Powered By Blogger

Saturday, September 26, 2020

Kek Marble

Dah lama tak buat kek ni. Rasanya memang sedap. Bahan-bahan pun murah. Enak dibuat minum petang bersama keluarga atau berkelah atau sebagai bekal untuk perjalanan jauh. Kalau balik kampung boleh buat sebagai buah tangan. Nak buat pun tak susah.

Ini kek belum masak
Ini kek belum masak

Yang ni baru je keluar dari oven

Seronoknya bila kek yang kita buat tu menjadi. Dah banyak kali buat kek ini. Kek ni kalau makan banyak pun tak muak. Apatah lagi makan dengan air kopi. Ooooohhh......tak terkata sedapnya. Tak sedar dah dua tiga ketul kita makan ....hahahaha.
Resipinya pun ringkas. Kawan serumah sewa dulu yang bagi resipinya. Memang sedap. Kek yang kita buat sendiri lebih sedap walaupun rupanya tak begitu cantik.

KEK MARBLE
Bahan-bahannya:
1 1/2 cawan mentega 
1 1/2 cawan gula halus
3 cawan tepung gandum (Boleh juga guna tepung naik sendiri)
1 sudu teh baking powder
5 biji telur (gred B)
1 sudu teh esen vanila
1 sudu besar susu tepung
1 sudu besar serbuk koko
1 sudu besar parutan kulit limau
Sedikit pewarna kuning (jika suka)

Caranya:
1) Sedikan loyang yang disapu mentega.
2) Pukul mentega dan gula hingga kembang.
3) Masukkan telur sebiji demi sebiji dan kacau hingga sebati.
4) Masukkan esen vanila.
5) Setelah adunan sebati masukkan susu tepung dan tepung yang diayak dengan serbuk .
penaik, Kaup dan balikkan hingga rata.
6) Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Satu bahagian dicampurkan serbuk koko dan satu bahagian lagi dicampurkan sedikit pewarna kuning (jika suka) agar warna kuning lebih menyerlah dan parutan kulit limau.
7) Masukkan satu senduk adunan berwarna kuning di tengah-tengah loyang. Kemudian masukkan pula satu adunan coklat di atas adunan kuning. Ulang hingga habis hingga kelihatan belang kuning dan coklat.
8) Bakar hingga masak.

Yeaaayyyy ....kek pun dah sejuk. Bolehlah belah dan simpan. 

Sedia untuk dimakan ๐Ÿ˜‹๐Ÿ˜‹

Bekal untuk dibawa ke tempat kerja ๐Ÿ˜‹๐Ÿ˜‹


Kek marble ni dah banyak kali saya buat. Belum jemu makannya. Nak tukar warna pun boleh contohnya kuning belang merah. Bagi yang pertama kali ingin cuba buat kek, buatlah kek ni. Senang je. Sampai jumpa lagi. Bye!




Saturday, April 18, 2020

Popia Goreng Berinti Sayur Simple

24 Syaaban 1441H
Hari ke-32 PKP 

Rasanya dah hampir dua bulan kulit popia disimpan dalam peti ais. Beli untuk buat stok. Mana tahu ada ahli keluarga datang ke rumah boleh juga buat minum petang. Tapi, apabila PKP datang barulah plastik keluar dari peti ais ๐Ÿ˜ƒ Teringin pula nak makan popia goreng walaupun inti tak berapa cukup syarat. Yang ada cuma kacang panjang, lobak merah, sengkuang dan udang kering. Tak apalah kan ... boleh la tu.....hihi.  Popia goreng berinti sayur saya gandingkan dengan puding karamel. Ini kali ketiga saya buat puding karamel sepanjang tempoh PKP ni. 

Petang Sabtu, pukul 4.00 petang saya dah duduk kat dapur.  Buka peti ais bawa keluar popia sejuk beku, sayur dan udang kering. Cuaca di luar dah mula gelap. Tak lama kemudian hari pun hujan. Dingin terasa. Dah selesai solat asar, saya pun menikmati popia goreng dan secangkir teh tarik. Ehhhhh .... sedap jugak ๐Ÿ˜‹. Bukan susah sangat nak buat popia goreng berinti sayur. Ikutlah apa yang ada di dapur. Ada hikmah juga PKP ni sebab tiada makanan yang dibazirkan. Para isteri yang bekerja mesti lebih bijak mengurus hal ehwal dapur. Setidak-tidaknya tak ada dah barang makanan yang expired ....kannn??

