15 Mac 2014/ 13 Jamadil Awal 1435
Mengesan Penyakit Melalui Cap Jari
CAP JARI manusia terbentuk daripada lembah dan sisir yang silih berganti pada permukaan jari tangan. Ia terbentuk pada awal pembentukan embrio iaitu pada minggu kesembilan belas kehamilan. Sebahagian besar organ tubuh contohnya pankreas juga terbentuk pada masa itu.
Menurut Henry Kahn dari pusat pengendalian dan pencegahan penyakit di Atlanta, dengan hanya melihat jari kelingking dan ibu jari seseorang boleh diketahui keadaan oragan bayi dalam kandungan, contohnya tahap pertumbuhan pankreas malah boleh juga diketahui sama ada bayi itu menghidap penyakit diabetis ataupun tidak selepas dilahirkan nanti.
Di pusat kajian cap jari, menghitung jumlah sisir adalah cara bagi mendapatkan informasi kuantitatif. Pusaran yang besar pada hujung jari biasanya memiliki jumlah sisir yang lebih tinggi. Hasil penelitian Kahn kepada 569 cap jari rakyat Belanda menunjukkan purata perbezaan bilangan sisir antara jari kelingking dan ibu jari orang normal adalah 6.4 sedangkan purata perbezaan bagi pesakit diabetis adalah lebih tinggi iaitu 8.3.
Gambar rajah saraf jari dan tapak tangan |
Seorang pakar psikologi berbangsa Inggeris, John Manning mengatakan bahawa informasi pada cap jari terlalu padat. Oleh itu, masih sukar diketahui faktor yang menentukannya. Namun, dia beranggapan beberapa faktor informasi dan juga hormon memberikan kesan kepada pembentukan cap jari.
Misteri Hujung Jari
Mengapa Allah swt menyebut jari-jemari sebagai contoh kekuasaanNya? Demikian Firman Allah swt dalam Surah al-Qiyamah [75]: 3 - 4 yang bermaksud, "Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih balus dari yang lain)". Mengapa Dia tidak menyebut anggota tubuh lain? Wallahu a'lam. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Pasti ada hikmah di sebalik penyebutan jari-jemari tangan. Jari-jemari manusia adalah antara anggota badan yang paling sukar dibina. Susunannya unik dan rumit. Atas sebab itu tidak hairan Allah bercakap berkenaan jari-jemari manusia. Dia mahu menegaskan kepada orang kafir, bukan setakat menghidupkan orang mati, membina bahagian tubuh paling rumit juga mudah bagiNya. Tiada yang mustahil bagi Zat Yang Maha Berkuasa.
Cap jari manusia sangat unik. Tiada cap jari yang sama. Itulah sebabnya cap jari dijadikan bahan bukti bagi menentukan identiti penjenayah dan manusia yang hilang.
Cap jari manusia terbentuk semasa proses pembentukan kulit. Bahagian kulit yang menjadi cap jari memiliki gen pengatur khas yang hingga kini masih menjadi tanda tanya mengapa cap jari memaparkan corak berupa garis-garis yang berbeza-beza? Besar kemungkinan walaupun kajiannya belum sahih, gen cap jari adalah gen yang khusus tetapi gen yang menentukan cap jari hingga sekarang belum diketahui. Namun, ia tidak lebih daripada satu gen disebabkan perbandingan daripada beberapa gen yang menimbulkan variasi. Misalnya, ada dua gen menghasilkan dua garis lurus tetapi ada melibatkan lebih daripada dua gen sehingga menghasilkan dua garis lurus dan ada bengkoknya. Variasi terjadi disebabkan wujudnya interaksi antara gen. Wallahua'lam.
Pemetaan atau pencetakan cap jari DNA forensik digunakan buat pertama kalinya di British pada tahun 1986. Mangsa pertama ialah Colin Pitchfork yang didakwa memperkosa dan membunuh dua orang gadis belasan tahun. Selepas berjaya dalam kes ini, kaedah pemetaan cap jari DNA digunakan di seluruh dunia bagi menyokong pembuktian pelbagai kes jenyah dengan bahan bukti DNA. Mengapa menggunakan cap jari DNA? Sebenarnya, struktur kimia DNA setiap orang memiliki persamaan. Yang berbeza hanyalah turutan ataupun susunan dari pasangan bes yang membentuk DNA itu.
Ada jutaan pasangan bes terkandung dalam DNA setiap manusia. Berdasarkan perbezaan urutan ataupun susunan bes-bes dalam DNA, identiti setiap manusia dapat dikenalpasti. Namun demikian, disebabkan ada jutaan pasangan bes, kerja itu memerlukan tempoh masa yang panjang. Sebagai alternatif, para pakar menggunakan kaedah yang lebih pantas iaitu berdasarkan corak pengulangan turutan di dalam DNA setiap manusia. Bagaimanapun, corak ini tidak dapat memberikan cap jari secara individu sebaliknya lebih kepada proses penentuan sama ada dua sampel DNA yang dianalisis berasal daripada orang yang sama ataupun orang yang ada hubungan kekeluargaan. Para pakar menggunakan sejumlah kecil deretan DNA yang diketahui bervariasi antara individu lalu menganalisisnya bagi memperoleh tahap kesesuaian tertentu.
Rujukan:
Mohd Sodikin Rahman (2013). Misteri Keajaiban Dunia. Johor Bahru: Pustaka Azhar
http://en.wikipedia.org/wiki/Nucleotide
http://ms.wikipedia.org/wiki/Nukleotida
No comments:
Post a Comment