Powered By Blogger

Tuesday, February 14, 2012

Falsafah Hidup Dalam Adat Perpateh


Falsafah hidup Adat Perpateh didasarkan kepada demokrasi dan sosialisme. Sebenarnya istilah 'demokrasi' dan 'sosialisme' adalah perkataan yang agak baharu kepada oang Melayu terutamanya kepada kebanyakan anak-anak Rembau sendiri.  Demokrasi ialah gabungan dua perkataan Yunani (Greek) iaitu 'demos' yang bermaksud 'penduduk' atau rakyat dan 'kratos' yang bermaksud kekuatan atau kedaulatan.  Pendekatan demokrasi ini juga pernah dinyatakan oleh Abraham Lincoln yang memberikan gambaran yang agak tepat juga dengan mensifatkan demokrasi itu sebagai 'satu pemerintahan kerana rakyat, untuk rakyat, oleh rakyat'.  Bagi Roosevelt pula, `Kerajaan itu adalah kita; kitalah kerajaan, engkau dan aku.'

Istilah 'sosialisme' berasal daripada perkataan Latin 'sosius' yang bermaksud 'seorang teman atau seorang sahabat'. Daripada kata dasar 'sosius' terdapat pula perkataan-perkataan seperti 'sosial' yang bermaksud 'suka berbaik-baik dengan orang lain'. Perkataan 'society' pula bermaksud 'masyarakat'. Ringkasnya, sosialisme bermaksud satu teori atau satu falsafah politik yang mengutamakan masyarakat daripada diri seorang individu. Dalam Adat Perpateh, sosialisme adalah satu falsafah hidup yang berdasarkan hukum alam. Demokrasi dalam Adat Perpateh ada dinyatakan dalam pantun (asal) ini:

                Kertas mari di-surat,

                        di-surat orang dengan pisau.
                Di-Acheh raja-nya sa-daulat,
                        di-Darat raja-nya Minangkabau.

Sosialisme dalam Adat Perpateh diceritakan dalam pantun ini:-


                Sejak berduku, berkelapa,

                       pandan tidak panjang lagi.
                Sejak bersuku berkepala,
                       badan nan tidak senang lagi.

Pantun di atas menggambarkan keadaan hidup seorang 'anak buah' dalam sukunya.  Para penduduk dalam sebuah 'luak' adalah hidup dalam suku masing-masing iaitu mereka adalah hidup bersuku atau hidup bermasyarakat.  Cara hidup bermasyarakat itu adalah mengikut setiap anak buah supaya:


                 "Tegak bersaudara, saudara di-pertahankan,

                 tegak berkampong, kampung di-pertahankan,
                 tegak bersuku, suku di-pertahankan,
                 tegak bernegeri, negeri di-pertahankan,

iaitu setiap anak buah dimestikan patuh kepada sukunya dan masyarakatnya. Kedudukan anak buah dengan masyarakatnya itu adalah diibaratkan, 'seperti mentimun dengan durian - menggolek pun luka, kena golek pun luka.'


Hidup bersosial dalam Adat Perpateh sudah diamalkan sejak lama dahulu. Nilai murni jadi pegangan. Setiap anggota masyarakat ada peranannya masing-masing sekalipun sifatnya tidak sempuna.  Dalam masyarakat Adat Perpateh itu, setiap anak buah mempunyai tugasnya yang tersendiri. Sebagai umat yang mulia, setiap anak buah itu, walau bagaimanapun keadaannya, tetap sahaja ada gunanya dan berguna kepada masyarakatnya :-


                `Jika cherdek teman berunding,

                 jika bodoh di-suroh di-arah,
                 yang buta di-suroh menghembus lesong,
                 yang patah di-suroh menunggu jemoran,
                 yang pekak di-suroh menchuchoh meriam,
                 yang berani di-buat kepala lawan,
                 kalau kaya hendakkan emas-nya,
                 kalau mu'alim hendakkan do'a-nya.'
             

Ketika berkunjung ke Bukittinggi, Sumatera Barat pada bulan Mac 2006.

Buku tentang Adat Perpateh yang ditulis oleh Abdul Rahman bin Hj. Mohammad pada tahun 1964 terbitan Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur masih saya simpan untuk rujukan keluarga.

Adat yang dikenali dengan nama Adat Perpateh itu ialah adat yang dipakai oleh kebanyakan orang Melayu di Negeri Sembilan dan juga di Naning dalam negeri Melaka.  Adat Perpateh adalah lengkap dengan segala tatatertib, segala peraturan dan undang-undang atau lebih tepat lagi sebenarnya merupakan satu Perlembagaan Negeri. Adat Perpateh ini berasal dari Minangkabau sebeuah negeri yang amat terkenal dan terletak di sebelah barat pulau Sumatera, Indonesia seperti yang diceritakan dalam pantun ini:-

                     Akan hilir ka-Inderagiri,
                            Sa-malam di-Padang Panjang,
                     Di-mana adat mula berdiri?
                            Di-Pariangan, Padang Panjang.

Menurut sejarah, beratus-ratus tahun dahulu, ramailah orang Minangkabau yang telah pergi merantau meninggalkan tanah air mereka.  Antara mereka terdapat rombongan yang telah pergi mengembara hingga ke Semenanjung Tanah Melayu dan ada pula antara mereka telah merantau hingga ke Naning dan Negeri Sembilan.  Mereka telah membuka negeri baharu dan berkampung halaman di Naning dan di Negeri Sembilan. Menetaplah mereka di situ hingga beranak pinak, bercucu cicit turun temurun hinggalah sekarang.


Sempat menggayakan pakaian puteri Minang ketika berkunjung ke Istana Pagaruyung

No comments:

Post a Comment