Powered By Blogger

Sunday, February 15, 2015

Pengurusan Kewangan: Kemahiran Untuk Semua Orang


Hutang isi rumah negara pada 2013 dilaporkan telah mencecah 86.7% berbanding nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar.

Merujuk kepada data Jabatan Insolvensi Malaysia pula, seramai 134,550 orang individu diisytihar muflis sepanjang tahun 2007 hingga Jun 2014. Secara purata, angka ini menunjukkan seramai 68 orang diisytiharkan muflis setiap hari. Golongan berumur 35 hingga 44 tahun mencatatkan peratusan tertinggi, iaitu 34.23 peratus, diikuti kumpulan berumur 45 hingga 54 tahun sebanyak 26.70 peratus, manakala golongan berumur 25 hingga 34 tahun mencatatkan 20.27 peratus.

Utamakan keperluan daripada kehendak


Langkah penjimatan dan perancangan kewangan sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup keluarga.

Jika dilihat kepada punca muflis pula, data Jabatan Insolvensi Malaysia, antara tahun 2007 hingga 2013, mendapati hutang disebabkan oleh sewa beli kenderaan mencatatkan sebanyak 30,452 kes, diikuti pinjaman perumahan 20,529 kes, pinjaman peribadi sebanyak 18,053 kes dan pinjaman perniagaan sebanyak 14,431 kes.
Masalah ini timbul disebabkan mereka gagal menguruskan kewangan dengan baik. Begitu juga dengan tahap kesedaran mereka terhadap kesan yang akan dihadapi oleh mereka apabila tidak membayar hutang.  Apabila mereka gagal melunaskan hutang, maka nama mereka akan  disenaraihitamkan. Oleh itu, apabila mereka ingin membuat permohonan membuat pinjaman pada masa akan datang, permohonan tersebut tidak diluluskan oleh pihak institusi kewangan.

Baru-baru ini, dilaporkan sebanyak 183,486 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) langsung tidak membuat sebarang pembayaran sejak tahun 2010. Peminjam ini diberi peluang untuk berbincang mengenai kaedah pembayaran balik sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

Pengetahuan dan kesedaran tentang pengurusan kewangan perlu diberikan di peringkat kanak-kanak tadika, pelajar sekolah, mahasiswa pengajian tinggi, pekerja muda dan semua peringkat umur. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) pada tahun 2012, 47 peratus pengguna muda berumur 18 tahun hingga 35 tahun menghadapi masalah hutang yang serius. Manakala, 37 peratus daripada mereka berbelanja di luar kemampuan. Purata perbelanjaan menggunakan kad kredit pula sebanyak RM702 sebulan. Ini menunjukkan kehidupan dan kos sara hidup generasi pengguna pada masa kini semakin mencabar.

Terdapat juga kes penipuan kad kredit melalui penggilan telefon

Pengguna perlu bijak dan mencari alternatif bagi mempelbagai sumber pendapatan. Langkah penjimatan dan perancangan kewangan sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup keluarga. Pengguna muda perlu mengatur belanjawan peribadi untuk keluarga. Amalkan prinsip 'Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian'.

Berikut ialah beberapa langkah yang boleh dilakukan dalam menguruskan kewangan, iaitu:-
a)   Simpan 10 peratus daripada pendapatan bulanan.
b)   Catatkan segala perbelanjaan harian, termasuk bayaran yang dibuat menggunakan kad       kredit.
c)   Senaraikan segala hutang dan bil tertunggak. Tetapkan matlamat anda untuk 
      melangsaikan hutang tersebut.
d)   Utamakan keperluan daripada kehendak.
e)  Tetapkan azam untuk mencapai matlamat kewangan. Disiplinkan diri dan jangan 
      berputus asa.
f)    Sediakan perlindungan kewangan yang terbaik untuk diri dan keluarga anda.
g)   Sentiasa mengemas kini maklumat pembayaran pinjaman dengan pihak institusi  
       perbankan (sekiranya ada).
h)   Dapatkan maklumat terkini laporan kredit melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit 
      Berpusat (CCRIS) di Bank Negara Malaysia dan cawangan/ pejabat wilayah         
      berhampiran.

Menyedari kepentingan pendidikan dan pengurusan kewangan, FOMCAtelah mengadakan Program Bulan Kewangan Berhemat pada bulan Oktober tahun 2011. Program ini telah dijadikan sebagai acara tahunan.
Pada tahun 2014, tema Bulan Kewangan Berhemat ialah 'Pendidikan Kewangan untuk Semua'. Tema ini bertujuan untuk memberikan penekanan kepada rakyat Malaysia bahawa pengurusan kewangan merupakan kemahiran hidup bagi semua orang.

Sepanjang bulan ini pelbagai aktiviti dirancang antaranya latihan kewangan untuk kanak-kanak pra sekolah, pendidikan kewangan untuk eksekutif muda, ceramah di sekolah dan di institusi pengajian tinggi, bengkel kewangan untuk komuniti khususnya golongan belia dan wanita serta pendidikan pelaburan untuk pemimpin masyarakat. Melalui aktiviti ini, pengguna akan diberi kesedaran agar membangunkan dan mengekalkan tabiat kewangan yang sihat untuk kesejahteraan kewangan mereka.


Sumber:   Fomca