Powered By Blogger

Saturday, July 24, 2021

KARIPAP INTI DAGING

Karipap memang tidak asing dalam kalangan masyarakat kita sama ada dijadikan sajian untuk sarapan atau mimum petang. Kalau kita yang buat sendiri kita bebas nak letak inti apa ... inti sardin, kentang atau keledek. Ada sesetengah orang suka masukkan daun kari tapi saya lebih suka letak daun sup. Apa-apapun terpulang kepada selera masing-masinglah. Sebenarnya inti apa-apa pun sedap. Kalau hari ni kita buat inti sardin besoknya pulak kita buat inti kentang atau inti keledek. Kalau untuk makan sendiri rupa tak cantik pun tak apa tapi kalau untuk jualan rupa mesti cantik juga tau!

Saya memang suka karipap. Semasa ikut rombongan Kelab Belia 4B ke Melaka tahun 1985 ( dah lama nuuu) saya pun buatlah karipap untuk bekal dalam perjalanan. Tapi, karipap yang saya buat tu saya sorang je la yang makan. Malu nak pelawa kawan-kawan makan sebab pada saya inti sedap dah tapi kulit karipap yang lembik. Akhirnya, karipap yang berbaki saya bawa balik ke rumah untuk dihabiskan. Sedap sangat ke karipap? Sedap kalau dimakan panas-panas. Bukan maknanya angkat dari kuali terus makan. Bukan. Tapi agak panaslah lagi. Masih terasa panasnya. Siapa yang suka karipap, boleh cuba resipi saya ni. Nak buat jual pun boleh tapi kena up sikit harga cuma saya belum puas hati dengan hasilnya. Rasa dah. Karipap yang saya buat ni tak liat walaupun dah sejuk. Tu yang saya suka tu. Apapun saya kena buat R&D dulu supaya kulit karipap saya rangup. Resipi karipap yang saya buat ni menggunakan sukatan cawan metrik macam kebanyakan chef gunakan. Boleh cuba resipi ini ya.

Dapat 16 biji karipap

Karipap yang telah dikelim tepi

Karipap yang sudah digoreng
 KARIPAP INTI KENTANG
Bahan Kulit karipap
3 cawan tepung gandum
1/2 cawan majerin
1/2 sudu teh garam
1 cawan air sejuk dari peti ais

Inti Karipap
3 biji ubi kentang
1/2 sudu teh garam
2 sudu besar rempah kari daging
150 gram daging (cincang) atau daging kisar Ramly
1 biji bawang holand
3 ulas bawang putih
1 sudu teh gula
Minyak masak secukupnya
Daun sup secukupnya

Cara sediakan inti karipap:
1. Ubi kentang potong dadu. Potong dadu bawang holand. Cincang bawang putih dan daun sup. Ketepikan.
2. Bancuh serbuk kari dengan sedikit air. Ketepikan.
3. Panaskan kuali. Kemudian tumis bawang holand dan bawang putih sehingga naik bau. Kemudian masukkan bancuhan serbuk kari. Kacau sampai agak garing.
4. Masukkan daging dan tambah sedikit air. Masak sampai daging separuh empuk.
5. Masukkan kentang dan tambah air. Masak sampai empuk.
6. Perasakan dengan garam dan sedikit gula.
7. Setelah agak kering masukkan daun sup. Kacau sampai kering.
8. Tutup api dan biarkan inti sejuk.

Cara buat kulit karipap
1. Dalam bekas masukkan tepung.
2. Cairkan majerin dalam kuali atau periuk kecil dan kemudian terus masukkan majerin yang dah cair  dalam tepung. Kacau dengan senduk kayu. Kalau dengan tangan melecur nanti.
4. Gaul ramas tepung sampai jadi seperti serbuk roti.
5. Masukkan air sejuk peti ais sedikit demi sedikit dan uli sebentar.
6. Tutup mangkuk dengan kain lembab atau cling wrap. Mana-mana pun boleh asalkan doh tidak kering. Rehatikan doh setengah jam supaya doh lembut.
7. Bahagi-bahagikan doh kepada ketulan kecil. Saya timbang 38 gram setiap ketul. Dapat 16 biji.
8. Leperkan doh dan letakkan inti dan kelim di tepinya.
9. Goreng karipap setelah minyak panas sehingga keperangan.
10. Angkat karipap dan hidangkan.

Setelah saya siap goreng karipap saya terjumpa pulak satu entri tentang petua karipap rangup. Ohhhh...lain kali bolehlah masukkan sedikit air kapur makan. Harap-harap boleh jadi rangup macam karipap yang dijual depan Pasaraya Yat Fong. Tak berubah rasa, bentuk dan rupanya. Jadi, kalau ada sesiapa nak buat karipap boleh cuba masukkan sedikit air kapur makan bukan kapurnya ya.

Friday, July 23, 2021

PAK TONG KOU

Sebelum saya terjumpa resipi apam tepung beras yang dikongsikan oleh Puan Ruhaizah Abdullah dalam Youtube pada tahun 2019 saya telah mencuba macam-macam resipi apam berasaskan tepung beras. Saya lebih suka mencari resipi di Youtube sebab kita nampak cara mereka memasak. Salah satu penentu resipi yang kita cuba itu menjadi atau tidak adalah kaedah memasak langkah demi langkah. Sukatan bahan juga penting. Kalau kita masih baharu nak mencuba lebih baik kita sukat semua bahan yang digunakan. Tak semua resipi boleh agak-agak sukatannya. Kalau resipi yang dicuba tak menjadi....dah rugi, kan?