Popia sejuk beku jenama Trisha's

Popia siap untuk digoreng

Puding karamel yang memikat selera

Minum petang saya hari ini 


POPIA GORENG BERINTI SAYUR 
( Untuk 2 orang makan )

Bahan:
9 keping kulit popia (frozen)
2 urat kacang panjang
2 inci lobak merah
1/4 biji sengkuang (saiz kecil)
3 sudu besar udang kering (lagi sedap udang geragau)
2 sudu besar tepung gandum (bancuh dengan sedikit air jadikan pelekat kulit popia)
( ** Nak lagi sedap tambahlah tauge )

Cara:
1) Kacang panjang, lobak merah dan sengkuang dibasuh bersih.
    Kemudian sayur-sayur dipotong kecil seperti nak buat pecal.
2) Udang kering atau udang geragau dibasuh bersih dan toskan.
3) Di atas sekeping kulit popia, letakkan sayur dan udang kering.
    Gulung dan sapukan sedikit bancuhan tepung gandum untuk melekatkan kulit popia.
    Ulang sehingga habis.
4) Goreng popia hingga kulit bertukar keperangan.
    Angkat dan toskan. Boleh dihidang bersama sos cili.

** Nak buat sos cili jalan pintas ikut cara saya senang je ๐Ÿ˜†๐Ÿ˜‹ Tuang sos cili dalam mangkuk dan tambah air panas. Boleh agak-agaklah ya jangan cair sangat. Tak perlu tambah garam dan tak perlu tambah gula. Rasanya tetap sedap ....sesedap rasa. Cubalah. Sos cili yang saya paling suka kalau makan dengan cucur ialah Sos Cili Thai jenama Kimball (gambar).


Thursday, April 09, 2020

Puding Karamel PKP Fasa 2

9 April 2020 / 15 Syaaban 1441H

          Ooohhh leganya .... akhirnya berjaya juga menyediakan Puding Karamel ni. Alhamdulillah. Sebelum PKP selalunya kakak ipar saya yang rajin buat. Setiap kali balik kampung atau datang ke rumah saya, satu atau dua bekas mesti untuk saya. Simpan dalam peti ais dan makan masa sejuk. Tak terperi enaknya. 

          Ye la kan .... bila ada orang yang rajin buat, kita relaks je. Tapi bila dah masuk PKP ni tak ada pilihan la jawabnya. Nak tak nak kena la buat sendiri.... hahahaha. Ada juga hikmahnya PKP ni kan? Setidak-tidaknya bertambah juga sikit kemahiran kita. Moga-moga rangkaian Covid-19 segera dapat diputuskan.  Insya-Allah.

Laporan terkini Covid-19 setakat pukul 5.00 petang tadi 
           Betul la orang kata. Makanan kalau buat sendiri memang sedap. Rasa original. Bila dah siap puding karamel ni, saya rasa termanis le pulak. Tak apa la .... ini percubaan pertama. Kalau nak buat lain kali mungkin boleh kurangkan sedikit gula.  Ini resipinya:

Puding Karamel 
Bahan Puding:
3 biji telur (saiz kecil)
300 ml susu segar
40 gram gula
1/2 sudu kecil esen vanila

Bahan Karamel:
45 gram gula
3 sudu besar air

1) Mula-mula sediakan acuan. Sapu acuan dengan mentega.
2) Sediakan karamel. Panaskan gula dalam periuk dengan api kecil. Kacau sentiasa. 
     Apabila gula bertukar perang, masukkan air. Teruskan mengacau hingga gula cair dan 
     warna keemasan.
3) Tuangkan karamel ke dalam acuan. Ketepikan.
4) Sediakan kukusan.
5) Sediakan puding. Dalam periuk panaskan sebentar susu segar dan gula. Kacau 
     sebentar hingga gula cair. Tutup api.
6) Dalam mangkuk, pukul telur dan esen vanila. 
7) Masukkan susu ke dalam mangkuk adunan telur. Kacau sebati.
8) Tuang ke dalam acuan kukus selama 20 minit. Boleh tutup acuan dengan aluminium foil 
     supaya permukaan puding cantik.
9) Setelah angkat dari kukusan, biarkan sejuk. 
10) Setelah sejuk boleh terbalikkan puding ke atas pinggan leper. Sejukkan dalam peti ais.

