Sudah lama saya tidak menulis di blog saya ni. Hari ini saya hendak menulis tentang khasiat kuning telur sebab ramai yang mengatakan makan kuning telur tak baik untuk kesihatan. Saya pun tertanya-tanya, betulkah? Petang tadi saya membaca buku bertajuk ‘Panduan Mencerdaskan Minda’ tulisan Ustazah Dato' Siti
Nor Bahyah Mahamood & Jaafar Salleh) halaman 58 dan saya menemukan fakta ini. Menurut Profesor Aman dalam ‘Medical Secret of Your Food’ kuning telur
berkesan mengatasi masalah penyakit otak dan saraf seperti masalah lemah daya
ingatan, lemah daya tumpuan, akal tumpul (benak), sering lupa, badan dan urat
saraf letih kerana memerah fikiran, sering tertidur (mengantuk) semasa membaca,
sering menguap, tidak minat bekerja, benci kepada kontradiksi (pertentangan),
tidak dapat mengawal marah, pasif dan kanak-kanak degil. Jadi, dengan adanya kajian saintifik, saya percaya bahawa kuning telur banyak manfaat. Tuhan tidak menjadikan sesuatu itu tanpa sebab, bukan? Protin dalam putih telur sebenarnya masih belum cukup kuat tanpa kuning telur untuk menyeimbangkan asid amino dan menyediakan protin secara biologis.
Kuning telur banyak kegunaan dalam perubatan dan kesihatan |
Walaupun telur banyak khasiat tidak bermakna kita boleh makan telur setiap hari. Seperti yang kita tahu telur dikategorikan makanan yang mengandungi kadar LDL yang tinggi atau kolesterol jahat. Jadi, sebaik-baiknya kita hadkan pengambilan telur antara dua hingga tiga biji seminggu. Tapi, tahukah kita berapakah kandungan kolesterol dalam sebiji telur? Sebiji telur bersaiz besar mengandungi sekitar 186 mg kolesterol yang semuanya terdapat pada kuning telur. Bagi mereka yang menghidap penyakit jantung, diabetes atau kadar LDL tinggi (low density lipoprotein) , anda dinasihati agar mengehadkan diet kolesterol kurang daripada 200 mg sehari. Bagi mereka yang sihat pula, disarankan agar membataskan diet kolesterol kepada 300 mg sehari atau makan putih telur sahaja kerana putih telur tidak mengandungi kolesterol. Kalau telur masin pula, mengapa kita berebut-rebut nak dapatkan kuningnya? Jawapannya, bahagian kuningnya yang paling sedap!
Pakar perubatan sepakat mengakui bahawa telur adalah makanan yang lengkap dan tinggi kandungan protin, lemak, vitamin dan zat galian serta lain-lain unsur yang diperlukan oleh tubuh badan. Telur amat sesuai dimakan bagi menambahkan kekuatan badan dan menjaga kesihatan kerana mengandungi kalsium karbonat, magnesium, zat besi, sulfar dan fosforus. Bagi kanak-kanak pula, telur adalah lauk yang paling sedap jika tiada pilihan lain. Bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa penyediaan hidangan telur yang tidak betul boleh mengundang bahaya. Oleh itu, kita dinasihati agar mengelakkan memakan telur mentah atau makanan yang mengandungi telur mentah. Telur mentah mengandungi kandungan bakteria Salmonella yang tinggi. Selain itu, masak telur dengan sempurna sehingga putih dan kuning telur sempurna masak (tidak berair). Kurangkan memakan makanan yang mengandungi telur, terutama kalangan kumpulan berisiko tinggi.
Panduan lain yang harus diikuti termasuklah:-
- Pilih telur yang tidak retak.
- Simpan telur di dalam peti sejuk sebaik dibeli pada suhu kurang dari 4°F. Cara menyimpannya, hujung yang runcing ke bawah.
- Jangan basuh telur semasa disimpan. Basuh telur apabila hendak dimasak sahaja (Tapi, mak saya selalu pesan basuh telur tu dulu sebelum disimpan)
- Guna telur yang disimpan di dalam peti sejuk dalam tempoh 5 minggu sahaja.
- Guna telur yang betul-betul dimasak (rebus) yang disimpan di dalam peti sejuk dalam tempoh seminggu selepas dimasak.
- Elakkan memakan atau menggunakan telur mentah atau telur masak dan makanan yang mengandungi telur yang disimpan pada suhu bilik lebih dari 2 jam.
- Basuh tangan dan peralatan yang digunakan semasa memasak telur dengan air panas dan sabun sebelum dan selepas memasak
Ada petua untuk memudahkan telur rebus dikupas iaitu dengan memasukkan sedikit garam apabila merebus. Untuk memastikan telur yang direbus masih dalam keadaan baik, ujinya terlebih dahulu. Telur yang baik biasanya berat dan jika direndam dalam air, telur yang sudah tak elok biasanya ringan dan akan timbul (yang saya ingat masa belajar Sains Rumah Tangga (sekarang ERT) masa kat sekolah dulu). Telur masak dapat dibezakan daripada telur mentah tanpa memecahkan kulitnya melalui memutarkan telur tersebut. Inersia (sifat semula jadi suatu objek yang cenderung untuk menentang sebarang perubahan kepada keadaan atau bentuk asalnya , sama ada dalam keadaan pegun ataupun dalam keadaan bergerak) kandungan cecair telur mentah akan menghentikan pemutaran dalam tiga putaran.
Banyak yang menarik tentang telur ayam ni. Allah menjadikan komposisi telur amat unik sekali. Walaupun berada di dalam bekas kulit telur yang bulat sejak di dalam rahim ibunya, ia mempunyai dua bahagian yang terpisah iaitu putih telur dan kuning telur di samping mempunyai fungsi yang berbeza. Setiap rumah pasti menjadikan telur bekalan makanan yang wajib disimpan setiap masa. Nak buat kek, benjo, kebab special, burger special, kek dan macam-macam lagi semua itu menggunakan telur. Pengamal perubatan perlukan telur sebagai bahan mujarab tradisional dalam menyembuhkan pelbagai penyakit misalnya sakit perut dan lemah badan. Telur juga turut menjadi medium perawatan dalam sesetengah penyakit mistik seperti saka yang berkaitan dengan serangan makhluk halus. Ringkasnya, banyak keistimewaan dan kegunaan telur dalam kehidupan seharian kita.
http://www.facebook.com/rekha.yusop?ref=tn_tnmn
No comments:
Post a Comment