Sebelum kita diperkenalkan dengan Google atau Yahoo, enjin carian Internet yang popular hingga kini, saya banyak mencari resipi di majalah seperti Wanita, Jelita, Mingguan Wanita dan Keluarga. Kini, majalah-majalah tersebut sukar ditemui di pasaran kecuali Mingguan Wanita yang mudah juga diakses secara dalam talian. Saya juga pernah terjumpa resipi apam tepung beras dalam surat khabar tapi tak pernah mencuba sebab takut tak menjadi 😕. Bila dunia dah semakin moden, tanpa disedari kita dapat mengadaptasi diri kita dengan perubahan yang berlaku. Samalah dengan usaha nak mencari resipi apam tepung beras ini. Saya pun mencubalah resipi Pak Tong Kou iaitu resipi apam tepung beras berbahasa Cina di Youtobe. Saya berjaya menghasilkan apam tepung beras seperti yang ditunjukkan dalam Youtube itu. Inilah rupa apam tepung beras atau Pak Tong Kou itu. Saya hanya akan kongsikan resipi di blog saya sekiranya resipi yang dicuba itu menjadi. Kalau tak menjadi dan kurang sedap saya simpan saja untuk kenangan 😏

Pak Tong Kou

Cantik, kan rupa apam tu? Ada berongga sedikit. Rasanya sedap juga. Bagi kita orang Melayu, apam ini sedap dimakan bersama kelapa parut. Bagi mereka yang alah dengan tapai bolehlah mencuba resipi ini.  Sukatan air, tepung dan gula dalam gram ya bukan ml walaupun kita gunakan cecair.

PAK TONG KOU
Bahan A
340 gram air
200 gram gula
2 helai daun pandan

Bahan B
280 gram air 
300 gram tepung beras

Bahan C
1 sudu teh ragi instant
2 sudu teh air 
(Bancuh ragi instant dan biarkan sampai kembang)

Caranya:
1. Masukkan semua bahan A dalam periuk dan larutkan di atas api sampai mendidih. Padamkan api.
2. Dalam bekas, masukkan bahan B dan kacau sebati.
3. Masukkan sirap daripada bahan A, kacau sebati dan ketepikan.
4. Masukkan ragi yang telah kembang. Kacau sebati kemudian tutup mangkuk adunan dengan cling wrap. Perap selama 2 jam. Sambil menunggu adunan kembang, sediakan periuk pengukus.
5.   Sapu acuan dengan minyak. Ketepikan.
6. Setelah adunan apam kembang, buka penutup mangkuk dan masukkan 1/2 sudu teh minyak. Kacau sebati.
7. Panaskan acuan selama 5-7 minit untuk menghasilkan apam yang cantik dan tak melekat.
8. Masukkan bancuhan apam dan kukus selama 30 minit.
9. Tunggu sehingga apam sejuk sebelum dihidangkan.

Selamat mencuba. 




Friday, July 16, 2021

APAM TAPAI NASI

 Assalamualaikum. Sambil mengukus kek gula hangus atau ada orang kata kek sarang semut dan sambil dengar ceramah agama oleh Ustaz Badlishah Alauddin bertajuk 'Lockdown: Bolehkah Sedekah Terang-Terangan? saya gunakan waktu ini untuk menulis resipi apam tepung beras yang saya sangat suka sejak kecil. Sebelum ni saya memang tak tahu nak buat apam tapai nasi ni. Banyak resipi di Youtube atau blog telah saya cuba tapi tak seperti yang saya inginkan walaupun gambar apam tu cantik di blog mereka. Tak sekadar mencari resipi di Youtube berbahasa Melayu saya juga ada mencuba resipi apam nasi dari Youtube berbahasa Cina tapi mereka tidak menggunakan tapai nasi sebaliknya tepung beras sahaja tetapi jika tak betul teknik tak menjadi juga apamnya. Pencarian tetap diteruskan sehinggalah saya terjumpa resipi apam tepung beras oleh Ruhaizah Abdullah di Youtube. Sejak hari itu, saya kerap menggunakan resipi yang dikongsikan oleh beliau dan sampai hari ini rasanya dah berbelas-belas kali saya buat apam tepung beras ini. Memang tidak mengecewakan. Apam daripada resipi ini ringan, lembut dan sedap rasanya. Saya lebih suka apam putih untuk menikmat aroma dan rasa asli tapai. 

Tak jemu makan apam tapai nasi 

Guna api besar untuk dapat apam merekah senyum macam ni

Susun dulu apam yang dah sejuk

Guna eno untuk jadikan apam ringan dan gebu

Apam tapai nasi cubaan pertama menjadi walaupun tak senyum

Ini resipi Apam Tapai Nasi untuk jadi rujukan anak cucu pada masa akan datang. Rasanya, apam ini antara kuih paling senang dalam dunia untuk dibuat asalkan ada tapai nasi. Tapai nasi kena buat dulu la ya. Tapai akan masak masuk hari ketiga dengan syarat ragi yang digunakan tu aktif.  Ok, ini resipinya.

TAPAI NASI
700 gram nasi sejuk
1/2 biji ragi

Cara buat tapai:
1. Leraikan nasi supaya tidak berketul. Ragi dihaluskan.
2. Letak nasi dalam bekas besar seperti dulang atau talam.
3. Taburkan ragi yang telah dihaluskan secara merata dan gaul supaya semua nasi mesra dengan ragi.
4. Masukkan dalam bekas kedap udara dan simpan dua hari dua malam hingga tapai berair.

APAM TAPAI NASI
1 cawan tapai nasi (diratakan padat)
2 1/4 cawan air 
3 cawan tepung beras
1 cawan gula
1 sudu teh eno (biru)

Cara:
1. Blend tapai nasi bersama satu cawan air. 
2. Dalam bekas, masukkan tepung beras. gula dan 1 1/4 cawan air. Kacau sebati.
3. Masukkan tapai yang telah dikisar tadi dan kacau kemudian kisar sekali lagi supaya gula hancur dan adunan halus.
4. Masukkan bancuhan tadi ke dalam jag bertutup dan rehatkan selama 4 jam.
5. Masukkan eno 15 - 20 minit sebelum hendak kukus apam dan kacau sebati.
6. Sambil menunggu bancuhan apam kembang, panaskan kukusan hingga air mendidih.
7. Masukkan acuan yang telah disapu minyak ke dalam periuk kukus dan panaskan selama 5 minit.
8. Masukkan bancuhan ke dalam acuan dan kukus antara 15 - 20 minit. Jangan kurang daripada 15 minit ya. Kat sini jangan engkar resipi ya, sebab kalau kurang 15 minit apam jadi berat dan tak merekah. Kukus dengan api besar supaya apam tersenyum cantik. Yang penting acuan mesti dipanaskan dulu ya.
9. Setelah masak boleh angkat, rehatkan 1 - 2 minit dan kemudian keluarkan dari acuan. Kalau apam dibiarkan lama dalam acuan, apam akan jadi berat dan berminyak. 

