Powered By Blogger

Sunday, February 15, 2015

Pengurusan Kewangan: Kemahiran Untuk Semua Orang


Hutang isi rumah negara pada 2013 dilaporkan telah mencecah 86.7% berbanding nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar.

Merujuk kepada data Jabatan Insolvensi Malaysia pula, seramai 134,550 orang individu diisytihar muflis sepanjang tahun 2007 hingga Jun 2014. Secara purata, angka ini menunjukkan seramai 68 orang diisytiharkan muflis setiap hari. Golongan berumur 35 hingga 44 tahun mencatatkan peratusan tertinggi, iaitu 34.23 peratus, diikuti kumpulan berumur 45 hingga 54 tahun sebanyak 26.70 peratus, manakala golongan berumur 25 hingga 34 tahun mencatatkan 20.27 peratus.

Utamakan keperluan daripada kehendak


Langkah penjimatan dan perancangan kewangan sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup keluarga.

Jika dilihat kepada punca muflis pula, data Jabatan Insolvensi Malaysia, antara tahun 2007 hingga 2013, mendapati hutang disebabkan oleh sewa beli kenderaan mencatatkan sebanyak 30,452 kes, diikuti pinjaman perumahan 20,529 kes, pinjaman peribadi sebanyak 18,053 kes dan pinjaman perniagaan sebanyak 14,431 kes.
Masalah ini timbul disebabkan mereka gagal menguruskan kewangan dengan baik. Begitu juga dengan tahap kesedaran mereka terhadap kesan yang akan dihadapi oleh mereka apabila tidak membayar hutang.  Apabila mereka gagal melunaskan hutang, maka nama mereka akan  disenaraihitamkan. Oleh itu, apabila mereka ingin membuat permohonan membuat pinjaman pada masa akan datang, permohonan tersebut tidak diluluskan oleh pihak institusi kewangan.

Baru-baru ini, dilaporkan sebanyak 183,486 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) langsung tidak membuat sebarang pembayaran sejak tahun 2010. Peminjam ini diberi peluang untuk berbincang mengenai kaedah pembayaran balik sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

Pengetahuan dan kesedaran tentang pengurusan kewangan perlu diberikan di peringkat kanak-kanak tadika, pelajar sekolah, mahasiswa pengajian tinggi, pekerja muda dan semua peringkat umur. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) pada tahun 2012, 47 peratus pengguna muda berumur 18 tahun hingga 35 tahun menghadapi masalah hutang yang serius. Manakala, 37 peratus daripada mereka berbelanja di luar kemampuan. Purata perbelanjaan menggunakan kad kredit pula sebanyak RM702 sebulan. Ini menunjukkan kehidupan dan kos sara hidup generasi pengguna pada masa kini semakin mencabar.

Terdapat juga kes penipuan kad kredit melalui penggilan telefon

Pengguna perlu bijak dan mencari alternatif bagi mempelbagai sumber pendapatan. Langkah penjimatan dan perancangan kewangan sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup keluarga. Pengguna muda perlu mengatur belanjawan peribadi untuk keluarga. Amalkan prinsip 'Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian'.

Berikut ialah beberapa langkah yang boleh dilakukan dalam menguruskan kewangan, iaitu:-
a)   Simpan 10 peratus daripada pendapatan bulanan.
b)   Catatkan segala perbelanjaan harian, termasuk bayaran yang dibuat menggunakan kad       kredit.
c)   Senaraikan segala hutang dan bil tertunggak. Tetapkan matlamat anda untuk 
      melangsaikan hutang tersebut.
d)   Utamakan keperluan daripada kehendak.
e)  Tetapkan azam untuk mencapai matlamat kewangan. Disiplinkan diri dan jangan 
      berputus asa.
f)    Sediakan perlindungan kewangan yang terbaik untuk diri dan keluarga anda.
g)   Sentiasa mengemas kini maklumat pembayaran pinjaman dengan pihak institusi  
       perbankan (sekiranya ada).
h)   Dapatkan maklumat terkini laporan kredit melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit 
      Berpusat (CCRIS) di Bank Negara Malaysia dan cawangan/ pejabat wilayah         
      berhampiran.

