Powered By Blogger

Tuesday, March 11, 2014

Anak Permata Hati

11 Mac 2014 / 9 Jamadil Awal 1435

          Semua pasangan yang sudah berkahwin tentu ingin menimang cahaya mata.  Rumah sunyi tanpa hilai tawa dan tangis anak kecil.  Perkahwinan dikatakan sempurna jika ada anak-anak yang menjadi penyeri rumahtangga yang dibina.  Pada hari perkahwinan, ucap selamat juga tak pernah tinggal dengan mendoakan agar pasangan memperoleh jodoh yang berkekalan ke akhir hayat dan cepat menimang cahaya mata.  
          ANAK anugerah dan nikmat terbesar daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Mutiara hati bagi pasangan ibu bapa ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan berlipat ganda jika mereka dididik dan dibentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh. Sebaliknya, jika mereka diabaikan tidak mustahil akan menjadi anak yang terbiar dan pada masa depan menjadi sampah kepada masyarakat serta negara. Justeru, memiliki anak yang salih serta baik budi pekerti menjadi impian setiap ibu bapa dan keluarga. Contohnya, kisah Nabi Zakaria yang sudah lanjut usia tetapi belum dikurniakan anak untuk menjadi pewaris keturunannya. Lalu Nabi Zakaria memohon dengan berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan anak yang soleh.
          Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Surah Ali-Imran, ayat 38).  Anak kita sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih daripada sebarang kekotoran zahir ataupun batin. Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan mereka menjadi insan berjaya ataupun tidak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
         Menurut Islam memberi pendidikan kepada anak hendaklah dimulakan sejak awal lagi kerana pada usia sebegini segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka. Ibnu Sina berpesan, katanya: “Ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai yang buruk.”


         Rasulullah SAW menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak iaitu anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang. Tahap Kedua, anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab. Tahap ketiga (15 hingga 21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan syariat.  Tahap keempat (usia lebih 21 tahun), hendaklah ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat supaya segala tindakan mereka terkawal. 
         Ibnu Khaldun membahagikan tujuan pendidikan kepada anak dalam tiga bentuk iaitu mempersiapkan anak dari segi keagamaan, akhlak dan pemikiran. Ibu bapa tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan beranggapan kita sudah menunaikan kewajipan dan hak anak apabila mereka dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan mereka hidup tetapi memastikan mereka mempunyai prinsip teguh dan jati diri yang kuat. Oleh itu, pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia penting untuk membantu mereka berdepan cabaran masa akan datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak kita mudah terpengaruh pelbagai pemikiran hingga sanggup menggadai prinsip kehidupan mereka.
          Memelihara anggota keluarga daripada ancaman neraka tidak bererti mencegah mereka daripada maksiat. Kita juga mesti bersikap aktif mendidik dan menerapkan nilai murni dalam diri mereka sebagai kubu yang dapat menepis serta menapis pengaruh sekitar yang penuh mencabar.
           Pada musim cuti sekolah, ibu bapa hendaklah mengambil peluang ini mengatur program bermanfaat buat anak seperti menghadiri kem ibadah serta motivasi yang dianjurkan pelbagai pihak. Rancanglah sesuatu supaya cuti sekolah dimanfaatkan sebaiknya. Jangan biarkan mereka sendiri yang menguruskan masa cuti tanpa sebarang pemantauan atau panduan kerana mutiara hati ini sebahagian daripada amanah Allah SWT yang akan dipersoalkan di akhirat nanti.

Monday, March 10, 2014

Lima macam dosa yang tidak ada tebusannya

10 Mac 2014 / 8 Jamadil Awal 1435

Bersama-sama membentuk peribadi Muslim yang sejati. Jauhi lima macam dosa yang tiada tebusannya.



Friday, December 13, 2013

Pertarungan 17 Sudah Berakhir

Jumaat:  13 Disember / 10 Safar 1435H


Hari ini 13 Disember 2013.  Pertarungan 17 bagi diri saya sepatutnya berakhir semalam. Tapi saya bangga kerana sasaran saya untuk menyiapkan tugasan ini sebelum 16 Disember tercapai sudah.  Kalau tahun lepas, saya menyiapkan tugasan ini sehari sebelum hari mesyuarat. Orang terakhir yang saya nilai ialah yang memiliki nombor 150.  Susahnya tapi tahun ini saya dapat  menilai dalam suasana yang agak santai. Fikiran tak berserabut. Harap-harap penilaian saya adil.  Bukan senang kerja ni!