Jangan sedih kalau apam tak merekah ya. Ada orang suka apam merekah dan ada yang suka permukaan apam yang rata. Cubaan pertama saya buat apam dulu pun apamnya tak merekah tapi ringan dan gebu.  Rasanya pulak tak boleh cerita. Menepati citarasa saya. Sedap. Terima kasih kepada Puan Ruhaizah Abdullah kerana sudi berkongsi resipi apam ini. Ada yang kata kalau nak apam cantik gunakan tepung beras cap teratai tapi tepung ni pasarannya tak luas. Tak semua tempat ada jual tepung beras cap teratai. Saya gunakan tepung beras cap gajah je. Alhamdulillah, apam tetap merekah juga.  Kalau percubaan pertama berjaya mesti kita tambah bersemangat nak buat kuih apam lagi.





Wednesday, July 14, 2021

SARAPAN NASI GORENG SERAI

 Assalamualaikum, selamat pagi untuk semua. Hari ni saya ada mood untuk update blog. Jiwa agak tenang, ada sedikit masa terluang. Coretan hari ini agak ringkas. Hari yang baik, mood yang baik juga bermula dengan sarapan. Siapa kata sarapan tak penting? Bukan sahaja kepada kanak-kanak, sarapan juga penting untuk orang dewasa. Sarapan penting sebagai alas perut pada pagi hari terutama mereka yang bekerja sama ada bekerja di kebun atau di pejabat. Sarapan membekalkan nutrien dan tenaga sepanjang hari serta memastikan metabolisme badan dalam tahap optimum selain dapat mengelakkan kita makan berlebihan. Jadi, jangan cuba-cuba nak skip sarapan ya. Jangan seksa perut! 

Berada dalam tempoh PKPD 'memaksa' kita untuk masak sendiri di rumah. Siapa kata masakan kita tak sedap? Itu pendapat kita sahaja sedangkan tangan kita juga kreatif untuk menyajikan menu yang sedap. Belum cuba belum tahu. Yang penting rajin buat R&D. Bukan kilang saja ada R&D tau. Kali pertama masak mungkin tak sedap tapi kita mesti cari punca masakan kita kurang sedap. Mana tahu masakan kita boleh jadi 'signature' kita dan boleh jual. Hari ini saya guna bahan di dapur sahaja. Tak perlu nak sediakan bahan pelik yang tiada di depan mata. 

Sarapan saya hari ini ringkas saja. Apa yang ada dalam peti ais itulah bahan masakan saya. Lagipun setiap hari sibuk dengan tugasan dari rumah. Kalau nak makan yang istimewa sikit tunggu la hujung minggu. Lebihan nasi yang ada saya buat nasi goreng. Senang saja resipinya. Bila dah masak dan makan semasa nasi masih panas memang sedap. Saya dapat ilham buat nasi goreng yang ini semasa saya makan malam di sebuah restoran di Damansara Utama tahun 1988. Lama dah, kan? Kalau tak silap di Restoran Eden. Tak tau la restoran tu masih ada lagi ke atau dah berubah nama. Memang sedap nasi gorengnya. Saya pun mula mengecam ramuan yang digunakan dalam nasi goreng tu. Yang pasti mereka masukkan udang basah, cili padi, belacan dan serai. Jadi, setiap kali saya nak masak nasi goreng empat bahan utama ini tak pernah tertinggal. Kalau tak cukup bahan, saya takkan buat nasi goreng yang special ni. 


Tumis bahan-bahan yang ditumbuk dulu sampai harum

Nasi goreng serai tapi lupa masuk sayur campur 


Nasi goreng serai makan petang

Sayur campur atau mixed vegetable menjadikan nasi berwarna-warni dan cantik

Tumbuk bawang merah, cili api, ikan bilis, belacan dan serai

NASI GORENG SERAI

2 cawan nasi sejuk (padatkan)
5 tangkai cili padi
8 ekor udang basah (banyak pun boleh 😋)
5 ulas bawang merah
1/2 biji bawang holand (hiris)
1 genggam ikan bilis
1 batang serai (hiris halus dulu sebelum tumbuk)
mixed vegetable (pilihan)
3 tangkai kacang panjang (pilihan) * kalau masukkan sedap juga sebab ada rasa manis
1 cm belacan 
Sedikit garam

Cara:
1. Ramas nasi supaya tidak berketul.
2. Tumbuk bawang merah, cili padi, belacan, serai yang dihiris halus dan ikan bilis. Kacang panjang dipotong nipis anggaran 1/2 cm.
3. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan yang ditumbuk hingga agak garing dan harum.
4. Masukkan udang dan mixed vegetable dan kacau sampai lembut. 
5. Masukkan hirisan bawang holand (jika suka) dan kacau sebentar. Bawang besar menambah rasa manis dalam nasi (jangan risau tak menyebabkan kencing manis pun😂). Tak nak masukkan pun takpe.
6. Masukkan nasi yang telah diramas dan kacau sampai nasi agak kering dan garing. Jangan jadi popcorn dah la 😄
7. Masukkan garam. Jangan terus masuk banyak sebab ikan bilis dah masin. Sepengapit je pun dah cukup. Ikut citarasa la ya. Kacau lagi supaya garam sebati dengan nasi.
8. Angkat dan hidangkan.

Nasi goreng yang ini memang resipi saya sejak dapat ilham dari restoran tu. Gambar tu tak penting sangat sebab maklumlah kan saya bukan profesional lagi pun cuaca agak redup tak cukup cahaya jadi gambar nampak malap. Warna nasi goreng tu memang nampak gelap sebab kita gunakan ikan bilis dan bila dah garing akan jadi gelap. Tambah pula tak masukkan sayur campur. Lagi la tambah gelap tapi masih ok la kan? Jangan dipandang pada rupa tapi pandanglah rasanya😋😋😋 Kalau nak cuba boleh la cuba. Insya-Allah, rasanya tak mengecewakan!