Kalau tak sabar .....makan je terus ๐Ÿ˜‹๐Ÿ˜‹

Terpecah masa nak terbalikkan ke pinggan ... mujur sedap ๐Ÿ˜‹

Tak mengecewakan kerana tekstur puding ni halus je.


 Puding ni bersaiz kecil sebab susu segar hanya ada 300 ml je. Maka perlu disesuaikan dengan telur dan gula. Kalau nak guna acuan empat segi pun boleh juga. Lebih senang kalau nak simpan dalam peti ais. Kalau nak buat banyak gandakan saja sukatan. Tak susah la membuatnya. Sangat enak dimakan ketika sejuk.


Monday, March 30, 2020

ROTI PURI

29 Mac 2020 / 4 Syaaban 1441H


Roti puri memang sedap dimakan dengan kari ayam, kari daging atau sardin. Ikut selera orang Malaysia. Saya mula suka makan roti puri ni sejak menikmatinya ketika melancong ke India dua tahun lepas. Di sana roti puri tidak sahaja menjadi sarapan malah kadang-kadang disajikan pada waktu makan tengah hari dan minum petang. Seperti roti canai di Malaysia, bila-bila masa sahaja boleh dinikmati. Puri paling sedap yang saya jumpa sepanjang berada di sana ialah di Pahalgam selepas seronok berkuda pada petang itu. 



Roti puri wajib ada setiap kali sarapan dalam houseboat di Srinagar

Setiap pagi, sarapan di sini tak pernah tak sedap. Pukul 7.00 pagi sarapan dah tersedia. Roti puri yang kami cari dulu. Memang laku keras! Yang best, bos houseboat tahu berapa orang yang belum makan. Disebabkan bilik tak banyak dalam setiap bot, jadi dia memang kenal penghuni setiap bilik. Beberapa hari tinggal di bot ni memang memberikan pengalaman yang sangat menarik. Awal pagi dah keluar meneruskan perjalanan dan malam baru pulang untuk makan malam. Sebelum tidur, kami dibekalkan dengan tiub air panas untuk memanaskan badan. Di sini pada bulan Disember memang sangat sejuk. Tidur di sini memang lena. Kalau datang ke sini, bawa saja pakaian yang tak perlu digosok terutama tudung. Pakailah tudung yang tak perlu digosok sebab penggunaan seterika adalah dilarang oleh pihak pengurusan houseboat. 

Shopping di Jaipur
Kami juga dibawa melihat sekitar Jaipur iaitu ibu kota dan bandar terbesar di negeri Rajasthan. Jaipur lebih dikenali dengan nama Pink City atau Kota Pink. Pada petang itu, kami sempat masuk ke masjid di bandar ini. Di masjid ini rupa-rupanya tiada ruang solat untuk wanita. Daripada pengamatan saya, masjid di negara kita walaupun di luar bandar jauh lebih selesa dari segi kemudahan jika dibandingkan dengan masjid di Jaipur ini. Memandangkan tiada pilihan lain, kami meneruskan agenda petang itu dengan mencuci mata melihat barang-barang yang dijual di sepanjang deretan kedai di bandar Jaipur ini. Apapun barangan yang dijual di sini memang berpatutan. 

Pemandangan di sini memang cantik

Perempuan sahaja ๐Ÿ˜Š

Salah sebuah masjid di Kashmir yang sempat kami kunjungi 
Tidak sekadar bermain salji, kami berpeluang naik gondola di Gulmarg. Harga tiket rasanya sekitar Rs700 atau kira-kira RM40. Sebelum itu, kami perlu menyewa baju dan but. Kalau saiz baju tak ada yang sesuai di badan terpaksalah pakai yang hampir padan. Labuh sikit pun tak apalah. Yang penting pakaian tak kotor. Dah penat bermain salji, boleh duduk-duduk sambil menghirup kopi panas atau coklat panas. Memang mengasyikkan!