Cuti sekolah yang bermula pada 16 November 2013 sebenarnya peredaran masa yang biasa bagi saya. Mungkin sebab saya tak bercuti ke mana-mana. Tahun ni agak lesu. Tahun lepas dapat juga saya konvoi dengan dua orang abang saya bercuti ke Penang.  Bawa emak dan ayah bersama-sama. Turut serta ialah dua anak saudara saya yang tidak disertai oleh emak dan ayahnya.  Tapi, seronok. Puas hati melayan kerenah budak-budak. Biasa la merajuk, meragam, bergaduh kecil dengan adik-adik lepas tu berbaik semula.  Bila nak tengok mereka diam? Tunggu apabila masing-masing dah tidur. Kepenatan berendam di kolam mandi pada waktu siang.  

Atas feri 
                                     
Mandi-manda di kolam renang TM Resort, Tg Bungah Jun tahun 2012.
Walaupun tidak bercuti ke mana-mana tapi tugasan rasmi atas jawatan RO memberi aku peluang untuk ke luar daerah. Dapatlah melihat negeri orang jika tempat mesyuarat itu jauh dan memakan masa dua atau tiga hari hari.  Seronok. Bercutilah tu ... hehe. Lagi seronok kalau ke tempat mesyuarat ada teman. Jika kereta penuh empat orang setidak-tidaknya dua orang pun sudah cukup untuk menjadikan perjalanan lebih ceria dan gembira. Tak la mengantuk kalau memandu.  Pada tahun ni dapat juga saya melepaskan pandangan ke Batu Feringghi, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Taiping.  Dalam perjalanan pulang dari Penang, sempat singgah di kedai Jeruk Pak Ali tak jauh dari Hotel Hydro tu. Kalau sebut meeting di Penang, mesti tak lupa jeruk Pak Ali tu. Hajat hati nak singgah ke Pasar Kemboja di Parit Buntar tercapai juga.  Memang saya nekad untuk sampai ke sana. Beberapa hari sebelum ke Taiping, saya minta sahabat saya Norwati Ali sediakan pelan lokasi untuk saya.  Alhamdulillah, tak sesat.  Walaupun tak 100 persen tepat tapi pelan lokasi mudah dibaca dan mudah mengecam semua simpang dan 'landmark'.  Dapat kawan 'sporting' satu kepala. Memang best. Faizah dan Roziah mengikut sahaja. Selesai berbelanja di sana kami ke destanasi yang terkenal dengan mee udang di Kuala Sepetang.

Mee udang di Kuala Sepetang  Oktober 2013
Sebenarnya coretan ini belum berakhir.  Cuma cukupla berhenti seketika di sini.  Jika ada kelapanangan akan disambung lagi. Jumpa lagi!


Sunday, March 10, 2013

Tentang Cinta

Sesiapa pun boleh berbicara tentang cinta.  

Hebatnya kuasa cinta pada orang yang merasa.  




Andai ia sebuah cinta… ia tidak mendengar… namun sentiasa bergetar. 
Andai ia sebuah cinta… ia tidak buta namun sentiasa melihat dan merasa. 
Andai ia sebuah cinta… ia tidak menyeksa namun sentiasa menguji. 
Andai ia sebuah cinta ... ia bagai terseksa apabila cinta didusta,
Andai ia sebuah cinta… ia tidak memaksa namun sentiasa berusaha. 
Andai ia sebuah cinta… ia tidak cantik namun sentiasa menarik.
Andai ia sebuah cinta… ia tidak datang dengan kata-kata namun sentiasa menghampiri dengan hati. 
Andai ia sebuah cinta… ia tidak terucap dengan kata namun sentiasa hadir dengan sinar mata.
Andai ia sebuah cinta… ia tidak hanya berjanji.. namun sentiasa cuba memenangi.
Andai ia sebuah cinta… ia tidak hadir kerana permintaan namun hadir kerana ketentuan.
Andai  ia sebuah cinta… ia tidak hadir dengan kekayaan dan kebendaan… namun hadir kerana pengorbanan dan kesetiaan.