Tuesday, July 13, 2021

Sarapan Hari Ini

Assalamualaikum. Selamat pagi Malaysia negaraku tercinta.  Hari ini masuk hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim saya. Bosan tersangat bosan. Bermula 18 Mac 2020 hingga hari ini kehidupan kita bertukar 360 darjah. Hari ini tak sama seperti hari-hari sebelum Covid-19 menyerang dunia. Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan  yang telah dilancarkan pada 24 Februari 2021 diharapkan dapat melandaikan lengkungan jangkitan Covid-19 dan kita dapat menikmati kehidupan normal seperti dahulu.

Tempoh PKPD memang membosankan. Sabar ajelah ya. Syukurlah kita masih dapat menikmati harum semerbak kopi dan lembutnya cucur udang walaupun bahan yang digunakan amat ringkas. Pada waktu-waktu kritikal begini kita tak boleh lagi berangan nak makan sedap di restoran terbuka sambil menikmati indahnya waktu malam. Bersederhanalah dan bersyukurlah dengan apa yang ada.  Jadi, pada hari ini sarapan saya juga sangat ringkas tetapi sedap. Cukuplah dengan cucur udang dan teh Lipton yang menjadi pilihan sejak dulu.  Tak cantik pada pandangan mata tapi sepantas kilat hilang dari atas meja 😂😂 Tak sedar dah habis sepinggan. Kalau bahan cukup lagi la sedappp. Tengok gambar macam tak sedap je tapi cuba rasa....pasti angguk kepala dan setuju memang sedap. 

Cucur udang tak cukup bahan 😃

Roti gardenia menjadikan adunan cucur udang lembut sampai petang

Sos cili thai jenama Kimball pelengkap hidangan

 Saya tak ada resipi khas buat cucur udang. Apa yang ada di dapur, cukuplah. Yang penting ada tepung, bawang dan minyak masak. Udang saya keluarkan dari peti ais pukul 11.30 malam sebelum masuk tidur. Bangun tidur udang dah tak keras kerana ais dah mencair. Senang nak buang kulit. Tak perlu tunggu lama. Kucai, tauge, lobak merah, daun bawang, jagung tin pun tak ada. Kalau ada lagi la sedap. Jadi, saya gunakanlah apa yang ada sahaja. Tapi rasa cucur memang ummmppphhh....terbaik sampai petang. Tapi tak sampai petang pun.....dah licin. Ya, memang lembut. Kalau tak percaya....cubalah! Ini bahan-bahan yang biasa saya guna untuk buat cucur udang.

8 ekor udang saiz sederhana (potong kecil - edisi jimat)
3 keping roti gardenia (rendam dalam air panas 5 minit)
3 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung beras
1 biji bawang besar saiz sederhana
1 biji telur saiz B
1 biji ubi kentang (potong dadu)
1 biji cili merah (cincang halus)
1/2 biji lobak merah (potong dadu)
2 sudu besar jagung tin (jika ada)
1 genggam tauge
sedikit kucai atau daun bawang
1 sudu kecil garam halus 

1. Hancurkan roti gardenia yang direndam. 
2. Dalam bekas masukkan udang, roti gardenia yang telah dihancurkan, tepung gandum, tepung beras,  bawang besar, ubi kentang yang dipotong dadu, cili merah cincang, lobak merah yang dipotong dadu, 
jagung tin, tauge dan kucai atau daun bawang serta garam.
3. Masukkan air sedikit demi sedikit sampai adunan sebati. Pastikan adunan boleh dijemput dengan tangan. Jangan cair.
4. Goreng dalam minyak panas hingga keperangan.
5. Angkat dan boleh dihidangkan dengan sos cili.

** Cara pintas nak sediakan sos cili senang je. Ambil sos cili thai jenama Kimball dan tambah sedikit air panas. Kacau rata dan boleh dihidangkan dengan cucur udang. Siapp. Selamat mencuba.





Saturday, September 26, 2020

Kek Marble

Dah lama tak buat kek ni. Rasanya memang sedap. Bahan-bahan pun murah. Enak dibuat minum petang bersama keluarga atau berkelah atau sebagai bekal untuk perjalanan jauh. Kalau balik kampung boleh buat sebagai buah tangan. Nak buat pun tak susah.

Ini kek belum masak
Ini kek belum masak

Yang ni baru je keluar dari oven

Seronoknya bila kek yang kita buat tu menjadi. Dah banyak kali buat kek ini. Kek ni kalau makan banyak pun tak muak. Apatah lagi makan dengan air kopi. Ooooohhh......tak terkata sedapnya. Tak sedar dah dua tiga ketul kita makan ....hahahaha.
Resipinya pun ringkas. Kawan serumah sewa dulu yang bagi resipinya. Memang sedap. Kek yang kita buat sendiri lebih sedap walaupun rupanya tak begitu cantik.

KEK MARBLE
Bahan-bahannya:
1 1/2 cawan mentega 
1 1/2 cawan gula halus
3 cawan tepung gandum (Boleh juga guna tepung naik sendiri)
1 sudu teh baking powder
5 biji telur (gred B)
1 sudu teh esen vanila
1 sudu besar susu tepung
1 sudu besar serbuk koko
1 sudu besar parutan kulit limau
Sedikit pewarna kuning (jika suka)

Caranya:
1) Sedikan loyang yang disapu mentega.
2) Pukul mentega dan gula hingga kembang.
3) Masukkan telur sebiji demi sebiji dan kacau hingga sebati.
4) Masukkan esen vanila.
5) Setelah adunan sebati masukkan susu tepung dan tepung yang diayak dengan serbuk .
penaik, Kaup dan balikkan hingga rata.
6) Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Satu bahagian dicampurkan serbuk koko dan satu bahagian lagi dicampurkan sedikit pewarna kuning (jika suka) agar warna kuning lebih menyerlah dan parutan kulit limau.
7) Masukkan satu senduk adunan berwarna kuning di tengah-tengah loyang. Kemudian masukkan pula satu adunan coklat di atas adunan kuning. Ulang hingga habis hingga kelihatan belang kuning dan coklat.
8) Bakar hingga masak.

Yeaaayyyy ....kek pun dah sejuk. Bolehlah belah dan simpan. 

