Powered By Blogger

Wednesday, July 14, 2021

SARAPAN NASI GORENG SERAI

 Assalamualaikum, selamat pagi untuk semua. Hari ni saya ada mood untuk update blog. Jiwa agak tenang, ada sedikit masa terluang. Coretan hari ini agak ringkas. Hari yang baik, mood yang baik juga bermula dengan sarapan. Siapa kata sarapan tak penting? Bukan sahaja kepada kanak-kanak, sarapan juga penting untuk orang dewasa. Sarapan penting sebagai alas perut pada pagi hari terutama mereka yang bekerja sama ada bekerja di kebun atau di pejabat. Sarapan membekalkan nutrien dan tenaga sepanjang hari serta memastikan metabolisme badan dalam tahap optimum selain dapat mengelakkan kita makan berlebihan. Jadi, jangan cuba-cuba nak skip sarapan yaJangan seksa perut! 

Berada dalam tempoh PKPD 'memaksa' kita untuk masak sendiri di rumah. Siapa kata masakan kita tak sedap? Itu pendapat kita sahaja sedangkan tangan kita juga kreatif untuk menyajikan menu yang sedap. Belum cuba belum tahu. Yang penting rajin buat R&D. Bukan kilang saja ada R&D tau. Kali pertama masak mungkin tak sedap tapi kita mesti cari punca masakan kita kurang sedap. Mana tahu masakan kita boleh jadi 'signature' kita dan boleh jual. Hari ini saya guna bahan di dapur sahaja. Tak perlu nak sediakan bahan pelik yang tiada di depan mata. 

Sarapan saya hari ini ringkas saja. Apa yang ada dalam peti ais itulah bahan masakan saya. Lagipun setiap hari sibuk dengan tugasan dari rumah. Kalau nak makan yang istimewa sikit tunggu la hujung minggu. Lebihan nasi yang ada saya buat nasi goreng. Senang saja resipinya. Bila dah masak dan makan semasa nasi masih panas memang sedap. Saya dapat ilham buat nasi goreng yang ini semasa saya makan malam di sebuah restoran di Damansara Utama tahun 1988. Lama dah, kan? Kalau tak silap di Restoran Eden. Tak tau la restoran tu masih ada lagi ke atau dah berubah nama. Memang sedap nasi gorengnya. Saya pun mula mengecam ramuan yang digunakan dalam nasi goreng tu. Yang pasti mereka masukkan udang basah, cili padi, belacan dan serai. Jadi, setiap kali saya nak masak nasi goreng empat bahan utama ini tak pernah tertinggal. Kalau tak cukup bahan, saya takkan buat nasi goreng yang special ni. 


Tumis bahan-bahan yang ditumbuk dulu sampai harum

Nasi goreng serai tapi lupa masuk sayur campur 


Nasi goreng serai makan petang

Sayur campur atau mixed vegetable menjadikan nasi berwarna-warni dan cantik

Tumbuk bawang merah, cili api, ikan bilis, belacan dan serai

NASI GORENG SERAI

2 cawan nasi sejuk (padatkan)
5 tangkai cili padi
8 ekor udang basah (banyak pun boleh 😋)
5 ulas bawang merah
1/2 biji bawang holand (hiris)
1 genggam ikan bilis
1 batang serai (hiris halus dulu sebelum tumbuk)
mixed vegetable (pilihan)
3 tangkai kacang panjang (pilihan) * kalau masukkan sedap juga sebab ada rasa manis
1 cm belacan 
Sedikit garam

Cara:
1. Ramas nasi supaya tidak berketul.
2. Tumbuk bawang merah, cili padi, belacan, serai yang dihiris halus dan ikan bilis. Kacang panjang dipotong nipis anggaran 1/2 cm.
3. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan yang ditumbuk hingga agak garing dan harum.
4. Masukkan udang dan mixed vegetable dan kacau sampai lembut. 
5. Masukkan hirisan bawang holand (jika suka) dan kacau sebentar. Bawang besar menambah rasa manis dalam nasi (jangan risau tak menyebabkan kencing manis pun😂). Tak nak masukkan pun takpe.
6. Masukkan nasi yang telah diramas dan kacau sampai nasi agak kering dan garing. Jangan jadi popcorn dah la 😄
7. Masukkan garam. Jangan terus masuk banyak sebab ikan bilis dah masin. Sepengapit je pun dah cukup. Ikut citarasa la ya. Kacau lagi supaya garam sebati dengan nasi.
8. Angkat dan hidangkan.

Nasi goreng yang ini memang resipi saya sejak dapat ilham dari restoran tu. Gambar tu tak penting sangat sebab maklumlah kan saya bukan profesional lagi pun cuaca agak redup tak cukup cahaya jadi gambar nampak malap. Warna nasi goreng tu memang nampak gelap sebab kita gunakan ikan bilis dan bila dah garing akan jadi gelap. Tambah pula tak masukkan sayur campur. Lagi la tambah gelap tapi masih ok la kan? Jangan dipandang pada rupa tapi pandanglah rasanya😋😋😋 Kalau nak cuba boleh la cuba. Insya-Allah, rasanya tak mengecewakan!

No comments:

Post a Comment