Powered By Blogger

Saturday, July 24, 2021

KARIPAP INTI DAGING

Karipap memang tidak asing dalam kalangan masyarakat kita sama ada dijadikan sajian untuk sarapan atau mimum petang. Kalau kita yang buat sendiri kita bebas nak letak inti apa ... inti sardin, kentang atau keledek. Ada sesetengah orang suka masukkan daun kari tapi saya lebih suka letak daun sup. Apa-apapun terpulang kepada selera masing-masinglah. Sebenarnya inti apa-apa pun sedap. Kalau hari ni kita buat inti sardin besoknya pulak kita buat inti kentang atau inti keledek. Kalau untuk makan sendiri rupa tak cantik pun tak apa tapi kalau untuk jualan rupa mesti cantik juga tau!

Saya memang suka karipap. Semasa ikut rombongan Kelab Belia 4B ke Melaka tahun 1985 ( dah lama nuuu) saya pun buatlah karipap untuk bekal dalam perjalanan. Tapi, karipap yang saya buat tu saya sorang je la yang makan. Malu nak pelawa kawan-kawan makan sebab pada saya inti sedap dah tapi kulit karipap yang lembik. Akhirnya, karipap yang berbaki saya bawa balik ke rumah untuk dihabiskan. Sedap sangat ke karipap? Sedap kalau dimakan panas-panas. Bukan maknanya angkat dari kuali terus makan. Bukan. Tapi agak panaslah lagi. Masih terasa panasnya. Siapa yang suka karipap, boleh cuba resipi saya ni. Nak buat jual pun boleh tapi kena up sikit harga cuma saya belum puas hati dengan hasilnya. Rasa dah. Karipap yang saya buat ni tak liat walaupun dah sejuk. Tu yang saya suka tu. Apapun saya kena buat R&D dulu supaya kulit karipap saya rangup. Resipi karipap yang saya buat ni menggunakan sukatan cawan metrik macam kebanyakan chef gunakan. Boleh cuba resipi ini ya.

Dapat 16 biji karipap

Karipap yang telah dikelim tepi

Karipap yang sudah digoreng
 KARIPAP INTI KENTANG
Bahan Kulit karipap
3 cawan tepung gandum
1/2 cawan majerin
1/2 sudu teh garam
1 cawan air sejuk dari peti ais

Inti Karipap
3 biji ubi kentang
1/2 sudu teh garam
2 sudu besar rempah kari daging
150 gram daging (cincang) atau daging kisar Ramly
1 biji bawang holand
3 ulas bawang putih
1 sudu teh gula
Minyak masak secukupnya
Daun sup secukupnya

Cara sediakan inti karipap:
1. Ubi kentang potong dadu. Potong dadu bawang holand. Cincang bawang putih dan daun sup. Ketepikan.
2. Bancuh serbuk kari dengan sedikit air. Ketepikan.
3. Panaskan kuali. Kemudian tumis bawang holand dan bawang putih sehingga naik bau. Kemudian masukkan bancuhan serbuk kari. Kacau sampai agak garing.
4. Masukkan daging dan tambah sedikit air. Masak sampai daging separuh empuk.
5. Masukkan kentang dan tambah air. Masak sampai empuk.
6. Perasakan dengan garam dan sedikit gula.
7. Setelah agak kering masukkan daun sup. Kacau sampai kering.
8. Tutup api dan biarkan inti sejuk.

Cara buat kulit karipap
1. Dalam bekas masukkan tepung.
2. Cairkan majerin dalam kuali atau periuk kecil dan kemudian terus masukkan majerin yang dah cair  dalam tepung. Kacau dengan senduk kayu. Kalau dengan tangan melecur nanti.
4. Gaul ramas tepung sampai jadi seperti serbuk roti.
5. Masukkan air sejuk peti ais sedikit demi sedikit dan uli sebentar.
6. Tutup mangkuk dengan kain lembab atau cling wrap. Mana-mana pun boleh asalkan doh tidak kering. Rehatikan doh setengah jam supaya doh lembut.
7. Bahagi-bahagikan doh kepada ketulan kecil. Saya timbang 38 gram setiap ketul. Dapat 16 biji.
8. Leperkan doh dan letakkan inti dan kelim di tepinya.
9. Goreng karipap setelah minyak panas sehingga keperangan.
10. Angkat karipap dan hidangkan.

Setelah saya siap goreng karipap saya terjumpa pulak satu entri tentang petua karipap rangup. Ohhhh...lain kali bolehlah masukkan sedikit air kapur makan. Harap-harap boleh jadi rangup macam karipap yang dijual depan Pasaraya Yat Fong. Tak berubah rasa, bentuk dan rupanya. Jadi, kalau ada sesiapa nak buat karipap boleh cuba masukkan sedikit air kapur makan bukan kapurnya ya.

No comments:

Post a Comment