Monday, November 26, 2012

Hujan dan Kesesakan di Lebuh Raya

      Ketika saya menulis di blog ini, sudah satu jam saya berada di rumah sekembalinya dari mesyuarat bersama-sama En. Mohd Aris, Hj. Noor Azman Shah, Wan, Shahrul, Pn. Salmiah, Pn. Mariana, Pn. Zarina, CIk Rupini, Pn. Yosha.dan Pn. Siti Aishah di SMK Sentosa, Kampar. Kami bermesyuarat dah tiga hari sejak 24 November lepas. Sejak pukul 3.00 petang tadi hari dah mula gelap dan kemudiannya hujan renyai-renyai dan beransur lebat apabila saya dah masuk Lebuh Raya Utara-Selatan. Masuk Plaza Tol Tapah hari mula hujan dan makin lebat apabila sampai Bidor.  Saya masuk plaza tol kerana tak mahu mengekori lori tambahan pula hari hujan dan beberapa meter jalan Bidor-Sungkai yang teruk.  Memang membosankan apabila sampai di situ.

         Sebaik sahaja dapat memotong lori yang panjang dengan muatan berat, saya berasa lega. Malangnya terpaksa membatalkan niat keluar di Plaza Tol Sungkai kerana kesesakan di hadapan. Kenderaan dah berderet panjang di kedua-dua lakuan ke selatan lebuh raya. Seperti tak bergerak langsung. Saya mengagak, mungkin ada kemalangan. Tak mungkin polis trafik buat sekatan jalan raya.  Oleh sebab dah hampir sampai susur keluar ke Plaza Tol Bidor, saya membelokkan kereta untuk memasuki plaza tol sahaja. Bayar tol cuma RM2 sahaja.  Malas nak singgah di mana-mana langsung pulang ke rumah.

         Sampai di rumah saya mengeluarkan bakul yang berisi baki bekalan yang dibawa pagi tadi. Ada tiga keping roti canai yang dah sejuk (kata Siti Aishah, kalau masuk microwave panaskan balik, sedap ni!), kuih cucur badak, cekodok durian, kuih lapis dan kuih seri muka.  Sedap juga makan masa hujan ni.  Air nescafe dah siap dibancuh. Nak minumlah...

          Tugasan hari ni dah selesai.  Ada masa lebih kurang 20 hari untuk menyiapkan tugasan wajib tahun ni.  Apapun, saya perlu tunaikan amanah ni dengan sebaik-baiknya seperti kawan-kawan saya tadi tu.  Sekejap lagi atau malam ni saya akan sambung kerja saya. Sekarang nak rilekskan kepala supaya kembali 'mood' yang lebih baik.  Biarpun sekarang hujan masih agak lebat dan tak tahu bila nak berhenti, kewajipan itu tetap akan dilaksanakan.  Dah ada kerja ni, kurang sikit bosan tambahan pula Sarah, Afiq dan Sofia dah balik ke Shah Alam.  Apapun, syukur alhamdulillah kerana hampir dua minggu di sini saya dah dapat memberi keriangan kepada mereka bertiga. Makan di Pizza Hut, Dunkin Donat, beli peralatan melukis, beli peramainan dan bawa jalan2.  Yang belum sempat bawa dema bercuti ke Melaka. Betul la kata orang, budak2 cepat ingat dan menuntut janji. Bila agaknya nak pergi Melaka ni???

Saturday, November 10, 2012

Musim hujan, Musim durian dan Kerabu Taugeh

      Musim hujan masih belum reda.  Sejak bulan Oktober hujan lebat berterusan di sesetengah negeri menyebabkan mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir tak tenang fikiran. Kasihan mereka! Johor, Selangor dan Perak adalah antara negeri yang teruk dilanda banjir, Kalau di Perak, tempat yang kerap dilanda banjir ialah di kawasan Hilir Perak antaranya Changkat Jong.  Sehari sebelum saya menghadapi Peperiksaan STPM di SMK Seri Perak, Teluk Intan, saya dan kawan-kawan di rumah sewa sempat 'bermain' air banjir. Tangkap gambar buat kenangan! Masa tu tuan rumah kami yang kami panggil Makcik Wan tak ada di rumah  kerana berada di rumah anaknya di Parit Buntar.  Mujur juga rumahnya dua tingkat, tingkat bawah untuk memasak dan makan manakala tingkat atas bilik tidur dan tempat kami belajar.  Ketika air belum surut, kami semua malas nak turun bawah sebab banyak ulat air, Takut ular pun ya!

