Powered By Blogger

Saturday, March 24, 2012

Modal Insan Berkualiti Aset Organisasi

Hari ini SMK Sungkai mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) kali pertama tahun 2012.  Ceramah  bertajuk Modal Insan Berkualiti Aset Organisasi pada hemat saya amat bersesuaian dengan sasaran beliau. Tajuk ceramah yang menarik ini sebenarnya sesuai untuk ditujukan sama ada kepada penjawat awam mahu pun pekerja swasta. Tak ada sebuah organisasi pun dalam dunia ini yang mahu rugi, mahu menggajikan pekerja yang malas culas, yang suka curi tulang, suka putar belit atau banyak alasan.

Tajuknya pun bagus, berkaitan dengan modal insan. Perkataan 'modal insan' lebih manis, lepas tepat, lebih sopan. Perkataan ini acap kali jadi sebutan mantan PM, Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi menggantikan perkataan tenaga pekerja atau buruh. Dengan kata lain modal insan itu menggambarkan seorang manusia pekerja yang mempunyai pancaindera dan menggunakan pancainderanya untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain (organisasi) menabur bakti untuk dunia dan akhirat.

Tafsiran modal insan oleh Tuan Haji Basri dari YPEIM itu memang jelas. Untuk menjadi insan berkualiti pula ada syarat dan rukunnya. Seorang insan itu harus sanggup berkorban - nyawa, tenaga dan wang ringgit malah mengibadahkan setiap kehidupannya.  Modal insan yang berkualiti pula boleh dirujuk melalui bentuk kerja yakni pekerjaannya halal syariat dan sah dari segi undang-undang. Kedua, niat yang ikhlas melaksanakan pekerjaannya kerana Allah. Ketiga, komited yakni mempunyai iltizam atau dengan kata lain bersungguh-sungguh bekerja serta memelihara ukhwah. Keempat, menurut ketetapan syarak dengan mengamalkan sifat jujur dan amanah. Kelima, melaksanakan yang wajib iaitu dengan mengamalkan ibadat khususiah selain harus taat dan mendapat izin atas setiap perkara yang diwajibkan. Akhir sekali, insan yang berkualiti itu sentiasa rasa bersyukur atas setiap nikmat Tuhan kepadanya.

Sambil berceramah, sambil berdakwah, Tn. Hj. Basri melalui YPEIM memohon sumbangan melalui potongan gaji guru-guru untuk mengumpul dana bagi membiayai program kebajikan untuk rakyat. Sumbangan ini sebenarnya adalah amal jariah dan ibadah yang sangat disukai Allah. Kalau sahabat Rasulullah saw, Saidina Abu Bakar sanggup mengorbankan seluruh hartanya demi menyebarkan syiar Islam, mengapa kita tidak sanggup menyumbang sebahagian rezeki pemberian Allah ini untuk tujuan yang sama? Dengan niat yang ikhlas, insya Allah kehidupan kita akan dilimpahi rahmat dan berkat.

No comments:

Post a Comment