Powered By Blogger

Friday, December 13, 2013

Pertarungan 17 Sudah Berakhir

Jumaat:  13 Disember / 10 Safar 1435H


Hari ini 13 Disember 2013.  Pertarungan 17 bagi diri saya sepatutnya berakhir semalam. Tapi saya bangga kerana sasaran saya untuk menyiapkan tugasan ini sebelum 16 Disember tercapai sudah.  Kalau tahun lepas, saya menyiapkan tugasan ini sehari sebelum hari mesyuarat. Orang terakhir yang saya nilai ialah yang memiliki nombor 150.  Susahnya tapi tahun ini saya dapat  menilai dalam suasana yang agak santai. Fikiran tak berserabut. Harap-harap penilaian saya adil.  Bukan senang kerja ni!

Cuti sekolah yang bermula pada 16 November 2013 sebenarnya peredaran masa yang biasa bagi saya. Mungkin sebab saya tak bercuti ke mana-mana. Tahun ni agak lesu. Tahun lepas dapat juga saya konvoi dengan dua orang abang saya bercuti ke Penang.  Bawa emak dan ayah bersama-sama. Turut serta ialah dua anak saudara saya yang tidak disertai oleh emak dan ayahnya.  Tapi, seronok. Puas hati melayan kerenah budak-budak. Biasa la merajuk, meragam, bergaduh kecil dengan adik-adik lepas tu berbaik semula.  Bila nak tengok mereka diam? Tunggu apabila masing-masing dah tidur. Kepenatan berendam di kolam mandi pada waktu siang.  

Atas feri 
                                     
Mandi-manda di kolam renang TM Resort, Tg Bungah Jun tahun 2012.
Walaupun tidak bercuti ke mana-mana tapi tugasan rasmi atas jawatan RO memberi aku peluang untuk ke luar daerah. Dapatlah melihat negeri orang jika tempat mesyuarat itu jauh dan memakan masa dua atau tiga hari hari.  Seronok. Bercutilah tu ... hehe. Lagi seronok kalau ke tempat mesyuarat ada teman. Jika kereta penuh empat orang setidak-tidaknya dua orang pun sudah cukup untuk menjadikan perjalanan lebih ceria dan gembira. Tak la mengantuk kalau memandu.  Pada tahun ni dapat juga saya melepaskan pandangan ke Batu Feringghi, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Taiping.  Dalam perjalanan pulang dari Penang, sempat singgah di kedai Jeruk Pak Ali tak jauh dari Hotel Hydro tu. Kalau sebut meeting di Penang, mesti tak lupa jeruk Pak Ali tu. Hajat hati nak singgah ke Pasar Kemboja di Parit Buntar tercapai juga.  Memang saya nekad untuk sampai ke sana. Beberapa hari sebelum ke Taiping, saya minta sahabat saya Norwati Ali sediakan pelan lokasi untuk saya.  Alhamdulillah, tak sesat.  Walaupun tak 100 persen tepat tapi pelan lokasi mudah dibaca dan mudah mengecam semua simpang dan 'landmark'.  Dapat kawan 'sporting' satu kepala. Memang best. Faizah dan Roziah mengikut sahaja. Selesai berbelanja di sana kami ke destanasi yang terkenal dengan mee udang di Kuala Sepetang.

Mee udang di Kuala Sepetang  Oktober 2013
Sebenarnya coretan ini belum berakhir.  Cuma cukupla berhenti seketika di sini.  Jika ada kelapanangan akan disambung lagi. Jumpa lagi!


Sunday, March 10, 2013

Tentang Cinta

Sesiapa pun boleh berbicara tentang cinta.  

Hebatnya kuasa cinta pada orang yang merasa.  




