Powered By Blogger

Monday, April 11, 2016

Susun Kelapa: Antara Penawar dan Racun

Pokok susun kelapa atau Tabernaemontata divaricata dikategorikan sebagai tumbuhan renek yang sederhana tinggi dan tumbuh setinggi dua meter. Pokok ini mempunyai silara yang rimbun, daun yang berkilat, dan berbentuk bujur serta meruncing ke hujung. Susun kelapa tidak memerlukan penjagaan yang rapi dan berbunga sepanjang tahun. Tumbuhan renek ini sesuai ditanam di tempat terbuka dan lazimnya dijadikan tanaman hiasan atau tanaman pagar.
Selain ditanam untuk tujuan perhiasan, susun kelapa juga mempunyai banyak kegunaan dalam perubatan tradisional. Jus daripada bahagian daun yang ditumbuk digunakan bagi melegakan batuk. Getah putih yang diperoleh daripada bahagian daun dipercayai dapat menyejukkan badan dan mengurangkan bengkak pada luka.



Bahagian akar pokok ini digunakan untuk merawat sakit  mata, demam, cirit-birit, dan sakit perut. Akar yang dikunyah pula digunakan untuk melegakan sakit gigi. Susun kelapa juga dipercayai digunakan dalam campuran ramuan herba bersalin, mengurangkan masalah senggugut. dan mengubat resdung.
Dalam bidang mikrobiologi, ekstrak berakues, etanol, dan metanol daripada daun pokok susun kelapa dapat merencatkan pertumbuhan bakteria seperti Staphylococcus aureus, Streptococcus agalactiae, Streptococcus uberis, dan Escherichia coli.
Kajian lain yang dilakukan ialah kesan ekstrak tumbuhan ini dalam mengatasi masalah kegemukan. Ekstrak metanol daripada bahagian daun susun kelapa didapati berjaya menurunkan berat badan pada tikus obes. Palam kajian antidiabetic pula. mendapati bahawa pemberian rawatan menurunkan aras glukosa di dalam darah tikus.



Selain jtu, ada kajian awal untuk melihat kesan ekstrak daripada bahagian akar pokok susun kelapa terhadap tekanan darah dan degupan jantung haiwan makmal. Penyelidik di Thailand mendapati ekstrak etanol daripada bahagian akar pokok ini merendahkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik pada jantung tikus kajian.
Dalam kajian lain, ahli sains juga mendapati bahawa pemberian ekstrak metanol daripada bahagian bunga pokok susun kelapa dapat mengurangkan risiko kejang otot atau pengecutan anggota badan tikus kajian.
Satu lagi kajian dijalankan untuk membuktikan kegunaan pokok susun kelapa dalam mengubati sakit perut. Kajian tersebut menunjukkan bahawa tikus kajian yang dikawal dengan sediaan ekstrak metanol daripada bahagian bunga susun kelapa mengurangkan masalah saluran gastro usus.


Selain itu, ekstrak daripada bahagian daun pokok susun kelapa berkesan dalam mengurangkan kandungan atau bilangan radikal bebas di dalam badan. Sudah tentu pokok ini juga dapat digunakan sebagai sumber antioksidan semula jadi dalam bidang pemprosesan makanan, kesihatan, dan perubatan.
Pokok susun kelapa sering dijadikan tanaman hiasan di taman awam dan kawasan perumahan. Orang ramai terutama kanak-kanak perlu berhati-hati kerana getah putih yang dihasilkan daripada pokok ini bersifat menghakis dan menyebabkan kegatalan pada kulit sensitif.
Selain itu, bahagian akar dan daun susun kelapa mengandungi bahan kimia yang meninggalkan kesan keracunan yang lazim seperti loya, muntah, dan sedikit menggigil. Jika terkena pada dos yang tinggi, getah susun kelapa ini menyebabkan seseorang itu mengalami halusinasi, penurunan tekanan darah, lemah denyutan nadi sehingga berlaku kegagalan fungsi jantung, sawan, lumpuh anggota badan, dan kegagalan fungsi pernafasan.
Penemuan saintifik ini membantu kita untuk memahami tumbuhan ubatan di sekeliling kita. Diharapkan ada lebih banyak penemuan baharu pada masa akan datang yang dapat memberikan pelbagai manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Sumber:
"Susun Kelapa antara Penawar dengan Racun" , Dewan Kosmik, Mac 2013)

      Foto:  Koleksi peribadi