjid.  Sesekali kalau ayah solat maghrib di rumah, ayah yang mengajar kami mengaji Quran.  Waktu-waktu yang lain, emak yang mengajar mengaji.  Tiga rotan mak yang tersisip di dinding adalah penggerak utama kami mengaji … Sungguh lucu bila mengenangkan kembali kisah kanak-kanak.  Pernah juga emak berpesan kepada saya supaya mengajar sendiri anak-anak mengaji Quran.  Belajar mengaji Quran dengan atuk, opah, ayah dan mak bagai mengalirkan aura ke jiwa saya.  Begitulah kenangan yang tersimpan hingga kini. Kenangan yang ayah tinggalkan ...rebana, ukiran rumah, lagu2 dari paluan rebana masih terngiang-ngiang begitu juga lagu Jepun lama, jenaka ayah mengusik mak dan panggilan nama manja cucu2nya. 

Al-fatihah.