Menyedari kepentingan pendidikan dan pengurusan kewangan, FOMCAtelah mengadakan Program Bulan Kewangan Berhemat pada bulan Oktober tahun 2011. Program ini telah dijadikan sebagai acara tahunan.
Pada tahun 2014, tema Bulan Kewangan Berhemat ialah 'Pendidikan Kewangan untuk Semua'. Tema ini bertujuan untuk memberikan penekanan kepada rakyat Malaysia bahawa pengurusan kewangan merupakan kemahiran hidup bagi semua orang.

Sepanjang bulan ini pelbagai aktiviti dirancang antaranya latihan kewangan untuk kanak-kanak pra sekolah, pendidikan kewangan untuk eksekutif muda, ceramah di sekolah dan di institusi pengajian tinggi, bengkel kewangan untuk komuniti khususnya golongan belia dan wanita serta pendidikan pelaburan untuk pemimpin masyarakat. Melalui aktiviti ini, pengguna akan diberi kesedaran agar membangunkan dan mengekalkan tabiat kewangan yang sihat untuk kesejahteraan kewangan mereka.


Sumber:   Fomca



Saturday, September 13, 2014

BUKAN IKLAN. CUMA TERKENANG AYAH.



Setiap kali saya memandang dakwat Quink (Quick and Ink) dan pen Parker ini saya terkenang arwah ayah saya. Saya teringat inilah bentuk serta warna pen dan dakwat yang dibelikan ayah untuk saya semasa diminta guru menggunakan pen dan belajar tulisan sambung semasa darjah 4. Memang seronok dapat menggunakan pen dakwat (hanya pen jenis dakwat yang dibenarkan). Pen ini saya gunakan hingga tingkatan enam. Saya gunakan secara maksimum untuk subjek Geografi (subjek yg paling saya minati). Dari nota yg diberi guru hinggalah peta yg dilukis saya ingin melihatnya sempurna. Peta yang dilukis dan diwarna mesti sama seperti dalam buku teks. Baru saya puas hati.


Dakwat ini menghasilkan warna yang cantik

Pen Parker berwarna hitam yang ketika itu harganya cuma RM4.50 sebatang 

Pakaian terutama kasut sekolah, jenama Bata yang ayah pilih untuk kami. Semasa darjah 1 dan darjah 2 saya hanya memakai kasut getah. Berulang kali juga merengek pada ayah, tapi mak memujuk … “nanti le dulu. Pakai dulu kasut yang ada tu. Nanti kalau dapat duit lebih boleh le beli kasut tu.” Hati sedikit sedih dan terkilan tapi mengenangkan ketika itu hidup susah lantaran adik beradik ramai dan masih bersekolah, maka saya belajar untuk bersabar. Semasa darjah 3 saya dapat rasa memakai kasut Bata dengan potongan seperti yang sering dipakai jururawat. Tapi pandai2 la berjimat. Kasut yang ayah beli tu untuk dipakai 2 tahun. Hanya sepasang seorang. Kotor? Basuh dan diang tepi api. Kasut Bata BM2000 saya pakai masa darjah 4. Gembira tak terkira dapat kasut jenama itu. Terfikir juga ayah cuma penoreh getah. Dapat duit RM180 saja dari paysheet yang saya baca. 

Tahun-tahun 70-an yang mencabar kerana enam daripada lapan adik-beradik yang bersekolah termasuk dua oang di asrama. Tapi masa tu saya cuma budak2, fikiran tak jauh ke mana. Pendapatan ayah sebanyak itu sememangnya tidak cukup apatah lagi jika dibandingkan dengan keadaan ekonomi sekarang dan bilangan isi rumah yang ramai. Tapi mak bijak berbelanja dan mengurus wang.  Yang saya lihat, untuk kelengkapan persekolahan, ayah selalu pilih yg terbaik walaupun saya selalu dapati dompet ayah selalu nipis dan poketnya banyak duit syiling sahaja.  Bagi mak pula, apa-apapun hal sekolah diutamakan dahulu. Mak tak kisahpun kalau ayah tak belikan mak rantai tangan atau rantai leher. Tapi dia sangat risau kalau yuran sekolah kami belum dibayar atau buku rujukan tidak dapat dibeli.  Bergadai barang kemas dan tebus balik sudah jadi perkara biasa bagi mak. Semua tu untuk persekolahan kami.  Apa yang saya ingat, saya cuma pernah minta kasut Bata BM2000 dan tahun sebelumnya kasut Bata dengan potongan kasut yang sering dipakai jururawat ketika itu. Potongan kasut yang nampak feminine ( masa tu ada angan2 nak jadi jururawat tambahan pula mak sedara pun jururawat. Saya suka pekerjaan yang sering berjumpa orang ramai). Masa sekolah menengah, saya hanya memakai kasut Bata dengan jaluran hijau di sekeliling tumit. Kasut yang cantik dan potongannya kemas pada fikiran saya ketika itu. 

