Powered By Blogger

Saturday, November 10, 2012

Musim hujan, Musim durian dan Kerabu Taugeh

      Musim hujan masih belum reda.  Sejak bulan Oktober hujan lebat berterusan di sesetengah negeri menyebabkan mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir tak tenang fikiran. Kasihan mereka! Johor, Selangor dan Perak adalah antara negeri yang teruk dilanda banjir, Kalau di Perak, tempat yang kerap dilanda banjir ialah di kawasan Hilir Perak antaranya Changkat Jong.  Sehari sebelum saya menghadapi Peperiksaan STPM di SMK Seri Perak, Teluk Intan, saya dan kawan-kawan di rumah sewa sempat 'bermain' air banjir. Tangkap gambar buat kenangan! Masa tu tuan rumah kami yang kami panggil Makcik Wan tak ada di rumah  kerana berada di rumah anaknya di Parit Buntar.  Mujur juga rumahnya dua tingkat, tingkat bawah untuk memasak dan makan manakala tingkat atas bilik tidur dan tempat kami belajar.  Ketika air belum surut, kami semua malas nak turun bawah sebab banyak ulat air, Takut ular pun ya!

     Saat blog ini ditulis, banjir di  Perak dan Negeri Sembilan pulih sepenuhnya dan semua mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan pulang ke rumah masing-masing malam Jumaat.  Menurut laporan portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula, kesemua 134 mangsa banjir di Perak dan 34 di Negeri Sembilan telah pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan banjir di kawasan tersebut telah reda. Mangsa banjir di pusat pemindahan di Selangor pula berkurangan kepada 878 orang berbanding 983 petang semalam, setelah 105 orang pulang ke rumah masing-masing  (Berita dipetik daripada MStar Online, Sabtu 10 November 2012)

      Sekarang keadaan masih lagi mendung, Nak buat apa-apa kerja atau nak ke mana-mana perlu keluar pada waktu pagi.  Walaupun hujan, tanah basah, keadaan sekeliling yang lembab , saya perlu juga keluar mencari durian yang gugur. Walaupun belum 'gegak' tapi rezeki Tuhan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja untuk santapan tupai atau babi hutan.  Tengah hari tadi, dapatlah enam biji buah durian yang berbau harum dan masih elok buahnya. Syukur alhamdulillah. Selepas menolong emak memeriksa pokok asam gelugurnya, saya turun ke lurah nak tengok kalau-kalau ada buah durian yang luruh. Tak ada!  Naik semula ke atas.  Dah menebas-nebas dan mengambil bungan kantan, mak suruh saya naik ke rumah.  Oh ya, tiba masanya saya memasak.  Saya cuma memasak kanji (ala-ala McDonald) dengan tambahan lobak merah, kentang dan udang rasanya lebih enak dan menyelerakan.  Siap kerabu taugeh resipi opah Ramnah. Nampak mak berselera makan. Ayah makan nasi dengan gulai lemak ikan pari.  Sedang memikirkan apa pula nak masak untuk juadah minum petang.  Musim cuti sekolah ni, memang masanya la untuk saya melayani selera makan ahli keluarga saya terutama mak dan ayah.  Kalau hari bekerja memang tak sempat nak buat itu... ini... tapi musim cuti sekolah mereka perlu diberi keutamaan.

      

No comments:

Post a Comment