Main salji di Gulmarg yang terletak 52 km dari Srinagar  
 
 Bergambar dengan abang askar Kashmir

Tak puas menikmati keindahan Taj Mahal sebab hari hampir malam


Dari Jaipur kami bergerak menuju ke Agra. Perjalanan dengan menaiki bas mengambil masa kira-kira empat jam setengah. Tak sabar nak melihat Taj Mahal. Taj Mahal yang terletak di tebing Sungai Jumna berhampiran Agra merupakan makam yang dibina oleh Maharaja Shah Jahan ( 1641 - 1666 ) sebagai monumen peringatan untuk isterinya, Mumtaz Mahal. Taj Mahal ini mula dibina pada tahun 1632 dan siap tahun 1648. Sebab utama saya ingin jalan-jalan ke India adalah kerana keunikan Taj Mahal. Memang sejak dulu saya memasang impian untuk sampai ke sini. Melihat sendiri Taj Mahal yang tersergam indah berada di depan mata. Subhanallah.  Alhamdulillah. Sangat cantik seni bina Taj Mahal ini. Seni bina Mughal yang menggabungkan seni bina Parsi, Turki, India dan gaya seni bina Islam. Ayat-ayat al-Quran menjadi hiasan utama Taj Mahal. Arkitek utama bangunan ini ialah Ahmad Lahauri . Taj Mahal merupakan sebuah kompleks bersepadu iaitu merangkumi bahagian makam, dewan, taman rekreasi, masjid, menara tinjau dan lain-lain. Pada tahun 1983, UNESCO  telah mengisytiharkan Taj Mahal sebagai tapak warisan dunia yang perlu dilindungi. Bangunan ini dikatakan 'permata seni bina Islam'. Bayangkanlah Taj Mahal ini dibina menggunakan 43 jenis batu permata termasuklah berlian, jed, firus dan nilam. Diceritakan juga bahawa kesemua bahan binaan itu dibawa dari Asia menggunakan 1,000 ekor gajah. Sayangnya, kami sampai agak lewat. Perlu berjalan jauh dari tempat hentian bas untuk masuk ke perkarangan Taj Mahal ini. Pengunjung sangat ramai dan bertali arus. Kami hanya dibenarkan membawa telefon bimbit tetapi tidak dibenarkan membawa power bank dan pengecas. Kami keluar dari perkarangan Taj Mahal ketika hari mula gelap. Dari kejauhan terlihat kilauan dari monumen indah itu kerana pantulan cahaya dari bumbung, kubah dan menaranya diperbuat daripada marmar putih dan seni mozek yang indah serta dihiasi permata. Tidak jemu mata memandang.


Depan houseboat sebelum berangkat ke Delhi
ROTI PURI KEMBUNG
Bahan-bahannya:
250 gram tepung gandum
1/2 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam
3 sudu besar minyak
Air suam

Caranya:
1)  Gaul tepung gandum, gula, garam dan minyak.
2) Masukkan air suam sedikit demi sedikit. Uli tepung sampai tak melekat di tangan.                   Rehatkan doh selama 10 minit.
3) Doh diuli sebentar dan bulat-bulatkan sebesar gola golf ( agak-agak la ya ๐Ÿ˜„) Kemudian         rehatkan doh selama 20 minit.
4) Leperkan doh. Tabur sedikit tepung di kedua-dua permukaan doh supaya tak melekat.
5) Goreng doh dalam minyak yang sedikit.

Nota: Saya tidak gunakan yis tetapi doh tetap kembung semasa kita menggoreng.                               Sebenarnya boleh saja gunakan yis ikut kesukaan masing-masing.

Doh dicanai selepas direhatkan 20 minit
Begini keadaannya selepas digoreng

Roti puri tanpa yis tetap kembung dan sedap

Saturday, March 28, 2020

Banana Ball

28 Mac 2020 / 3 Syaaban 1441H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
Moga kita semua dilindungi Allah daripada segala mara bahaya. Aamiin.