Memang puas hati biala ayah belikan kasut ini

Bila dah sekolah menngah, tiada lagi meminta itu ini sebab saya dapat biasiswa BKP. Alhamdulillah.  Duit itu digunakan untuk membayar yuran dan membeli buku rujukan. Nak jumpa guru biasiswa pun malu. Melihat ayah balik dgn peluh dan penat menoreh, saya jadi tak sampai hati nak minta macam-macam.  Duit belanja sekolah hanya disimpan. Bawa bekal nasi dengan lauk ala kadar. Kadang-kadang bawa kuih saja.  Cukup la. Makan dengan kawan2 di belakang Blok D. Gembira rasanya. Ya la ... belajar berjimat. Cuma sesekali pergi ke kantin untuk makan nasi lemak atau cucur udang.  Itu pun kerana saya pengawas bertugas memang dibenarkan keluar 10 minit awal ke kantin.  Jika tidak, saya lebih suka memilih menikmati bekalan yang dibawa ke sekolah.  Kesian ayah dan mak yang Cuma menoreh getah dan petangnya pula ke kebun lagi untuk mengutip getah buku atau getah skrap.  

Pada hari cuti, saya suka duduk di tingkap nako yang dibuka luas menunggu ayah lalu depan rumah. Saya nak tengok berapa plastik susu getah yang ayah bawa ke setor getah. Kadang-kadang dua plastik penuh yang diletakkan di depan dan di belakang motorsikal. Kadang-kadang cuma satu plastik saja.  Kami yang perempuan memang tidak dibenarkan menorah (takut pokok rosak …hehe) dan hanya dibenarkan kutip skrap sahaja, itu pun hari cuti sekolah. Bila ada kesempatan bersembang, saya tanya juga pada mak mengapa susu getah yang ayah dapat tak banyak macam orang lain? Sekali sekala saja saya Nampak plastik yang penuh dan diangkut dua kali ke setor.  Mak pernah kata dengan melawak, “nak banyak? Boleh. Kita campur dengan air.” Tapi, mak kata, “tak usah le nak buat macam itu. Itu namanya menipu.  Dengan susu getah tu le mak dengan ayah nak bagi kamu semua makan. Biar le halal.”   Saya terdiam.

Sememangnya ayah juga tau apa saya suka. Setiap kali saya pulang bercuti semester pula, ayah tak lupa belikan laksa yg saya suka. Turun bas saja, saya nampak ayah dah menanti di dewan orang ramai. Ketika sihatnya, subuh dan maghribnya hanya di masjid.  Sesekali kalau ayah solat maghrib di rumah, ayah yang mengajar kami mengaji Quran.  Waktu-waktu yang lain, emak yang mengajar mengaji.  Tiga rotan mak yang tersisip di dinding adalah penggerak utama kami mengaji … Sungguh lucu bila mengenangkan kembali kisah kanak-kanak.  Pernah juga emak berpesan kepada saya supaya mengajar sendiri anak-anak mengaji Quran.  Belajar mengaji Quran dengan atuk, opah, ayah dan mak bagai mengalirkan aura ke jiwa saya.  Begitulah kenangan yang tersimpan hingga kini. Kenangan yang ayah tinggalkan ...rebana, ukiran rumah, lagu2 dari paluan rebana masih terngiang-ngiang begitu juga lagu Jepun lama, jenaka ayah mengusik mak dan panggilan nama manja cucu2nya. 

Al-fatihah.


Thursday, June 05, 2014

CINTA NAN MERAH

Kanashii kimochi

Biarkan hati berbicara. Hati tidak selalu riang. Tapi, tidak juga selalu duka. Saat hati berdendang, yang lain sama gembira. Saat hati lara, air mata tertumpah jua. Pada yang mengerti, hati dapat menyelami kala resah sendu dan saat tawa ria. Ada saatnya hati menjadi rapuh meski kekuatan telah sekian lama dibina.