Andai ia sebuah cinta… ia tidak mendengar… namun sentiasa bergetar. 
Andai ia sebuah cinta… ia tidak buta namun sentiasa melihat dan merasa. 
Andai ia sebuah cinta… ia tidak menyeksa namun sentiasa menguji. 
Andai ia sebuah cinta ... ia bagai terseksa apabila cinta didusta,
Andai ia sebuah cinta… ia tidak memaksa namun sentiasa berusaha. 
Andai ia sebuah cinta… ia tidak cantik namun sentiasa menarik.
Andai ia sebuah cinta… ia tidak datang dengan kata-kata namun sentiasa menghampiri dengan hati. 
Andai ia sebuah cinta… ia tidak terucap dengan kata namun sentiasa hadir dengan sinar mata.
Andai ia sebuah cinta… ia tidak hanya berjanji.. namun sentiasa cuba memenangi.
Andai ia sebuah cinta… ia tidak hadir kerana permintaan namun hadir kerana ketentuan.
Andai  ia sebuah cinta… ia tidak hadir dengan kekayaan dan kebendaan… namun hadir kerana pengorbanan dan kesetiaan.

Monday, November 26, 2012

Hujan dan Kesesakan di Lebuh Raya

      Ketika saya menulis di blog ini, sudah satu jam saya berada di rumah sekembalinya dari mesyuarat bersama-sama En. Mohd Aris, Hj. Noor Azman Shah, Wan, Shahrul, Pn. Salmiah, Pn. Mariana, Pn. Zarina, CIk Rupini, Pn. Yosha.dan Pn. Siti Aishah di SMK Sentosa, Kampar. Kami bermesyuarat dah tiga hari sejak 24 November lepas. Sejak pukul 3.00 petang tadi hari dah mula gelap dan kemudiannya hujan renyai-renyai dan beransur lebat apabila saya dah masuk Lebuh Raya Utara-Selatan. Masuk Plaza Tol Tapah hari mula hujan dan makin lebat apabila sampai Bidor.  Saya masuk plaza tol kerana tak mahu mengekori lori tambahan pula hari hujan dan beberapa meter jalan Bidor-Sungkai yang teruk.  Memang membosankan apabila sampai di situ.

         Sebaik sahaja dapat memotong lori yang panjang dengan muatan berat, saya berasa lega. Malangnya terpaksa membatalkan niat keluar di Plaza Tol Sungkai kerana kesesakan di hadapan. Kenderaan dah berderet panjang di kedua-dua lakuan ke selatan lebuh raya. Seperti tak bergerak langsung. Saya mengagak, mungkin ada kemalangan. Tak mungkin polis trafik buat sekatan jalan raya.  Oleh sebab dah hampir sampai susur keluar ke Plaza Tol Bidor, saya membelokkan kereta untuk memasuki plaza tol sahaja. Bayar tol cuma RM2 sahaja.  Malas nak singgah di mana-mana langsung pulang ke rumah.

         Sampai di rumah saya mengeluarkan bakul yang berisi baki bekalan yang dibawa pagi tadi. Ada tiga keping roti canai yang dah sejuk (kata Siti Aishah, kalau masuk microwave panaskan balik, sedap ni!), kuih cucur badak, cekodok durian, kuih lapis dan kuih seri muka.  Sedap juga makan masa hujan ni.  Air nescafe dah siap dibancuh. Nak minumlah...

          Tugasan hari ni dah selesai.  Ada masa lebih kurang 20 hari untuk menyiapkan tugasan wajib tahun ni.  Apapun, saya perlu tunaikan amanah ni dengan sebaik-baiknya seperti kawan-kawan saya tadi tu.  Sekejap lagi atau malam ni saya akan sambung kerja saya. Sekarang nak rilekskan kepala supaya kembali 'mood' yang lebih baik.  Biarpun sekarang hujan masih agak lebat dan tak tahu bila nak berhenti, kewajipan itu tetap akan dilaksanakan.  Dah ada kerja ni, kurang sikit bosan tambahan pula Sarah, Afiq dan Sofia dah balik ke Shah Alam.  Apapun, syukur alhamdulillah kerana hampir dua minggu di sini saya dah dapat memberi keriangan kepada mereka bertiga. Makan di Pizza Hut, Dunkin Donat, beli peralatan melukis, beli peramainan dan bawa jalan2.  Yang belum sempat bawa dema bercuti ke Melaka. Betul la kata orang, budak2 cepat ingat dan menuntut janji. Bila agaknya nak pergi Melaka ni???