Sedia untuk dimakan 😋😋

Bekal untuk dibawa ke tempat kerja 😋😋


Kek marble ni dah banyak kali saya buat. Belum jemu makannya. Nak tukar warna pun boleh contohnya kuning belang merah. Bagi yang pertama kali ingin cuba buat kek, buatlah kek ni. Senang je. Sampai jumpa lagi. Bye!




Saturday, April 18, 2020

Popia Goreng Berinti Sayur Simple

24 Syaaban 1441H
Hari ke-32 PKP 

Rasanya dah hampir dua bulan kulit popia disimpan dalam peti ais. Beli untuk buat stok. Mana tahu ada ahli keluarga datang ke rumah boleh juga buat minum petang. Tapi, apabila PKP datang barulah plastik keluar dari peti ais 😃 Teringin pula nak makan popia goreng walaupun inti tak berapa cukup syarat. Yang ada cuma kacang panjang, lobak merah, sengkuang dan udang kering. Tak apalah kan ... boleh la tu.....hihi.  Popia goreng berinti sayur saya gandingkan dengan puding karamel. Ini kali ketiga saya buat puding karamel sepanjang tempoh PKP ni. 

Petang Sabtu, pukul 4.00 petang saya dah duduk kat dapur.  Buka peti ais bawa keluar popia sejuk beku, sayur dan udang kering. Cuaca di luar dah mula gelap. Tak lama kemudian hari pun hujan. Dingin terasa. Dah selesai solat asar, saya pun menikmati popia goreng dan secangkir teh tarik. Ehhhhh .... sedap jugak 😋. Bukan susah sangat nak buat popia goreng berinti sayur. Ikutlah apa yang ada di dapur. Ada hikmah juga PKP ni sebab tiada makanan yang dibazirkan. Para isteri yang bekerja mesti lebih bijak mengurus hal ehwal dapur. Setidak-tidaknya tak ada dah barang makanan yang expired ....kannn??

Popia sejuk beku jenama Trisha's

Popia siap untuk digoreng

Puding karamel yang memikat selera

Minum petang saya hari ini 


POPIA GORENG BERINTI SAYUR 
( Untuk 2 orang makan )

Bahan:
9 keping kulit popia (frozen)
2 urat kacang panjang
2 inci lobak merah
1/4 biji sengkuang (saiz kecil)
3 sudu besar udang kering (lagi sedap udang geragau)
2 sudu besar tepung gandum (bancuh dengan sedikit air jadikan pelekat kulit popia)
( ** Nak lagi sedap tambahlah tauge )

Cara:
1) Kacang panjang, lobak merah dan sengkuang dibasuh bersih.
    Kemudian sayur-sayur dipotong kecil seperti nak buat pecal.
2) Udang kering atau udang geragau dibasuh bersih dan toskan.
3) Di atas sekeping kulit popia, letakkan sayur dan udang kering.
    Gulung dan sapukan sedikit bancuhan tepung gandum untuk melekatkan kulit popia.
    Ulang sehingga habis.
4) Goreng popia hingga kulit bertukar keperangan.
    Angkat dan toskan. Boleh dihidang bersama sos cili.

** Nak buat sos cili jalan pintas ikut cara saya senang je 😆😋 Tuang sos cili dalam mangkuk dan tambah air panas. Boleh agak-agaklah ya jangan cair sangat. Tak perlu tambah garam dan tak perlu tambah gula. Rasanya tetap sedap ....sesedap rasa. Cubalah. Sos cili yang saya paling suka kalau makan dengan cucur ialah Sos Cili Thai jenama Kimball (gambar).


Thursday, April 09, 2020

Puding Karamel PKP Fasa 2

9 April 2020 / 15 Syaaban 1441H

          Ooohhh leganya .... akhirnya berjaya juga menyediakan Puding Karamel ni. Alhamdulillah. Sebelum PKP selalunya kakak ipar saya yang rajin buat. Setiap kali balik kampung atau datang ke rumah saya, satu atau dua bekas mesti untuk saya. Simpan dalam peti ais dan makan masa sejuk. Tak terperi enaknya. 

          Ye la kan .... bila ada orang yang rajin buat, kita relaks je. Tapi bila dah masuk PKP ni tak ada pilihan la jawabnya. Nak tak nak kena la buat sendiri.... hahahaha. Ada juga hikmahnya PKP ni kan? Setidak-tidaknya bertambah juga sikit kemahiran kita. Moga-moga rangkaian Covid-19 segera dapat diputuskan.  Insya-Allah.

Laporan terkini Covid-19 setakat pukul 5.00 petang tadi 
           Betul la orang kata. Makanan kalau buat sendiri memang sedap. Rasa original. Bila dah siap puding karamel ni, saya rasa termanis le pulak. Tak apa la .... ini percubaan pertama. Kalau nak buat lain kali mungkin boleh kurangkan sedikit gula.  Ini resipinya:

Puding Karamel 
Bahan Puding:
3 biji telur (saiz kecil)
300 ml susu segar
40 gram gula
1/2 sudu kecil esen vanila

Bahan Karamel:
45 gram gula
3 sudu besar air

1) Mula-mula sediakan acuan. Sapu acuan dengan mentega.
2) Sediakan karamel. Panaskan gula dalam periuk dengan api kecil. Kacau sentiasa. 
     Apabila gula bertukar perang, masukkan air. Teruskan mengacau hingga gula cair dan 
     warna keemasan.
3) Tuangkan karamel ke dalam acuan. Ketepikan.
4) Sediakan kukusan.
5) Sediakan puding. Dalam periuk panaskan sebentar susu segar dan gula. Kacau 
     sebentar hingga gula cair. Tutup api.
6) Dalam mangkuk, pukul telur dan esen vanila. 
7) Masukkan susu ke dalam mangkuk adunan telur. Kacau sebati.
8) Tuang ke dalam acuan kukus selama 20 minit. Boleh tutup acuan dengan aluminium foil 
     supaya permukaan puding cantik.
9) Setelah angkat dari kukusan, biarkan sejuk. 
10) Setelah sejuk boleh terbalikkan puding ke atas pinggan leper. Sejukkan dalam peti ais.

Kalau tak sabar .....makan je terus 😋😋

Terpecah masa nak terbalikkan ke pinggan ... mujur sedap 😋

Tak mengecewakan kerana tekstur puding ni halus je.