Monday, March 31, 2014

PASSPORT PALSU, KOTAK HITAM DAN TEKNOLOGI SATELIT

31 Mac 2014 / 29 Jamadil Awal 1435


Isu yang sangat memberi kesan di hati ramai orang ketika ini ialah misteri kehilangan MH370 iaitu pesawat canggih dua enjin jenis Boeing 777-200ER milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi. Hari ini hari ke-24 misteri kehilangan pesawat itu disiarkan di media massa namun masih belum menemukan jawapan sejak kehilangannya pada 8 Mac lepas. 



          


Berita terbaru, Agensi Pusat Koordinasi Bersama (JACC) akan ditubuhkan untuk menyelaras operasi di antara semua pasukan pencarian antarabangsa dan agensi kerajaan Australia. JACC berpusat di Pangkalan Tentera Udara Pearce di Perth. Dalam pencarian tersebut, sembilan pesawat tentera Malaysia C-130, Cina Ilyushin IL-76, Jepun Coast Guard G5, Australia P3 Orion, New Zealand P3 Orion, Amerika Syarikat P8 Poseido, Jepun P3 Orion, Korea P3 Orion dan satu pesawat awam dari New Zealand akan diterbangkan ke kawasan carian malah 11 kapal laut milik China dan tiga milik Australia turut dikerahkan ke kawasan carian. Kapal KD Lekiu milik Malaysia dijangka akan tiba di kawasan carian pada 3 April. Pihak berkuasa Australia memaklumkan kawasan pencarian hingga hari ini sudah seluas 254, 000 kilometer persegi.


Kehilangan pesawat MH370 memang sangat misteri. Pencarian pesawat  MH370 yang hilang oleh pakar aviasi memerlukan dedikasi yang teramat tinggi dan perbelanjaan ratus juta dolar memandangkan insiden ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kenyataan ini dibuat oleh seorang saintis bertaraf dunia, David Mearns menerusi temuramahnya dengan China Central Television (CCTV) pada Sabtu lepas.







Kita menghargai kerjasama antarabangsa dalam menyelesaikan isu ini.  Kita turut merasai kepiluan yang menyelubungi keluarga mangsa tragedi namun sebagai orang yang beriman kita harus menerima takdir kerana kecanggihan teknologi tidak dapat menandingi kudrat dan iradat Allah SWT.  Setiap kejadian yang berlaku sudah tertulis sebagaimana firmanNya yang bermaksud, “ Dan tiada sesuatu perkara yang ghaib di langit dan di bumi, melainkan tertulis dalam Kitab yang terang nyata. (Surah An-Naml 27:75)  Juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid telah melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab. 



Provokasi media asing yang timbul ekoran pelbagai spekulasi berhubung isu ini akan memberi kesan kepada hubungan diplomatik dan ekonomi antara Malaysia dan negara luar. Firasat sesetengah pihak mengatakan ada sesuatu yang tidak beres. Andaian empat faktor kehilangan pesawat ini pula ialah kemungkinan pesawat dirampas, sabotaj, masalah psikologi penumpang serta anak kapal dan masalah peribadi mereka. FBI turut dilaporkan akan melengkapkan analisis data daripada  “flight simulator X”, “flight simulator 9” dan “X flight 10” milik Kapten Zaharie. Orang ramai turut tertanya-tanya adakah tiga jenis permainan penerbangan yang didapati telah dipadamkan pada 3 Februari itu mengancam keselamatan negara? Semoga semua persoalan ini dapat dikupas dengan begitu teliti, telus, rasional dan saksama. Hanya doa menjadi senjata ampuh agar Yang Maha Esa memberi kita kesempatan untuk memperbetulkan apa yang khilaf.  Namun demikian, ini bukan waktunya untuk kita menuding jari menyalahkan mana-mana pihak meskipun ada menyifatkannya sebagai kehilangan yang dirancang sebaliknya bersikap rasional dan sama-sama berdoa agar usaha semua pihak menemui penyelasaian terbaik.  Jangan berhenti berdoa. Semoga misteri ini akan segera terungkai.

Monday, March 24, 2014

REBUT LIMA SEBELUM LIMA


24 Mac 2014 / 22 Jamadil Awal 1435

Peringatan untuk diri:

Hari ini kita kehidupan kita penuh cabaran. Kita dikelilingi seribu satu macam kecantikan dan keindahan dunia sehingga kita terlupa untuk memikirkan banyak bekalan untuk dibawa mati.  Kita terpesona lalu alpa dengan amanah yang sepatutnya kita tunaikan terhadap Pencipta yang memberi kita limpahan rezeki dan umur panjang.  Panggilan Tuhan yang sering lambat disahut tetapi lebih bersegera untuk menjawab mesej yang ada di peti masuk.  Tuhan ... ampuni kami kerana kelalaian kami.