     Saat blog ini ditulis, banjir di  Perak dan Negeri Sembilan pulih sepenuhnya dan semua mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan pulang ke rumah masing-masing malam Jumaat.  Menurut laporan portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula, kesemua 134 mangsa banjir di Perak dan 34 di Negeri Sembilan telah pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan banjir di kawasan tersebut telah reda. Mangsa banjir di pusat pemindahan di Selangor pula berkurangan kepada 878 orang berbanding 983 petang semalam, setelah 105 orang pulang ke rumah masing-masing  (Berita dipetik daripada MStar Online, Sabtu 10 November 2012)

      Sekarang keadaan masih lagi mendung, Nak buat apa-apa kerja atau nak ke mana-mana perlu keluar pada waktu pagi.  Walaupun hujan, tanah basah, keadaan sekeliling yang lembab , saya perlu juga keluar mencari durian yang gugur. Walaupun belum 'gegak' tapi rezeki Tuhan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja untuk santapan tupai atau babi hutan.  Tengah hari tadi, dapatlah enam biji buah durian yang berbau harum dan masih elok buahnya. Syukur alhamdulillah. Selepas menolong emak memeriksa pokok asam gelugurnya, saya turun ke lurah nak tengok kalau-kalau ada buah durian yang luruh. Tak ada!  Naik semula ke atas.  Dah menebas-nebas dan mengambil bungan kantan, mak suruh saya naik ke rumah.  Oh ya, tiba masanya saya memasak.  Saya cuma memasak kanji (ala-ala McDonald) dengan tambahan lobak merah, kentang dan udang rasanya lebih enak dan menyelerakan.  Siap kerabu taugeh resipi opah Ramnah. Nampak mak berselera makan. Ayah makan nasi dengan gulai lemak ikan pari.  Sedang memikirkan apa pula nak masak untuk juadah minum petang.  Musim cuti sekolah ni, memang masanya la untuk saya melayani selera makan ahli keluarga saya terutama mak dan ayah.  Kalau hari bekerja memang tak sempat nak buat itu... ini... tapi musim cuti sekolah mereka perlu diberi keutamaan.

      

Monday, November 05, 2012

Menangis Itu Penawar


      Menangislah ...kerana menangis juga penawar. Kajian yang dijalankan di Jepun  mendapati kesihatan pesakit reumatisme (sering berasa sakit sebelum hujan, sengal di bahagian sendi atau seluruh bahagian badan) yang membiasakan diri menangis bertambah baik dalam masa setahun.  Daya tahan mereka juga meningkat apabila dibandingkan dengan mereka yang tidak membiasakan diri menangis.


Wanita dikatakan menangis 47 kali setahun manakala lelaki 7 kali (Gambar hiasan)

Reumatisme dilaporkan mendahului senarai penyakit tulang (Gambar hiasan)
      Menangis juga ada hubungkait dengan hormon kortisol. Hormon ini terhasil daripada kelenjar adrenal yang terletak pada buah pinggang kita. Hormon kortisol terlibat secara langsung dalam metabolisme lemak. Jika ia berlebihan atau berkurangan maka lemak akan berkumpul. Hormon ini juga mustahak dalam penghasilan tenaga tubuh kita. Jika berkurangan atau berlebihan tenaga tidak dapat terhasil dengan baik. Justeru hormon kortisol harus berada pada tahap optimum bagi seseorang itu memperoleh tubuh badan yang langsing serta tahap kesihatan yang baik.  

      Masalah obesiti selalunya disebabkan hormon kortisol yang berlebihan yang boleh menyebabkan mereka sukar menurunkan berat badan. Kortisol yang tidak seimbang sering mengganggu tindakan hormon lain seperti hormon tiroid, hormon estrogen, hormon progesteron dan lain-lain lagi. Hal Ini kerana hormon saling bertindak secara sinergistik. Kesan berlebihan atau ketiadaan satu hormon akan mengganggu tindakan hormon lain. 

      Kajian juga mendapati hormon kortisol tidak bertambah apabila bayi menangis dalam pelukan ibu ataupun pengasuh yang menyayanginya sepenuh hati.  Hal ini kerana bayi itu berasa selamat dan memperoleh kasih sayang.

      Kajian yang dijalankan di negara matahari terbit itu juga mendapati bahawa tangisan adalah satu daripada cara untuk membuang radikal bebas daripada badan. Selain itu, menangis juga adalah bentuk penyerahan diri seorang mukmin kepada Penciptanya. Menangis kerana takut atau merindui Allah adalah kebiasaan orang soleh. Keheningan malam mendekatkan diri seorang hamba kepada Tuhannya.  Rasulullah turut menyarankan agar kita bangun malam dan menangis memohon keampunan Allah.

Rujukan:


1. Dr. Mohammad Ali Toha, 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah, hlm. 36