Powered By Blogger

Monday, October 29, 2012

Zaman Kanak-Kanak


      Tidak ada orang yang dapat melupakan zaman kanak-kanak yang sangat indah.  Ketika umur dua, tiga atau empat tahun mungkin tak dapat ingat apa-apa malah saya tak berapa ingat peristiwa yang saya lalui ketika umur lima tahun. Kalau ikut kajian Piaget, pakar psikologi kognitif berbangsa Swiss, pada tahap umur 2-7 tahun, kanak-kanak tidak boleh menguasai konsep kekalan. Pada peringkat umur ini kanak-kanak hanya memberi tumpuan kepada satu ciri masalah saja, egosentrik dan tidak dapat menukarbalikkan sesuatu tingkah laku secara mental.

                            

      Cerita zaman kanak-kanak tapi mengapa saya 'insert' banyak gambar Sharifah Aini? Sebabnya, sejak usia kecil hingga dewasa, suara inilah yang kerap menghiburkan saya. Suara yang lemak merdu dan lunak. Ramai penyanyi bersuara baik, nyanyian pun baik tapi payah nak dengar suara yang lunak.  Masa ni belum ada Siti Nurhaliza. Suara lain yang kerap berkumandang di udara ialah suara Ahmad Jais, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Saloma, Orkid Abdullah yang terkenal dengan lagu Penawar Rindu, Rafeah Buang dan Kartina Dahari.  Lagu Penawar Rindu oleh Orkid Abdullah itu pulak menjadi nyanyian saya setiap kali balik dari sekolah semasa saya dalam darjah satu. Entah siapa yang saya rindu, tak tau la. Saja suka-suka.  Biarpun ada banyak suara mirip suara Siti Nurhaliza namun suara Sharifah Aini tetap 'menjadi pujaan hatiku'. Memang, suaranya sekarang dah banyak berubah kerana meningkatnya usia dan keupayaan mengawal vokal. Apa yang saya ingat, semasa saya dalam darjah satu saya suka nyanyi lagu 'Temanku' (baru sekarang saya tahu lagu Sharifah Aini yang selalu saya pilih untuk dapat cepat keluar rehat ialah lagu Temanku. Nyanyi je pandai, tajuk tak tahu!) Saya tak bersekolah tadika, sebab tu la saya tak tahu banyak lagu kanak-kanak. Lagu pop je saya pandai! Hehehe....lawak betul!

                        

      Masuk umur enam tahun banyak yang saya dapat ingat. Kisah zaman kanak-kanak yang penuh kegembiraan walaupun sebahagian besar usia kanak-kanak saya habiskan dengan datuk dan opah saya di Rungkup, Bagan Datoh. Kawasan kampung yang banyak pokok kelapa dan koko.  Tapi saya sangat gembira kalau dapat balik kampung ayah saya di Kampung Gajah.  Pasal apa? Ooohhh .... sebab ada sungai dan pokok petai.  Saya akan memilih sungai berhampiran rumah Pak Ulung (guru mengaji) sebab air sungainya tohor, boleh bermain-main dan berlari-lari sambil mandi.  Kalau balik ke sana semasa hari raya saya tetap ingat kuih raya dam yang opah saya hidangkan dalam bekas kaca.  Opah saya ni mahir menganyam tikar pandan atau mengkuang dan membuat tilam kekabu. Pendek kata opah saya ni sangat rajin orangnya.  Saya suka sangat opah saya ni sebab dia tak pernah marah saya malah tak pernah menolak kalau saya suruh dia bercerita.  Saya pula tak banyak ragam pasal makan, Apa sahaja yang opah saya masak saya makan. Dapat nasi panas digaul dengan petai belalang ( kepunyaan Yong Rahmah dan Yop Shad (Arshad) yang boleh dicapai dari tingkap rumah opah saya) dan ikan masin pun dah cukup. Sejak kecik juga opah dan atuk saya dari sebelah mak dan ayah saya tak mengajar saya jadi pemilih tentang makan.  Sebab tu tiada istilah pantang itu dan pantang ini. Cuma pantang nampak je ... hehehe.  Alhamdulillah.  Kalau pergi ke mana-mana pun tak ada masalah tentang makan dan minum ni. Asal halal dan bersih.