Hari ini hari ke-11 Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dikuatkuasakan di seluruh negara. Setiap hari jugalah saya akan mengikuti perkembangan semasa penularan wabak ini menerusi media terutamanya televisyen. Setiap hari, wajah Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Yang Berbahagia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah akan muncul di kaca televisyen melalui sidang media untuk melaporkan perkembangan semasa COVID-19.  Kalau terlepas waktu siaran, boleh menontonnya di https://www.tonton.com.my/   atau https://myklik.rtm.gov.my/live.php?ch=1. Statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga jam 5.00 petang semalam mencatatkan 2,161 kes keseluruhan dengan jumlah kematian 26 orang. Kita harap jumlah ini tidak bertambah lagi dan rantaian COVID-19 ini dapat diputuskan segera. Itupun bergantung kepada kerjasama setiap rakyat mematuhi arahan kerajaan.  

Mungkinkah penularan wabak COVID-19 juga tanda-tanda akhir zaman kerana antara tanda hampir kiamat ialah munculnya wabak penyakit yang mematikan. Tiada penawar untuk menyelamatkan manusia yang dijangkiti wabak ini. Banyak kebenaran daripada hadis Rasulullah saw yang menyebut tanda-tanda akhir zaman ini termasuklah kemunculan Dajjal yang akan menguasai seluruh pelosok dunia kecuali Makkah dan Madinah. 

Daripada Abdullah ibn Umar R.Anhuma beliau berkata, sabda Rasulullah SAW:
ุจَูŠْู†َุง ุฃَู†َุง ู†َุงุฆِู…ٌ ุฑَุฃَูŠْุชُู†ِูŠ ุฃَุทُูˆูُ ุจِุงู„ْูƒَุนْุจَุฉِ ูَุฅِุฐَุง ุฑَุฌُู„ٌ ุขุฏَู…ُ ุณَุจْุทُ ุงู„ุดَّุนَุฑِ ุจَูŠْู†َ ุฑَุฌُู„َูŠْู†ِ ูŠَู†ْุทُูُ ุฑَุฃْุณُู‡ُ ู…َุงุกً ูَู‚ُู„ْุชُ ู…َู†ْ ู‡َุฐَุง ู‚َุงู„ُูˆุง ุงุจْู†ُ ู…َุฑْูŠَู…َ . ูَุฐَู‡َุจْุชُ ุฃَู„ْุชَูِุชُ ูَุฅِุฐَุง ุฑَุฌُู„ٌ ุฃَุญْู…َุฑُ ุฌَุณِูŠู…ٌ ุฌَุนْุฏُ ุงู„ุฑَّุฃْุณِ ุฃَุนْูˆَุฑُ ุงู„ْุนَูŠْู†ِ ุงู„ْูŠُู…ْู†َู‰ ูƒَุฃَู†َّ ุนَูŠْู†َู‡ُ ุนِู†َุจَุฉٌ ุทَุงูِูŠَุฉٌ ู‚ُู„ْุชُ ู…َู†ْ ู‡َุฐَุง ู‚َุงู„ُูˆุง ู‡َุฐَุง ุงู„ุฏَّุฌَّุงู„ُ ، ุฃَู‚ْุฑَุจُ ุงู„ู†َّุงุณِ ุจِู‡ِ ุดَุจَู‡ًุง ุงุจْู†ُ ู‚َุทَู†ٍ
Maksudnya: “Ketika aku sedang tidur, aku melihat diriku bertawaf di Ka’bah. Tiba-tiba (aku melihat) seorang lelaki yang berkulit sawo matang, berambut lurus (berada) diantara dua lelaki. Kepalanya (seperti) menitiskan air. Aku bertanya: “Siapakah orang ini?” Mereka menjawab: “(Isa) putera Maryam.” Kemudian aku menoleh dan (melihat) seorang lelaki berkulit merah, bertubuh besar, berambut keriting, cacat mata kanannya, seakan-akan matanya seperti sebutir anggur yang menonjol keluar. Aku berkata: “Siapa ini?” Mereka berkata: “Ini ialah Dajjal!” Orang yang paling mirip dengannya ialah Ibnu Qathn[1].”
Riwayat al-Bukhari (6508)
(Dipetik daripada Laman Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Lanjutan dua minggu lagi PKP menyebabkan masing-masing rasa bosan. Jadi, pandai-pandailah mengisi waktu yang ada dengan perkara-perkara bermanfaat. Selain banyakkan membaca al-Quran, kita boleh juga ikuti ceramah-ceramah agama di Youtube. Contohnya, boleh ikuti ceramah agama menggunakan pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=qdQ7pSNB6SA bertajuk Di mana Kedudukan Kita di Mahsyar oleh Ustaz Wadi Anuar. Best ceramah ni. Kata Ustaz Wadi Anuar, orang soleh cepat timbangannya. 
Mungkin PKP ini memberi kita kesempatan untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah, berbuat baik dengan ahli keluarga selain bekerja dari rumah. Anak-anak lelaki boleh membantu ayah apa-apa saja kerja yang patut. Anak-anak perempuan dah boleh ambil tugas ibu di rumah. Bagi ibu berehat pulak. Ini peluang meraih pahala yang banyak. Petang ini boleh duduk dapur sediakan minum petang. Paling tidak pun buat cekodok tapi saya suka panggil banana ball ๐Ÿ˜‚ Setiap kali buat banana ball ni mesti teringat kat Ahmad Hassan Wafiq, anak buah saya yang baru berusia 3 tahun. Dia memang suka banana. Dia tak sebut pisang ๐Ÿ˜ŠBoleh la cuba resipi ringkas cekodok pisang ni. Cekodok pisang original yang tidak dicampur air dan serbuk penaik.
Cekodok Pisang @ Banana Ball
Bahan:
6 biji pisang (pisang apa-apa pun boleh. Saya guna pisang awak )
5 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar gula 
Minyak untuk menggoreng
Caranya:
1. Hancurkan pisang yang telah dikopek.
2. Masukkan gula. Jika tak nak manis cukup 3/4 sudu besar sahaja. Tak perlu masukkan air.
3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit.
4. Goreng dengan menggunakan api sederhana. Bila warna bertukar gelap sedikit bolehlah angkat dan hidangkan.
Cekodok pisang @ banana ball. Memang gelap warnanya sebab saya suka rasanya yang pahit sikit ๐Ÿ˜‹
Nota: Boleh dapat 27 biji cekodok daripada 6 biji pisang. Selamat mencuba untuk adik-adik yang baru nak belajar memasak ๐Ÿ˜˜ Boleh tolong mak kat dapur ya.