Saturday, November 10, 2012

Musim hujan, Musim durian dan Kerabu Taugeh

      Musim hujan masih belum reda.  Sejak bulan Oktober hujan lebat berterusan di sesetengah negeri menyebabkan mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir tak tenang fikiran. Kasihan mereka! Johor, Selangor dan Perak adalah antara negeri yang teruk dilanda banjir, Kalau di Perak, tempat yang kerap dilanda banjir ialah di kawasan Hilir Perak antaranya Changkat Jong.  Sehari sebelum saya menghadapi Peperiksaan STPM di SMK Seri Perak, Teluk Intan, saya dan kawan-kawan di rumah sewa sempat 'bermain' air banjir. Tangkap gambar buat kenangan! Masa tu tuan rumah kami yang kami panggil Makcik Wan tak ada di rumah  kerana berada di rumah anaknya di Parit Buntar.  Mujur juga rumahnya dua tingkat, tingkat bawah untuk memasak dan makan manakala tingkat atas bilik tidur dan tempat kami belajar.  Ketika air belum surut, kami semua malas nak turun bawah sebab banyak ulat air, Takut ular pun ya!

     Saat blog ini ditulis, banjir di  Perak dan Negeri Sembilan pulih sepenuhnya dan semua mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan pulang ke rumah masing-masing malam Jumaat.  Menurut laporan portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula, kesemua 134 mangsa banjir di Perak dan 34 di Negeri Sembilan telah pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan banjir di kawasan tersebut telah reda. Mangsa banjir di pusat pemindahan di Selangor pula berkurangan kepada 878 orang berbanding 983 petang semalam, setelah 105 orang pulang ke rumah masing-masing  (Berita dipetik daripada MStar Online, Sabtu 10 November 2012)

      Sekarang keadaan masih lagi mendung, Nak buat apa-apa kerja atau nak ke mana-mana perlu keluar pada waktu pagi.  Walaupun hujan, tanah basah, keadaan sekeliling yang lembab , saya perlu juga keluar mencari durian yang gugur. Walaupun belum 'gegak' tapi rezeki Tuhan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja untuk santapan tupai atau babi hutan.  Tengah hari tadi, dapatlah enam biji buah durian yang berbau harum dan masih elok buahnya. Syukur alhamdulillah. Selepas menolong emak memeriksa pokok asam gelugurnya, saya turun ke lurah nak tengok kalau-kalau ada buah durian yang luruh. Tak ada!  Naik semula ke atas.  Dah menebas-nebas dan mengambil bungan kantan, mak suruh saya naik ke rumah.  Oh ya, tiba masanya saya memasak.  Saya cuma memasak kanji (ala-ala McDonald) dengan tambahan lobak merah, kentang dan udang rasanya lebih enak dan menyelerakan.  Siap kerabu taugeh resipi opah Ramnah. Nampak mak berselera makan. Ayah makan nasi dengan gulai lemak ikan pari.  Sedang memikirkan apa pula nak masak untuk juadah minum petang.  Musim cuti sekolah ni, memang masanya la untuk saya melayani selera makan ahli keluarga saya terutama mak dan ayah.  Kalau hari bekerja memang tak sempat nak buat itu... ini... tapi musim cuti sekolah mereka perlu diberi keutamaan.

      

Monday, November 05, 2012

Menangis Itu Penawar


      Menangislah ...kerana menangis juga penawar. Kajian yang dijalankan di Jepun  mendapati kesihatan pesakit reumatisme (sering berasa sakit sebelum hujan, sengal di bahagian sendi atau seluruh bahagian badan) yang membiasakan diri menangis bertambah baik dalam masa setahun.  Daya tahan mereka juga meningkat apabila dibandingkan dengan mereka yang tidak membiasakan diri menangis.


Wanita dikatakan menangis 47 kali setahun manakala lelaki 7 kali (Gambar hiasan)

Reumatisme dilaporkan mendahului senarai penyakit tulang (Gambar hiasan)
      Menangis juga ada hubungkait dengan hormon kortisol. Hormon ini terhasil daripada kelenjar adrenal yang terletak pada buah pinggang kita. Hormon kortisol terlibat secara langsung dalam metabolisme lemak. Jika ia berlebihan atau berkurangan maka lemak akan berkumpul. Hormon ini juga mustahak dalam penghasilan tenaga tubuh kita. Jika berkurangan atau berlebihan tenaga tidak dapat terhasil dengan baik. Justeru hormon kortisol harus berada pada tahap optimum bagi seseorang itu memperoleh tubuh badan yang langsing serta tahap kesihatan yang baik.  