 Puding ni bersaiz kecil sebab susu segar hanya ada 300 ml je. Maka perlu disesuaikan dengan telur dan gula. Kalau nak guna acuan empat segi pun boleh juga. Lebih senang kalau nak simpan dalam peti ais. Kalau nak buat banyak gandakan saja sukatan. Tak susah la membuatnya. Sangat enak dimakan ketika sejuk.


Monday, March 30, 2020

ROTI PURI

29 Mac 2020 / 4 Syaaban 1441H


Roti puri memang sedap dimakan dengan kari ayam, kari daging atau sardin. Ikut selera orang Malaysia. Saya mula suka makan roti puri ni sejak menikmatinya ketika melancong ke India dua tahun lepas. Di sana roti puri tidak sahaja menjadi sarapan malah kadang-kadang disajikan pada waktu makan tengah hari dan minum petang. Seperti roti canai di Malaysia, bila-bila masa sahaja boleh dinikmati. Puri paling sedap yang saya jumpa sepanjang berada di sana ialah di Pahalgam selepas seronok berkuda pada petang itu. 



Roti puri wajib ada setiap kali sarapan dalam houseboat di Srinagar

Setiap pagi, sarapan di sini tak pernah tak sedap. Pukul 7.00 pagi sarapan dah tersedia. Roti puri yang kami cari dulu. Memang laku keras! Yang best, bos houseboat tahu berapa orang yang belum makan. Disebabkan bilik tak banyak dalam setiap bot, jadi dia memang kenal penghuni setiap bilik. Beberapa hari tinggal di bot ni memang memberikan pengalaman yang sangat menarik. Awal pagi dah keluar meneruskan perjalanan dan malam baru pulang untuk makan malam. Sebelum tidur, kami dibekalkan dengan tiub air panas untuk memanaskan badan. Di sini pada bulan Disember memang sangat sejuk. Tidur di sini memang lena. Kalau datang ke sini, bawa saja pakaian yang tak perlu digosok terutama tudung. Pakailah tudung yang tak perlu digosok sebab penggunaan seterika adalah dilarang oleh pihak pengurusan houseboat. 

Shopping di Jaipur
Kami juga dibawa melihat sekitar Jaipur iaitu ibu kota dan bandar terbesar di negeri Rajasthan. Jaipur lebih dikenali dengan nama Pink City atau Kota Pink. Pada petang itu, kami sempat masuk ke masjid di bandar ini. Di masjid ini rupa-rupanya tiada ruang solat untuk wanita. Daripada pengamatan saya, masjid di negara kita walaupun di luar bandar jauh lebih selesa dari segi kemudahan jika dibandingkan dengan masjid di Jaipur ini. Memandangkan tiada pilihan lain, kami meneruskan agenda petang itu dengan mencuci mata melihat barang-barang yang dijual di sepanjang deretan kedai di bandar Jaipur ini. Apapun barangan yang dijual di sini memang berpatutan. 

Pemandangan di sini memang cantik

Perempuan sahaja 😊

Salah sebuah masjid di Kashmir yang sempat kami kunjungi 
Tidak sekadar bermain salji, kami berpeluang naik gondola di Gulmarg. Harga tiket rasanya sekitar Rs700 atau kira-kira RM40. Sebelum itu, kami perlu menyewa baju dan but. Kalau saiz baju tak ada yang sesuai di badan terpaksalah pakai yang hampir padan. Labuh sikit pun tak apalah. Yang penting pakaian tak kotor. Dah penat bermain salji, boleh duduk-duduk sambil menghirup kopi panas atau coklat panas. Memang mengasyikkan!


Main salji di Gulmarg yang terletak 52 km dari Srinagar  
 
 Bergambar dengan abang askar Kashmir

Tak puas menikmati keindahan Taj Mahal sebab hari hampir malam


Dari Jaipur kami bergerak menuju ke Agra. Perjalanan dengan menaiki bas mengambil masa kira-kira empat jam setengah. Tak sabar nak melihat Taj Mahal. Taj Mahal yang terletak di tebing Sungai Jumna berhampiran Agra merupakan makam yang dibina oleh Maharaja Shah Jahan ( 1641 - 1666 ) sebagai monumen peringatan untuk isterinya, Mumtaz Mahal. Taj Mahal ini mula dibina pada tahun 1632 dan siap tahun 1648. Sebab utama saya ingin jalan-jalan ke India adalah kerana keunikan Taj Mahal. Memang sejak dulu saya memasang impian untuk sampai ke sini. Melihat sendiri Taj Mahal yang tersergam indah berada di depan mata. Subhanallah.  Alhamdulillah. Sangat cantik seni bina Taj Mahal ini. Seni bina Mughal yang menggabungkan seni bina Parsi, Turki, India dan gaya seni bina Islam. Ayat-ayat al-Quran menjadi hiasan utama Taj Mahal. Arkitek utama bangunan ini ialah Ahmad Lahauri . Taj Mahal merupakan sebuah kompleks bersepadu iaitu merangkumi bahagian makam, dewan, taman rekreasi, masjid, menara tinjau dan lain-lain. Pada tahun 1983, UNESCO  telah mengisytiharkan Taj Mahal sebagai tapak warisan dunia yang perlu dilindungi. Bangunan ini dikatakan 'permata seni bina Islam'. Bayangkanlah Taj Mahal ini dibina menggunakan 43 jenis batu permata termasuklah berlian, jed, firus dan nilam. Diceritakan juga bahawa kesemua bahan binaan itu dibawa dari Asia menggunakan 1,000 ekor gajah. Sayangnya, kami sampai agak lewat. Perlu berjalan jauh dari tempat hentian bas untuk masuk ke perkarangan Taj Mahal ini. Pengunjung sangat ramai dan bertali arus. Kami hanya dibenarkan membawa telefon bimbit tetapi tidak dibenarkan membawa power bank dan pengecas. Kami keluar dari perkarangan Taj Mahal ketika hari mula gelap. Dari kejauhan terlihat kilauan dari monumen indah itu kerana pantulan cahaya dari bumbung, kubah dan menaranya diperbuat daripada marmar putih dan seni mozek yang indah serta dihiasi permata. Tidak jemu mata memandang.


