Powered By Blogger

Thursday, March 26, 2020

Karipap Ketika PKP COVID-19

Hari ini masuk hari ke-9 rakyat Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) sepanjang penularan wabak COVID-19 di seluruh negara. Wabak pandemik ini mula dikesan di negara China dan kemudiannya merebak ke seluruh dunia. Berita terbaharu melaporkan Sepanyol mencatat jumlah kematian kedua tertinggi di dunia selepas Itali. Statistik terkini COVID-19 di Malaysia setakat jam 5.00 petang tadi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM ) sudah mencatatkan 2,031 kes dengan 235 kes baharu manakala kes aktif sedang dirawat melibatkan 1,793 orang. Seramai 215 orang pesakit telah sembuh dan discaj dari hospital. Setakat ini jumlah kematian telah disahkan seramai 23 orang. 
         PKP yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac 2020 dilanjutkan hingga 14 April 2020. Terlalu lama pula rasanya 'berkurung' di rumah. Apa boleh buat, kan? Keselamatan kita lebih utama. Kita hanya dinasihati supaya 'stay at home'. Boleh kata dapat berehat juga la tapi bagaimana dengan para doktor dan jururawat yang terpaksa berhempas pulas 24 jam untuk menyelamatkan nyawa yang dijangkiti COVID-19. Begitu juga komitmen polis dan tentera yang mematuhi arahan kerajaan melaksanakan PKP sehingga tempoh PKP berakhir.  Moga pengorbanan mereka semua diberkati Allah hendaknya. Aamiin. 
          Tempoh lama 'stay at home' ini menjadikan para isteri makin kreatif apabila duduk di dapur. Setiap hari kepala berputar ligat memikirkan apa yang nak dimasak untuk keluarga. Setiap hari menu bertukar. Kalau tak, mesti ahli keluarga jemu. Pagi ini menu sarapan lain.  Pagi besok menu lain. Bayangkan kalau 14 hari lagi duduk di rumah. Jenuh juga tu nak fikir sarapan apa. Petang pulak kepala nak fikir juga apa yang bagus untuk minum petang. 
              Sudah berbelas-belas tahun rasanya saya tak buat karipap. Tempoh penguatkuasaan PKP sepanjang penularan COVID-19 ni menyebabkan saya terpaksa juga berfikir nak buat apa. Sambil mencari-cari resipi karipap, saya terjumpa resipi karipap di https://www.youtube.com/watch?v=ck9csOrOkAI&t=19s.  Terima kasih kepada Mamak Haji kerana berkongsi resipi ini di YouTube. Al-Fatihah untuk Mamak Haji yang telah kembali ke rahmatullah pada 25 Disember 2019. Sama2 kita doakan moga resepi yang diajar oleh beliau menjadi amal jariahnya kepada kita semua. Insya-Allah. Petang tadi saya buat pastri karipap guna resipi Mamak Haji ni. Alhamdulillah jadi. Cuma tak guna shortening sebab bahan ni tak ada di rumah. Saya gantikan dengan majerin je.

Bentuk karipap tanpa acuan sebelum digoreng

Daging ayam kisar untuk buat inti karipap
Boleh dapat 13 ketul karipap daripada sukatan 250 gram tepung gandum

Bahan pastri karipap:
500 gram tepung gandum
80 gm shortening atau majerin 
3 sudu besar minyak
1 cawan air sejuk ( ais )
1/2 sudu teh garam 
Minyak untuk menggoreng

Caranya:
1) Panaskan minyak. Masukkan minyak yang telah dipanaskan ke dalam tepung.
2) Panaskan majerin hingga cair. Kemudian masukkan majerin ke dalam tepung.
3) Gaul tepung hingga menjadi serbuk roti.
4) Masukkan air ais sedikit demi sedikit. Uli adunan kira-kira 5-10 minit.
5) Masukkan doh ke dalam plastik dan masukkan ke dalam peti ais kira-kira 30 minit.
6) Setelah 30 minit, keluarkan dari peti ais dan uli sebentar.
7) Bahagikan adunan kepada beberapa ketulan kecil. Leperkan dan bentuk ikut acuan.
8) Masukkan inti dan sedia untuk digoreng.

Nota: Saya hanya buat separuh sukatan. Daripada 250 gram tepung boleh dapat 13 biji karipap.

Inti Karipap ( Resipi saya sendiri sejak dulu )
250 gram ubi keledek 
1 keping daging kisar atau daging ayam kisar ( Saya guna jenama Ramly )
3 ulas bawang putih
1 biji bawang holand 
2 sudu besar serbuk kari (cairkan dengan sedikit air )
1 sudu teh garam
1/2 sudu teh gula
Daun sup
Minyak untuk menumis

Cara:
1) Pastikan daging ayam kisar berada pada suhu bilik.
2) Ubi keledek dan bawang besar di potong dadu. Ketepikan.
3) Bawang putih dicincang halus. Ketepikan.
4) Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang besar dan bawang putih dengan api sederhana sampai wangi.
6) Masukkan rempah kari dan kacau rata hingga garing dan pecah minyak.
7) Masukkan daging ayam kisar dan kacau. Masukkan sedikit air. 
7) Masukkan keledek yang dipotong dadu. Masukkan sedikit air dan biar daging ayam kisar dan ubi empuk.
8) Masukkan garam dan gula. Sesuaikan rasanya.
9) Apabila daging ayam dan ubi empuk dan kuah agak kering masukkan daun sup.
10) Setelah air kering, matikan api dan sejukkan inti.

Nota: Inti ini cukup untuk sukatan 250 gram tepung gandum ( separuh sukatan pastri karipap ) yang saya gunakan malah ada lebih dalam 2-3 sudu. 






No comments:

Post a Comment