      Masalah obesiti selalunya disebabkan hormon kortisol yang berlebihan yang boleh menyebabkan mereka sukar menurunkan berat badan. Kortisol yang tidak seimbang sering mengganggu tindakan hormon lain seperti hormon tiroid, hormon estrogen, hormon progesteron dan lain-lain lagi. Hal Ini kerana hormon saling bertindak secara sinergistik. Kesan berlebihan atau ketiadaan satu hormon akan mengganggu tindakan hormon lain. 

      Kajian juga mendapati hormon kortisol tidak bertambah apabila bayi menangis dalam pelukan ibu ataupun pengasuh yang menyayanginya sepenuh hati.  Hal ini kerana bayi itu berasa selamat dan memperoleh kasih sayang.

      Kajian yang dijalankan di negara matahari terbit itu juga mendapati bahawa tangisan adalah satu daripada cara untuk membuang radikal bebas daripada badan. Selain itu, menangis juga adalah bentuk penyerahan diri seorang mukmin kepada Penciptanya. Menangis kerana takut atau merindui Allah adalah kebiasaan orang soleh. Keheningan malam mendekatkan diri seorang hamba kepada Tuhannya.  Rasulullah turut menyarankan agar kita bangun malam dan menangis memohon keampunan Allah.

Rujukan:


1. Dr. Mohammad Ali Toha, 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah, hlm. 36

Monday, October 29, 2012

Zaman Kanak-Kanak


      Tidak ada orang yang dapat melupakan zaman kanak-kanak yang sangat indah.  Ketika umur dua, tiga atau empat tahun mungkin tak dapat ingat apa-apa malah saya tak berapa ingat peristiwa yang saya lalui ketika umur lima tahun. Kalau ikut kajian Piaget, pakar psikologi kognitif berbangsa Swiss, pada tahap umur 2-7 tahun, kanak-kanak tidak boleh menguasai konsep kekalan. Pada peringkat umur ini kanak-kanak hanya memberi tumpuan kepada satu ciri masalah saja, egosentrik dan tidak dapat menukarbalikkan sesuatu tingkah laku secara mental.

                            

      Cerita zaman kanak-kanak tapi mengapa saya 'insert' banyak gambar Sharifah Aini? Sebabnya, sejak usia kecil hingga dewasa, suara inilah yang kerap menghiburkan saya. Suara yang lemak merdu dan lunak. Ramai penyanyi bersuara baik, nyanyian pun baik tapi payah nak dengar suara yang lunak.  Masa ni belum ada Siti Nurhaliza. Suara lain yang kerap berkumandang di udara ialah suara Ahmad Jais, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Saloma, Orkid Abdullah yang terkenal dengan lagu Penawar Rindu, Rafeah Buang dan Kartina Dahari.  Lagu Penawar Rindu oleh Orkid Abdullah itu pulak menjadi nyanyian saya setiap kali balik dari sekolah semasa saya dalam darjah satu. Entah siapa yang saya rindu, tak tau la. Saja suka-suka.  Biarpun ada banyak suara mirip suara Siti Nurhaliza namun suara Sharifah Aini tetap 'menjadi pujaan hatiku'. Memang, suaranya sekarang dah banyak berubah kerana meningkatnya usia dan keupayaan mengawal vokal. Apa yang saya ingat, semasa saya dalam darjah satu saya suka nyanyi lagu 'Temanku' (baru sekarang saya tahu lagu Sharifah Aini yang selalu saya pilih untuk dapat cepat keluar rehat ialah lagu Temanku. Nyanyi je pandai, tajuk tak tahu!) Saya tak bersekolah tadika, sebab tu la saya tak tahu banyak lagu kanak-kanak. Lagu pop je saya pandai! Hehehe....lawak betul!