Thursday, March 26, 2020

Karipap Ketika PKP COVID-19

Hari ini masuk hari ke-9 rakyat Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) sepanjang penularan wabak COVID-19 di seluruh negara. Wabak pandemik ini mula dikesan di negara China dan kemudiannya merebak ke seluruh dunia. Berita terbaharu melaporkan Sepanyol mencatat jumlah kematian kedua tertinggi di dunia selepas Itali. Statistik terkini COVID-19 di Malaysia setakat jam 5.00 petang tadi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM ) sudah mencatatkan 2,031 kes dengan 235 kes baharu manakala kes aktif sedang dirawat melibatkan 1,793 orang. Seramai 215 orang pesakit telah sembuh dan discaj dari hospital. Setakat ini jumlah kematian telah disahkan seramai 23 orang. 
         PKP yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac 2020 dilanjutkan hingga 14 April 2020. Terlalu lama pula rasanya 'berkurung' di rumah. Apa boleh buat, kan? Keselamatan kita lebih utama. Kita hanya dinasihati supaya 'stay at home'. Boleh kata dapat berehat juga la tapi bagaimana dengan para doktor dan jururawat yang terpaksa berhempas pulas 24 jam untuk menyelamatkan nyawa yang dijangkiti COVID-19. Begitu juga komitmen polis dan tentera yang mematuhi arahan kerajaan melaksanakan PKP sehingga tempoh PKP berakhir.  Moga pengorbanan mereka semua diberkati Allah hendaknya. Aamiin. 
          Tempoh lama 'stay at home' ini menjadikan para isteri makin kreatif apabila duduk di dapur. Setiap hari kepala berputar ligat memikirkan apa yang nak dimasak untuk keluarga. Setiap hari menu bertukar. Kalau tak, mesti ahli keluarga jemu. Pagi ini menu sarapan lain.  Pagi besok menu lain. Bayangkan kalau 14 hari lagi duduk di rumah. Jenuh juga tu nak fikir sarapan apa. Petang pulak kepala nak fikir juga apa yang bagus untuk minum petang. 
              Sudah berbelas-belas tahun rasanya saya tak buat karipap. Tempoh penguatkuasaan PKP sepanjang penularan COVID-19 ni menyebabkan saya terpaksa juga berfikir nak buat apa. Sambil mencari-cari resipi karipap, saya terjumpa resipi karipap di https://www.youtube.com/watch?v=ck9csOrOkAI&t=19s.  Terima kasih kepada Mamak Haji kerana berkongsi resipi ini di YouTube. Al-Fatihah untuk Mamak Haji yang telah kembali ke rahmatullah pada 25 Disember 2019. Sama2 kita doakan moga resepi yang diajar oleh beliau menjadi amal jariahnya kepada kita semua. Insya-Allah. Petang tadi saya buat pastri karipap guna resipi Mamak Haji ni. Alhamdulillah jadi. Cuma tak guna shortening sebab bahan ni tak ada di rumah. Saya gantikan dengan majerin je.