      Memang, corak kehiduapn saya tak sama dengan kawan-kawan lain barangkali.  Tidak ada kawan nak bermain. Kawan saya ialah bapa saudara saya. Tapi selalunya saya main sorang-sorang di bawah pokok ciku atau di bawah rumah. Maklumlah rumah kampung tradisional memang tinggi-tinggi. Waktu pagi saya akan bersama-sama atuk dan opah di kebun kelapa dan kebun koko. Mujur juga ada kambing dan lembu peliharaan atuk saya, tak lah bosan sangat. Sambil atuk dan opah berehat melepaskan penat di bawah pokok koko, saya ditugaskan untuk menambat kambing.  Tapi, ada juga kambing yang degil.  Sesekali jadi gembala lembu. Bukan saya menyeret lembu tapi lembu menyeret saya sampai terjatuh. Maklumlah, lembu besar sedangkan saya kecik baru umur enam tahun dan saiz badan pun tak besar mana! Kalau hari Jumaat, pagi-pagi lagi saya akan tolong opah hantar air kopi dan teh ke masjid sebab pagi Jumaat ada tok guru datang mengajar agama.  Cuma, apabila saya dewasa dan teringat semua kisah silam zaman kanak-kanak membuatkan saya terfkir bahawa apa yang yang atuk saya suruh buat masa saya kecil sebenarnya mengajar saya erti tanggungjawab. 


Dari kiri: Uda Idris, Ayah, Andak Abd Rashid, Atuk, Emak dan Opah. Di pangkuan Atuk ialah Chik Azhar (Mahmud) dan di pangkuan mak Yop Majid


       Kalau ikut logik, sepatutnya umur saya enam tahun bukan kerja saya mengikat kambing atau menambat lembu di pokok kelapa. Apa jadi, kalau semasa saya menyeret lembu tu lembu mengamuk dan lari meninggalkan saya? Bukanlah atuk akan rugi kalau lembu lari? Bukan senang nak cari balik! Tapi, atuk tak kisah, walaupun ikatan lembu yang saya buat tu tak kuat. Bila-bila masa je lembu boleh lepas lari. 


Bertindik semasa hari perkahwinan Andak Rashid tahun 1974. Nak tergelak tengok muka sendiri.

        Betullah.... semua perkara perlu dididik sejak kecil. Umur enam tahun opah saya ajar saya masak yang senang-senang.  Pada hari ibu saya bersalin, saya disuruh oleh opah menjerang air, bancuh kopi satu cerek dan hidangkan bersama-sama biskut empat segi (ada orang kata 'biskut mayat') di tengah rumah untuk tetamu dan sedara mara yang datang.  Kerja lain yang saya buat termasuklah mengangkut sabut dan tempurung kepala naik ke rumah (ganti kayu api sebab masa tu tak ada dapur minyak tanah) dan menyapu sampah.  Kekadang, mengumpul buah ciku, basuh dan peram.  Masa bermain memang amat kurang. Apapun, tiada sesalan di hati kerana pengalaman itu mengajar saya jadi orang yang selalu berfikir, menerima setiap takdir yang disuratkan dan bersyukur diberi kesempatan bermanja dengan opah dan atuk saya.  Tapi, persepsi setiap orang terutamanya generasi sekarang terhadap datuk dan nenek tidak sama.  

      Biarpun kebebasan sebagai kanak-kanak terbatas, tapi saya bersyukur atuk dan opah saya 'membekalkan' jiwa saya dengan didikan agama. Mengaji al-Quran wajib tiga kali sehari iaitu pagi, tengah hari dan malam. Bagi atuk, tak ada 'pelepasan'. Mak saya mewarisi ketegasan atuk dalam mengajar anak-anaknya malah cucu-cucunya mengaji al-Quran. Memang, hanya orang yang mau berfikir sajalah yang akan tahu apa logiknya sesuatu tindakan itu dilakukan. Kini saya sudah tahu apa logiknya Atuk Kahar, Opah Ramnah, Opah Lebor buat begitu pada saya! Sayang sekali, saya tidak dapat bermanja lama dengan Atuk Laba.  Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh atuk. Amin. 



No comments:

Post a Comment