                        

      Masuk umur enam tahun banyak yang saya dapat ingat. Kisah zaman kanak-kanak yang penuh kegembiraan walaupun sebahagian besar usia kanak-kanak saya habiskan dengan datuk dan opah saya di Rungkup, Bagan Datoh. Kawasan kampung yang banyak pokok kelapa dan koko.  Tapi saya sangat gembira kalau dapat balik kampung ayah saya di Kampung Gajah.  Pasal apa? Ooohhh .... sebab ada sungai dan pokok petai.  Saya akan memilih sungai berhampiran rumah Pak Ulung (guru mengaji) sebab air sungainya tohor, boleh bermain-main dan berlari-lari sambil mandi.  Kalau balik ke sana semasa hari raya saya tetap ingat kuih raya dam yang opah saya hidangkan dalam bekas kaca.  Opah saya ni mahir menganyam tikar pandan atau mengkuang dan membuat tilam kekabu. Pendek kata opah saya ni sangat rajin orangnya.  Saya suka sangat opah saya ni sebab dia tak pernah marah saya malah tak pernah menolak kalau saya suruh dia bercerita.  Saya pula tak banyak ragam pasal makan, Apa sahaja yang opah saya masak saya makan. Dapat nasi panas digaul dengan petai belalang ( kepunyaan Yong Rahmah dan Yop Shad (Arshad) yang boleh dicapai dari tingkap rumah opah saya) dan ikan masin pun dah cukup. Sejak kecik juga opah dan atuk saya dari sebelah mak dan ayah saya tak mengajar saya jadi pemilih tentang makan.  Sebab tu tiada istilah pantang itu dan pantang ini. Cuma pantang nampak je ... hehehe.  Alhamdulillah.  Kalau pergi ke mana-mana pun tak ada masalah tentang makan dan minum ni. Asal halal dan bersih.

      Memang, corak kehiduapn saya tak sama dengan kawan-kawan lain barangkali.  Tidak ada kawan nak bermain. Kawan saya ialah bapa saudara saya. Tapi selalunya saya main sorang-sorang di bawah pokok ciku atau di bawah rumah. Maklumlah rumah kampung tradisional memang tinggi-tinggi. Waktu pagi saya akan bersama-sama atuk dan opah di kebun kelapa dan kebun koko. Mujur juga ada kambing dan lembu peliharaan atuk saya, tak lah bosan sangat. Sambil atuk dan opah berehat melepaskan penat di bawah pokok koko, saya ditugaskan untuk menambat kambing.  Tapi, ada juga kambing yang degil.  Sesekali jadi gembala lembu. Bukan saya menyeret lembu tapi lembu menyeret saya sampai terjatuh. Maklumlah, lembu besar sedangkan saya kecik baru umur enam tahun dan saiz badan pun tak besar mana! Kalau hari Jumaat, pagi-pagi lagi saya akan tolong opah hantar air kopi dan teh ke masjid sebab pagi Jumaat ada tok guru datang mengajar agama.  Cuma, apabila saya dewasa dan teringat semua kisah silam zaman kanak-kanak membuatkan saya terfkir bahawa apa yang yang atuk saya suruh buat masa saya kecil sebenarnya mengajar saya erti tanggungjawab. 


Dari kiri: Uda Idris, Ayah, Andak Abd Rashid, Atuk, Emak dan Opah. Di pangkuan Atuk ialah Chik Azhar (Mahmud) dan di pangkuan mak Yop Majid


       Kalau ikut logik, sepatutnya umur saya enam tahun bukan kerja saya mengikat kambing atau menambat lembu di pokok kelapa. Apa jadi, kalau semasa saya menyeret lembu tu lembu mengamuk dan lari meninggalkan saya? Bukanlah atuk akan rugi kalau lembu lari? Bukan senang nak cari balik! Tapi, atuk tak kisah, walaupun ikatan lembu yang saya buat tu tak kuat. Bila-bila masa je lembu boleh lepas lari. 


Bertindik semasa hari perkahwinan Andak Rashid tahun 1974. Nak tergelak tengok muka sendiri.