Depan houseboat sebelum berangkat ke Delhi
ROTI PURI KEMBUNG
Bahan-bahannya:
250 gram tepung gandum
1/2 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam
3 sudu besar minyak
Air suam

Caranya:
1)  Gaul tepung gandum, gula, garam dan minyak.
2) Masukkan air suam sedikit demi sedikit. Uli tepung sampai tak melekat di tangan.                   Rehatkan doh selama 10 minit.
3) Doh diuli sebentar dan bulat-bulatkan sebesar gola golf ( agak-agak la ya 😄) Kemudian         rehatkan doh selama 20 minit.
4) Leperkan doh. Tabur sedikit tepung di kedua-dua permukaan doh supaya tak melekat.
5) Goreng doh dalam minyak yang sedikit.

Nota: Saya tidak gunakan yis tetapi doh tetap kembung semasa kita menggoreng.                               Sebenarnya boleh saja gunakan yis ikut kesukaan masing-masing.

Doh dicanai selepas direhatkan 20 minit
Begini keadaannya selepas digoreng

Roti puri tanpa yis tetap kembung dan sedap

Saturday, March 28, 2020

Banana Ball

28 Mac 2020 / 3 Syaaban 1441H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
Moga kita semua dilindungi Allah daripada segala mara bahaya. Aamiin.

Hari ini hari ke-11 Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dikuatkuasakan di seluruh negara. Setiap hari jugalah saya akan mengikuti perkembangan semasa penularan wabak ini menerusi media terutamanya televisyen. Setiap hari, wajah Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Yang Berbahagia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah akan muncul di kaca televisyen melalui sidang media untuk melaporkan perkembangan semasa COVID-19.  Kalau terlepas waktu siaran, boleh menontonnya di https://www.tonton.com.my/   atau https://myklik.rtm.gov.my/live.php?ch=1. Statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga jam 5.00 petang semalam mencatatkan 2,161 kes keseluruhan dengan jumlah kematian 26 orang. Kita harap jumlah ini tidak bertambah lagi dan rantaian COVID-19 ini dapat diputuskan segera. Itupun bergantung kepada kerjasama setiap rakyat mematuhi arahan kerajaan.  

Mungkinkah penularan wabak COVID-19 juga tanda-tanda akhir zaman kerana antara tanda hampir kiamat ialah munculnya wabak penyakit yang mematikan. Tiada penawar untuk menyelamatkan manusia yang dijangkiti wabak ini. Banyak kebenaran daripada hadis Rasulullah saw yang menyebut tanda-tanda akhir zaman ini termasuklah kemunculan Dajjal yang akan menguasai seluruh pelosok dunia kecuali Makkah dan Madinah. 

Daripada Abdullah ibn Umar R.Anhuma beliau berkata, sabda Rasulullah SAW:
بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُنِي أَطُوفُ بِالْكَعْبَةِ فَإِذَا رَجُلٌ آدَمُ سَبْطُ الشَّعَرِ بَيْنَ رَجُلَيْنِ يَنْطُفُ رَأْسُهُ مَاءً فَقُلْتُ مَنْ هَذَا قَالُوا ابْنُ مَرْيَمَ . فَذَهَبْتُ أَلْتَفِتُ فَإِذَا رَجُلٌ أَحْمَرُ جَسِيمٌ جَعْدُ الرَّأْسِ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُمْنَى كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِيَةٌ قُلْتُ مَنْ هَذَا قَالُوا هَذَا الدَّجَّالُ ، أَقْرَبُ النَّاسِ بِهِ شَبَهًا ابْنُ قَطَنٍ
Maksudnya: “Ketika aku sedang tidur, aku melihat diriku bertawaf di Ka’bah. Tiba-tiba (aku melihat) seorang lelaki yang berkulit sawo matang, berambut lurus (berada) diantara dua lelaki. Kepalanya (seperti) menitiskan air. Aku bertanya: “Siapakah orang ini?” Mereka menjawab: “(Isa) putera Maryam.” Kemudian aku menoleh dan (melihat) seorang lelaki berkulit merah, bertubuh besar, berambut keriting, cacat mata kanannya, seakan-akan matanya seperti sebutir anggur yang menonjol keluar. Aku berkata: “Siapa ini?” Mereka berkata: “Ini ialah Dajjal!” Orang yang paling mirip dengannya ialah Ibnu Qathn[1].”
Riwayat al-Bukhari (6508)
(Dipetik daripada Laman Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Lanjutan dua minggu lagi PKP menyebabkan masing-masing rasa bosan. Jadi, pandai-pandailah mengisi waktu yang ada dengan perkara-perkara bermanfaat. Selain banyakkan membaca al-Quran, kita boleh juga ikuti ceramah-ceramah agama di Youtube. Contohnya, boleh ikuti ceramah agama menggunakan pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=qdQ7pSNB6SA bertajuk Di mana Kedudukan Kita di Mahsyar oleh Ustaz Wadi Anuar. Best ceramah ni. Kata Ustaz Wadi Anuar, orang soleh cepat timbangannya. 
Mungkin PKP ini memberi kita kesempatan untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah, berbuat baik dengan ahli keluarga selain bekerja dari rumah. Anak-anak lelaki boleh membantu ayah apa-apa saja kerja yang patut. Anak-anak perempuan dah boleh ambil tugas ibu di rumah. Bagi ibu berehat pulak. Ini peluang meraih pahala yang banyak. Petang ini boleh duduk dapur sediakan minum petang. Paling tidak pun buat cekodok tapi saya suka panggil banana ball 😂 Setiap kali buat banana ball ni mesti teringat kat Ahmad Hassan Wafiq, anak buah saya yang baru berusia 3 tahun. Dia memang suka banana. Dia tak sebut pisang 😊Boleh la cuba resipi ringkas cekodok pisang ni. Cekodok pisang original yang tidak dicampur air dan serbuk penaik.
Cekodok Pisang @ Banana Ball
Bahan:
6 biji pisang (pisang apa-apa pun boleh. Saya guna pisang awak )
5 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar gula 
Minyak untuk menggoreng
Caranya:
1. Hancurkan pisang yang telah dikopek.
2. Masukkan gula. Jika tak nak manis cukup 3/4 sudu besar sahaja. Tak perlu masukkan air.
3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit.
4. Goreng dengan menggunakan api sederhana. Bila warna bertukar gelap sedikit bolehlah angkat dan hidangkan.
Cekodok pisang @ banana ball. Memang gelap warnanya sebab saya suka rasanya yang pahit sikit 😋
Nota: Boleh dapat 27 biji cekodok daripada 6 biji pisang. Selamat mencuba untuk adik-adik yang baru nak belajar memasak 😘 Boleh tolong mak kat dapur ya.




