Powered By Blogger

Friday, July 16, 2021

APAM TAPAI NASI

 Assalamualaikum. Sambil mengukus kek gula hangus atau ada orang kata kek sarang semut dan sambil dengar ceramah agama oleh Ustaz Badlishah Alauddin bertajuk 'Lockdown: Bolehkah Sedekah Terang-Terangan? saya gunakan waktu ini untuk menulis resipi apam tepung beras yang saya sangat suka sejak kecil. Sebelum ni saya memang tak tahu nak buat apam tapai nasi ni. Banyak resipi di Youtube atau blog telah saya cuba tapi tak seperti yang saya inginkan walaupun gambar apam tu cantik di blog mereka. Tak sekadar mencari resipi di Youtube berbahasa Melayu saya juga ada mencuba resipi apam nasi dari Youtube berbahasa Cina tapi mereka tidak menggunakan tapai nasi sebaliknya tepung beras sahaja tetapi jika tak betul teknik tak menjadi juga apamnya. Pencarian tetap diteruskan sehinggalah saya terjumpa resipi apam tepung beras oleh Ruhaizah Abdullah di Youtube. Sejak hari itu, saya kerap menggunakan resipi yang dikongsikan oleh beliau dan sampai hari ini rasanya dah berbelas-belas kali saya buat apam tepung beras ini. Memang tidak mengecewakan. Apam daripada resipi ini ringan, lembut dan sedap rasanya. Saya lebih suka apam putih untuk menikmat aroma dan rasa asli tapai. 

Tak jemu makan apam tapai nasi 

Guna api besar untuk dapat apam merekah senyum macam ni

Susun dulu apam yang dah sejuk

Guna eno untuk jadikan apam ringan dan gebu

Apam tapai nasi cubaan pertama menjadi walaupun tak senyum

Ini resipi Apam Tapai Nasi untuk jadi rujukan anak cucu pada masa akan datang. Rasanya, apam ini antara kuih paling senang dalam dunia untuk dibuat asalkan ada tapai nasi. Tapai nasi kena buat dulu la ya. Tapai akan masak masuk hari ketiga dengan syarat ragi yang digunakan tu aktif.  Ok, ini resipinya.

TAPAI NASI
700 gram nasi sejuk
1/2 biji ragi

Cara buat tapai:
1. Leraikan nasi supaya tidak berketul. Ragi dihaluskan.
2. Letak nasi dalam bekas besar seperti dulang atau talam.
3. Taburkan ragi yang telah dihaluskan secara merata dan gaul supaya semua nasi mesra dengan ragi.
4. Masukkan dalam bekas kedap udara dan simpan dua hari dua malam hingga tapai berair.

APAM TAPAI NASI
1 cawan tapai nasi (diratakan padat)
2 1/4 cawan air 
3 cawan tepung beras
1 cawan gula
1 sudu teh eno (biru)

Cara:
1. Blend tapai nasi bersama satu cawan air. 
2. Dalam bekas, masukkan tepung beras. gula dan 1 1/4 cawan air. Kacau sebati.
3. Masukkan tapai yang telah dikisar tadi dan kacau kemudian kisar sekali lagi supaya gula hancur dan adunan halus.
4. Masukkan bancuhan tadi ke dalam jag bertutup dan rehatkan selama 4 jam.
5. Masukkan eno 15 - 20 minit sebelum hendak kukus apam dan kacau sebati.
6. Sambil menunggu bancuhan apam kembang, panaskan kukusan hingga air mendidih.
7. Masukkan acuan yang telah disapu minyak ke dalam periuk kukus dan panaskan selama 5 minit.
8. Masukkan bancuhan ke dalam acuan dan kukus antara 15 - 20 minit. Jangan kurang daripada 15 minit ya. Kat sini jangan engkar resipi ya, sebab kalau kurang 15 minit apam jadi berat dan tak merekah. Kukus dengan api besar supaya apam tersenyum cantik. Yang penting acuan mesti dipanaskan dulu ya.
9. Setelah masak boleh angkat, rehatkan 1 - 2 minit dan kemudian keluarkan dari acuan. Kalau apam dibiarkan lama dalam acuan, apam akan jadi berat dan berminyak. 

Jangan sedih kalau apam tak merekah ya. Ada orang suka apam merekah dan ada yang suka permukaan apam yang rata. Cubaan pertama saya buat apam dulu pun apamnya tak merekah tapi ringan dan gebu.  Rasanya pulak tak boleh cerita. Menepati citarasa saya. Sedap. Terima kasih kepada Puan Ruhaizah Abdullah kerana sudi berkongsi resipi apam ini. Ada yang kata kalau nak apam cantik gunakan tepung beras cap teratai tapi tepung ni pasarannya tak luas. Tak semua tempat ada jual tepung beras cap teratai. Saya gunakan tepung beras cap gajah je. Alhamdulillah, apam tetap merekah juga.  Kalau percubaan pertama berjaya mesti kita tambah bersemangat nak buat kuih apam lagi.





No comments:

Post a Comment