        Betullah.... semua perkara perlu dididik sejak kecil. Umur enam tahun opah saya ajar saya masak yang senang-senang.  Pada hari ibu saya bersalin, saya disuruh oleh opah menjerang air, bancuh kopi satu cerek dan hidangkan bersama-sama biskut empat segi (ada orang kata 'biskut mayat') di tengah rumah untuk tetamu dan sedara mara yang datang.  Kerja lain yang saya buat termasuklah mengangkut sabut dan tempurung kepala naik ke rumah (ganti kayu api sebab masa tu tak ada dapur minyak tanah) dan menyapu sampah.  Kekadang, mengumpul buah ciku, basuh dan peram.  Masa bermain memang amat kurang. Apapun, tiada sesalan di hati kerana pengalaman itu mengajar saya jadi orang yang selalu berfikir, menerima setiap takdir yang disuratkan dan bersyukur diberi kesempatan bermanja dengan opah dan atuk saya.  Tapi, persepsi setiap orang terutamanya generasi sekarang terhadap datuk dan nenek tidak sama.  

      Biarpun kebebasan sebagai kanak-kanak terbatas, tapi saya bersyukur atuk dan opah saya 'membekalkan' jiwa saya dengan didikan agama. Mengaji al-Quran wajib tiga kali sehari iaitu pagi, tengah hari dan malam. Bagi atuk, tak ada 'pelepasan'. Mak saya mewarisi ketegasan atuk dalam mengajar anak-anaknya malah cucu-cucunya mengaji al-Quran. Memang, hanya orang yang mau berfikir sajalah yang akan tahu apa logiknya sesuatu tindakan itu dilakukan. Kini saya sudah tahu apa logiknya Atuk Kahar, Opah Ramnah, Opah Lebor buat begitu pada saya! Sayang sekali, saya tidak dapat bermanja lama dengan Atuk Laba.  Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh atuk. Amin. 



Sunday, October 28, 2012

Khasiat Kuning Telur

      Sudah lama saya tidak menulis di blog saya ni.  Hari ini saya hendak menulis tentang khasiat kuning telur sebab ramai yang mengatakan makan kuning telur tak baik untuk kesihatan. Saya pun tertanya-tanya, betulkah? Petang tadi saya membaca buku bertajuk ‘Panduan Mencerdaskan Minda’ tulisan Ustazah Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood & Jaafar Salleh) halaman 58 dan saya menemukan fakta ini. Menurut Profesor Aman dalam ‘Medical Secret of Your Food’ kuning telur berkesan mengatasi masalah penyakit otak dan saraf seperti masalah lemah daya ingatan, lemah daya tumpuan, akal tumpul (benak), sering lupa, badan dan urat saraf letih kerana memerah fikiran, sering tertidur (mengantuk) semasa membaca, sering menguap, tidak minat bekerja, benci kepada kontradiksi (pertentangan), tidak dapat mengawal marah, pasif dan kanak-kanak degil.  Jadi, dengan adanya kajian saintifik, saya percaya bahawa kuning telur banyak manfaat.  Tuhan tidak menjadikan sesuatu itu tanpa sebab, bukan? Protin dalam putih telur sebenarnya masih belum cukup kuat tanpa kuning telur untuk menyeimbangkan asid  amino dan menyediakan protin secara biologis.

Kuning telur banyak kegunaan dalam perubatan dan kesihatan
      Walaupun telur banyak khasiat tidak bermakna kita boleh makan telur setiap hari.  Seperti yang kita tahu telur dikategorikan makanan yang mengandungi kadar LDL yang tinggi atau kolesterol jahat.  Jadi, sebaik-baiknya kita hadkan pengambilan telur antara dua hingga tiga biji seminggu.  Tapi, tahukah kita berapakah kandungan kolesterol dalam sebiji telur? Sebiji telur bersaiz besar mengandungi sekitar 186 mg kolesterol yang semuanya terdapat pada kuning telur. Bagi mereka yang menghidap penyakit jantung, diabetes atau kadar LDL tinggi (low density lipoprotein) , anda dinasihati agar mengehadkan diet kolesterol kurang daripada 200 mg sehari. Bagi mereka yang sihat pula, disarankan agar membataskan diet kolesterol kepada 300 mg sehari atau makan putih telur sahaja kerana putih telur tidak mengandungi kolesterol. Kalau telur masin pula, mengapa kita berebut-rebut nak dapatkan kuningnya? Jawapannya, bahagian kuningnya yang paling sedap!

