Powered By Blogger

Friday, July 23, 2021

PAK TONG KOU

Sebelum saya terjumpa resipi apam tepung beras yang dikongsikan oleh Puan Ruhaizah Abdullah dalam Youtube pada tahun 2019 saya telah mencuba macam-macam resipi apam berasaskan tepung beras. Saya lebih suka mencari resipi di Youtube sebab kita nampak cara mereka memasak. Salah satu penentu resipi yang kita cuba itu menjadi atau tidak adalah kaedah memasak langkah demi langkah. Sukatan bahan juga penting. Kalau kita masih baharu nak mencuba lebih baik kita sukat semua bahan yang digunakan. Tak semua resipi boleh agak-agak sukatannya. Kalau resipi yang dicuba tak menjadi....dah rugi, kan?

Sebelum kita diperkenalkan dengan Google atau Yahoo, enjin carian Internet yang popular hingga kini, saya banyak mencari resipi di majalah seperti Wanita, Jelita, Mingguan Wanita dan Keluarga. Kini, majalah-majalah tersebut sukar ditemui di pasaran kecuali Mingguan Wanita yang mudah juga diakses secara dalam talian. Saya juga pernah terjumpa resipi apam tepung beras dalam surat khabar tapi tak pernah mencuba sebab takut tak menjadi 😕. Bila dunia dah semakin moden, tanpa disedari kita dapat mengadaptasi diri kita dengan perubahan yang berlaku. Samalah dengan usaha nak mencari resipi apam tepung beras ini. Saya pun mencubalah resipi Pak Tong Kou iaitu resipi apam tepung beras berbahasa Cina di Youtobe. Saya berjaya menghasilkan apam tepung beras seperti yang ditunjukkan dalam Youtube itu. Inilah rupa apam tepung beras atau Pak Tong Kou itu. Saya hanya akan kongsikan resipi di blog saya sekiranya resipi yang dicuba itu menjadi. Kalau tak menjadi dan kurang sedap saya simpan saja untuk kenangan 😏

Pak Tong Kou

Cantik, kan rupa apam tu? Ada berongga sedikit. Rasanya sedap juga. Bagi kita orang Melayu, apam ini sedap dimakan bersama kelapa parut. Bagi mereka yang alah dengan tapai bolehlah mencuba resipi ini.  Sukatan air, tepung dan gula dalam gram ya bukan ml walaupun kita gunakan cecair.

PAK TONG KOU
Bahan A
340 gram air
200 gram gula
2 helai daun pandan

Bahan B
280 gram air 
300 gram tepung beras

Bahan C
1 sudu teh ragi instant
2 sudu teh air 
(Bancuh ragi instant dan biarkan sampai kembang)

Caranya:
1. Masukkan semua bahan A dalam periuk dan larutkan di atas api sampai mendidih. Padamkan api.
2. Dalam bekas, masukkan bahan B dan kacau sebati.
3. Masukkan sirap daripada bahan A, kacau sebati dan ketepikan.
4. Masukkan ragi yang telah kembang. Kacau sebati kemudian tutup mangkuk adunan dengan cling wrap. Perap selama 2 jam. Sambil menunggu adunan kembang, sediakan periuk pengukus.
5.   Sapu acuan dengan minyak. Ketepikan.
6. Setelah adunan apam kembang, buka penutup mangkuk dan masukkan 1/2 sudu teh minyak. Kacau sebati.
7. Panaskan acuan selama 5-7 minit untuk menghasilkan apam yang cantik dan tak melekat.
8. Masukkan bancuhan apam dan kukus selama 30 minit.
9. Tunggu sehingga apam sejuk sebelum dihidangkan.

Selamat mencuba. 




No comments:

Post a Comment