Thursday, March 26, 2020

Karipap Ketika PKP COVID-19

Hari ini masuk hari ke-9 rakyat Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) sepanjang penularan wabak COVID-19 di seluruh negara. Wabak pandemik ini mula dikesan di negara China dan kemudiannya merebak ke seluruh dunia. Berita terbaharu melaporkan Sepanyol mencatat jumlah kematian kedua tertinggi di dunia selepas Itali. Statistik terkini COVID-19 di Malaysia setakat jam 5.00 petang tadi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM ) sudah mencatatkan 2,031 kes dengan 235 kes baharu manakala kes aktif sedang dirawat melibatkan 1,793 orang. Seramai 215 orang pesakit telah sembuh dan discaj dari hospital. Setakat ini jumlah kematian telah disahkan seramai 23 orang. 
         PKP yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac 2020 dilanjutkan hingga 14 April 2020. Terlalu lama pula rasanya 'berkurung' di rumah. Apa boleh buat, kan? Keselamatan kita lebih utama. Kita hanya dinasihati supaya 'stay at home'. Boleh kata dapat berehat juga la tapi bagaimana dengan para doktor dan jururawat yang terpaksa berhempas pulas 24 jam untuk menyelamatkan nyawa yang dijangkiti COVID-19. Begitu juga komitmen polis dan tentera yang mematuhi arahan kerajaan melaksanakan PKP sehingga tempoh PKP berakhir.  Moga pengorbanan mereka semua diberkati Allah hendaknya. Aamiin. 
          Tempoh lama 'stay at home' ini menjadikan para isteri makin kreatif apabila duduk di dapur. Setiap hari kepala berputar ligat memikirkan apa yang nak dimasak untuk keluarga. Setiap hari menu bertukar. Kalau tak, mesti ahli keluarga jemu. Pagi ini menu sarapan lain.  Pagi besok menu lain. Bayangkan kalau 14 hari lagi duduk di rumah. Jenuh juga tu nak fikir sarapan apa. Petang pulak kepala nak fikir juga apa yang bagus untuk minum petang. 
              Sudah berbelas-belas tahun rasanya saya tak buat karipap. Tempoh penguatkuasaan PKP sepanjang penularan COVID-19 ni menyebabkan saya terpaksa juga berfikir nak buat apa. Sambil mencari-cari resipi karipap, saya terjumpa resipi karipap di https://www.youtube.com/watch?v=ck9csOrOkAI&t=19s.  Terima kasih kepada Mamak Haji kerana berkongsi resipi ini di YouTube. Al-Fatihah untuk Mamak Haji yang telah kembali ke rahmatullah pada 25 Disember 2019. Sama2 kita doakan moga resepi yang diajar oleh beliau menjadi amal jariahnya kepada kita semua. Insya-Allah. Petang tadi saya buat pastri karipap guna resipi Mamak Haji ni. Alhamdulillah jadi. Cuma tak guna shortening sebab bahan ni tak ada di rumah. Saya gantikan dengan majerin je.

Bentuk karipap tanpa acuan sebelum digoreng

Daging ayam kisar untuk buat inti karipap
Boleh dapat 13 ketul karipap daripada sukatan 250 gram tepung gandum

Bahan pastri karipap:
500 gram tepung gandum
80 gm shortening atau majerin 
3 sudu besar minyak
1 cawan air sejuk ( ais )
1/2 sudu teh garam 
Minyak untuk menggoreng

Caranya:
1) Panaskan minyak. Masukkan minyak yang telah dipanaskan ke dalam tepung.
2) Panaskan majerin hingga cair. Kemudian masukkan majerin ke dalam tepung.
3) Gaul tepung hingga menjadi serbuk roti.
4) Masukkan air ais sedikit demi sedikit. Uli adunan kira-kira 5-10 minit.
5) Masukkan doh ke dalam plastik dan masukkan ke dalam peti ais kira-kira 30 minit.
6) Setelah 30 minit, keluarkan dari peti ais dan uli sebentar.
7) Bahagikan adunan kepada beberapa ketulan kecil. Leperkan dan bentuk ikut acuan.
8) Masukkan inti dan sedia untuk digoreng.

Nota: Saya hanya buat separuh sukatan. Daripada 250 gram tepung boleh dapat 13 biji karipap.

Inti Karipap ( Resipi saya sendiri sejak dulu )
250 gram ubi keledek 
1 keping daging kisar atau daging ayam kisar ( Saya guna jenama Ramly )
3 ulas bawang putih
1 biji bawang holand 
2 sudu besar serbuk kari (cairkan dengan sedikit air )
1 sudu teh garam
1/2 sudu teh gula
Daun sup
Minyak untuk menumis

Cara:
1) Pastikan daging ayam kisar berada pada suhu bilik.
2) Ubi keledek dan bawang besar di potong dadu. Ketepikan.
3) Bawang putih dicincang halus. Ketepikan.
4) Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang besar dan bawang putih dengan api sederhana sampai wangi.
6) Masukkan rempah kari dan kacau rata hingga garing dan pecah minyak.
7) Masukkan daging ayam kisar dan kacau. Masukkan sedikit air. 
7) Masukkan keledek yang dipotong dadu. Masukkan sedikit air dan biar daging ayam kisar dan ubi empuk.
8) Masukkan garam dan gula. Sesuaikan rasanya.
9) Apabila daging ayam dan ubi empuk dan kuah agak kering masukkan daun sup.
10) Setelah air kering, matikan api dan sejukkan inti.

Nota: Inti ini cukup untuk sukatan 250 gram tepung gandum ( separuh sukatan pastri karipap ) yang saya gunakan malah ada lebih dalam 2-3 sudu.