      Pakar perubatan sepakat mengakui bahawa telur adalah makanan yang lengkap dan tinggi kandungan protin, lemak, vitamin dan zat galian serta lain-lain unsur yang diperlukan oleh tubuh badan.  Telur amat sesuai dimakan bagi menambahkan kekuatan badan dan menjaga kesihatan kerana mengandungi kalsium karbonat, magnesium, zat besi, sulfar dan fosforus. Bagi kanak-kanak pula, telur adalah lauk yang paling sedap jika tiada pilihan lain. Bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa penyediaan hidangan telur yang tidak betul boleh mengundang bahaya.   Oleh itu, kita dinasihati agar mengelakkan memakan telur mentah atau makanan yang mengandungi telur mentah. Telur mentah mengandungi kandungan bakteria Salmonella yang tinggi.  Selain itu, masak telur dengan sempurna sehingga putih dan kuning telur sempurna masak (tidak berair). Kurangkan memakan makanan yang mengandungi telur, terutama kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Panduan lain yang harus diikuti termasuklah:-
  1. Pilih telur yang tidak retak.
  2. Simpan telur di dalam peti sejuk sebaik dibeli pada suhu kurang dari 4°F. Cara menyimpannya, hujung yang runcing ke bawah.
  3. Jangan basuh telur semasa disimpan. Basuh telur apabila hendak dimasak sahaja (Tapi, mak saya selalu pesan basuh telur tu dulu sebelum disimpan)
  4. Guna telur yang disimpan di dalam peti sejuk dalam tempoh 5 minggu sahaja.
  5. Guna telur yang betul-betul dimasak (rebus) yang disimpan di dalam peti sejuk dalam tempoh seminggu selepas dimasak. 
  6. Elakkan memakan atau menggunakan  telur mentah atau telur masak dan makanan yang mengandungi telur yang disimpan pada suhu bilik lebih dari 2 jam.
  7. Basuh tangan dan peralatan yang digunakan semasa memasak telur dengan air panas dan sabun sebelum dan selepas memasak
      Ada petua untuk memudahkan telur rebus dikupas iaitu dengan memasukkan sedikit garam apabila merebus. Untuk memastikan telur yang direbus masih dalam keadaan baik, ujinya terlebih dahulu. Telur yang baik biasanya berat dan jika direndam dalam air, telur yang sudah tak elok biasanya ringan dan akan timbul (yang saya ingat masa belajar Sains Rumah Tangga (sekarang ERT) masa kat sekolah dulu). Telur masak dapat dibezakan daripada telur mentah tanpa memecahkan kulitnya melalui memutarkan telur tersebut. Inersia (sifat semula jadi suatu objek yang cenderung untuk menentang sebarang perubahan kepada keadaan atau bentuk asalnya , sama ada dalam keadaan pegun ataupun dalam keadaan bergerak) kandungan cecair telur mentah akan menghentikan pemutaran dalam tiga putaran.

      Banyak yang menarik tentang telur ayam ni.  Allah menjadikan komposisi telur amat unik sekali.  Walaupun berada di dalam bekas kulit telur yang bulat sejak di dalam rahim ibunya, ia mempunyai dua bahagian yang terpisah iaitu putih telur dan kuning telur di samping mempunyai fungsi yang berbeza.  Setiap rumah pasti menjadikan telur bekalan makanan yang wajib disimpan setiap masa.  Nak buat kek, benjo, kebab special, burger special, kek dan macam-macam lagi semua itu menggunakan telur. Pengamal perubatan perlukan telur sebagai bahan mujarab tradisional dalam menyembuhkan pelbagai penyakit misalnya sakit perut dan lemah badan. Telur juga turut menjadi medium perawatan dalam sesetengah penyakit mistik seperti saka yang berkaitan dengan serangan makhluk halus. Ringkasnya, banyak keistimewaan dan kegunaan telur dalam kehidupan seharian kita. 
http://www.facebook.com/rekha.yusop?ref=tn_tnmn