Sama-sama kita persoalkan bagaimana keadaan kita pada hari ini? Apakah hati kita sudah
sama seperti Ta’labah atau selama ini dibuai kenikamatan dunia? 
Sama-samalah kita insafi betapa banyaknya masa yang kita telah bazirkan dengan hiburan dunia, betapa sedikitnya masa yang kita luangkan untuk menggapai keredhaan Allah.




Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak berganjak langkah kaki seseorang hamba pada hari pembalasan kelak sehingga mereka ditanya empat soalan iaitu umurnya ke mana diperuntukkan, usia muda ke mana dihabiskan, hartanya dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah diamalkannya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)


Saturday, March 22, 2014

INTEGRITI ITU SOAL HATI

22 Mac 2014 / 20 Jamadil Awal 1435

TROLAK, 22 Mac - Warga pendidik disaran agar mengamalkan nilai integriti dalam diri di samping menjadikannnya budaya kerja dalam organisasi. Enam nilai teras integriti yang sepatutnya menjadi amalan individu ialah sifat benar, amanah, telus, bijaksana, bersyukur dan adil sementara setiap organisasi harus membudayakan amalan berdisiplin, mesra, bekerjasama, taat setia, komitmen, ikhlas / jujur, bertoleransi dan bertanggungjawab sebagai nilai teras integriti organisasi masing-masing seperti yang terkandung dalam Pelan Integriti Nasional.

Menurut Rakan Peningkatan Sekolah ( SIP), Haji Mohd Kamil bin Abdul Rahman dalam pembentangan kertas kerja beliau bertajuk ‘Pelan Integriti Nasional dan Pembudayaan Integriti dalam Pendidikan’, warga pendidik mempunyai peranan besar untuk mendukung tanggungjawab dan membina modal insan. Sewajarnya setiap warga pendidik mengamalkan sikap baik di samping mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tinggi. Nilai, etika dan integriti sangat penting sebagai amalan individu, organisasi, masyarakat dan negara. Dalam seminar berkenaan, beliau turut menggariskan lima tekad Pelan Integriti Nasional (PIN) sebagai mekanisme menjayakan agenda membudayakan integriti masyarakat Malaysia secara menyeluruh.



Bergambar bersama Rakan Peningkatan Sekolah (SIP) Tn. Hj. Mohd Kamil b. Abdul Rahman 
pembentang kertas kerja Seminar Integriti Warga Pendidik Daerah Batang Padang 2014
Seminar Integriti Warga Pendidik Daerah Batang anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang dan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi zon selatan telah diadakan di Maktab Rendah Sains Mara, Trolak. Seminar ini bertujuan meningkatkan nilai integriti dalam kalangan guru-guru di samping memberi maklumat ke arah memantapkan nilai integriti kepada warga pendidik. Penganjuran seminar ini juga adalah untuk memastikan warga pendidik daerah Batang Padang sentiasa menjadikan nilai integriti sebagai panduan pengurusan kerja. 

Menurut Rakan Peningkatan Sekolah, Haji Mohd Kamil bin Abdul Rahman dalam pembentangan kertas kerja beliau bertajuk ‘Pelan Integriti Nasional dan Pembudayaan Integriti dalam Pendidikan’, warga pendidik mempunyai peranan besar untuk mendukung tanggungjawab dan membina modal insan. Sewajarnya setiap warga pendidik mengamalkan sikap baik di samping mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tinggi. Nilai, etika dan integriti sangat penting sebagai amalan individu, organisasi, masyarakat dan negara. Dalam seminar berkenaan, beliau turut menggariskan lima tekad Pelan Integriti Nasional (PIN) sebagai mekanisme menjayakan agenda membudayakan integriti masyarakat Malaysia secara menyeluruh.


Seminar Integriti Warga Pendidik Daerah Batang anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang dan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi zon selatan telah diadakan di Maktab Rendah Sains Mara, Trolak. Seminar ini bertujuan meningkatkan nilai integriti dalam kalangan guru-guru di samping memberi maklumat ke arah memantapkan nilai integriti kepada warga pendidik. Penganjuran seminar ini juga adalah untuk memastikan warga pendidik daerah Batang Padang sentiasa menjadikan nilai integriti sebagai panduan pengurusan kerja.