Bentuk karipap tanpa acuan sebelum digoreng

Daging ayam kisar untuk buat inti karipap
Boleh dapat 13 ketul karipap daripada sukatan 250 gram tepung gandum

Bahan pastri karipap:
500 gram tepung gandum
80 gm shortening atau majerin 
3 sudu besar minyak
1 cawan air sejuk ( ais )
1/2 sudu teh garam 
Minyak untuk menggoreng

Caranya:
1) Panaskan minyak. Masukkan minyak yang telah dipanaskan ke dalam tepung.
2) Panaskan majerin hingga cair. Kemudian masukkan majerin ke dalam tepung.
3) Gaul tepung hingga menjadi serbuk roti.
4) Masukkan air ais sedikit demi sedikit. Uli adunan kira-kira 5-10 minit.
5) Masukkan doh ke dalam plastik dan masukkan ke dalam peti ais kira-kira 30 minit.
6) Setelah 30 minit, keluarkan dari peti ais dan uli sebentar.
7) Bahagikan adunan kepada beberapa ketulan kecil. Leperkan dan bentuk ikut acuan.
8) Masukkan inti dan sedia untuk digoreng.

Nota: Saya hanya buat separuh sukatan. Daripada 250 gram tepung boleh dapat 13 biji karipap.

Inti Karipap ( Resipi saya sendiri sejak dulu )
250 gram ubi keledek 
1 keping daging kisar atau daging ayam kisar ( Saya guna jenama Ramly )
3 ulas bawang putih
1 biji bawang holand 
2 sudu besar serbuk kari (cairkan dengan sedikit air )
1 sudu teh garam
1/2 sudu teh gula
Daun sup
Minyak untuk menumis

Cara:
1) Pastikan daging ayam kisar berada pada suhu bilik.
2) Ubi keledek dan bawang besar di potong dadu. Ketepikan.
3) Bawang putih dicincang halus. Ketepikan.
4) Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang besar dan bawang putih dengan api sederhana sampai wangi.
6) Masukkan rempah kari dan kacau rata hingga garing dan pecah minyak.
7) Masukkan daging ayam kisar dan kacau. Masukkan sedikit air. 
7) Masukkan keledek yang dipotong dadu. Masukkan sedikit air dan biar daging ayam kisar dan ubi empuk.
8) Masukkan garam dan gula. Sesuaikan rasanya.
9) Apabila daging ayam dan ubi empuk dan kuah agak kering masukkan daun sup.
10) Setelah air kering, matikan api dan sejukkan inti.

Nota: Inti ini cukup untuk sukatan 250 gram tepung gandum ( separuh sukatan pastri karipap ) yang saya gunakan malah ada lebih dalam 2-3 sudu.