Powered By Blogger

Saturday, April 18, 2020

Popia Goreng Berinti Sayur Simple

24 Syaaban 1441H
Hari ke-32 PKP 

Rasanya dah hampir dua bulan kulit popia disimpan dalam peti ais. Beli untuk buat stok. Mana tahu ada ahli keluarga datang ke rumah boleh juga buat minum petang. Tapi, apabila PKP datang barulah plastik keluar dari peti ais 😃 Teringin pula nak makan popia goreng walaupun inti tak berapa cukup syarat. Yang ada cuma kacang panjang, lobak merah, sengkuang dan udang kering. Tak apalah kan ... boleh la tu.....hihi.  Popia goreng berinti sayur saya gandingkan dengan puding karamel. Ini kali ketiga saya buat puding karamel sepanjang tempoh PKP ni. 

Petang Sabtu, pukul 4.00 petang saya dah duduk kat dapur.  Buka peti ais bawa keluar popia sejuk beku, sayur dan udang kering. Cuaca di luar dah mula gelap. Tak lama kemudian hari pun hujan. Dingin terasa. Dah selesai solat asar, saya pun menikmati popia goreng dan secangkir teh tarik. Ehhhhh .... sedap jugak 😋. Bukan susah sangat nak buat popia goreng berinti sayur. Ikutlah apa yang ada di dapur. Ada hikmah juga PKP ni sebab tiada makanan yang dibazirkan. Para isteri yang bekerja mesti lebih bijak mengurus hal ehwal dapur. Setidak-tidaknya tak ada dah barang makanan yang expired ....kannn??

Popia sejuk beku jenama Trisha's

Popia siap untuk digoreng

Puding karamel yang memikat selera

Minum petang saya hari ini 


POPIA GORENG BERINTI SAYUR 
( Untuk 2 orang makan )

Bahan:
9 keping kulit popia (frozen)
2 urat kacang panjang
2 inci lobak merah
1/4 biji sengkuang (saiz kecil)
3 sudu besar udang kering (lagi sedap udang geragau)
2 sudu besar tepung gandum (bancuh dengan sedikit air jadikan pelekat kulit popia)
( ** Nak lagi sedap tambahlah tauge )

Cara:
1) Kacang panjang, lobak merah dan sengkuang dibasuh bersih.
    Kemudian sayur-sayur dipotong kecil seperti nak buat pecal.
2) Udang kering atau udang geragau dibasuh bersih dan toskan.
3) Di atas sekeping kulit popia, letakkan sayur dan udang kering.
    Gulung dan sapukan sedikit bancuhan tepung gandum untuk melekatkan kulit popia.
    Ulang sehingga habis.
4) Goreng popia hingga kulit bertukar keperangan.
    Angkat dan toskan. Boleh dihidang bersama sos cili.

** Nak buat sos cili jalan pintas ikut cara saya senang je 😆😋 Tuang sos cili dalam mangkuk dan tambah air panas. Boleh agak-agaklah ya jangan cair sangat. Tak perlu tambah garam dan tak perlu tambah gula. Rasanya tetap sedap ....sesedap rasa. Cubalah. Sos cili yang saya paling suka kalau makan dengan cucur ialah Sos Cili Thai jenama Kimball (gambar).


Thursday, April 09, 2020

Puding Karamel PKP Fasa 2

9 April 2020 / 15 Syaaban 1441H

          Ooohhh leganya .... akhirnya berjaya juga menyediakan Puding Karamel ni. Alhamdulillah. Sebelum PKP selalunya kakak ipar saya yang rajin buat. Setiap kali balik kampung atau datang ke rumah saya, satu atau dua bekas mesti untuk saya. Simpan dalam peti ais dan makan masa sejuk. Tak terperi enaknya. 

          Ye la kan .... bila ada orang yang rajin buat, kita relaks je. Tapi bila dah masuk PKP ni tak ada pilihan la jawabnya. Nak tak nak kena la buat sendiri.... hahahaha. Ada juga hikmahnya PKP ni kan? Setidak-tidaknya bertambah juga sikit kemahiran kita. Moga-moga rangkaian Covid-19 segera dapat diputuskan.  Insya-Allah.

Laporan terkini Covid-19 setakat pukul 5.00 petang tadi 
           Betul la orang kata. Makanan kalau buat sendiri memang sedap. Rasa original. Bila dah siap puding karamel ni, saya rasa termanis le pulak. Tak apa la .... ini percubaan pertama. Kalau nak buat lain kali mungkin boleh kurangkan sedikit gula.  Ini resipinya:

Puding Karamel 
Bahan Puding:
3 biji telur (saiz kecil)
300 ml susu segar
40 gram gula
1/2 sudu kecil esen vanila

Bahan Karamel:
45 gram gula
3 sudu besar air

1) Mula-mula sediakan acuan. Sapu acuan dengan mentega.
2) Sediakan karamel. Panaskan gula dalam periuk dengan api kecil. Kacau sentiasa. 
     Apabila gula bertukar perang, masukkan air. Teruskan mengacau hingga gula cair dan 
     warna keemasan.
3) Tuangkan karamel ke dalam acuan. Ketepikan.
4) Sediakan kukusan.
5) Sediakan puding. Dalam periuk panaskan sebentar susu segar dan gula. Kacau 
     sebentar hingga gula cair. Tutup api.
6) Dalam mangkuk, pukul telur dan esen vanila. 
7) Masukkan susu ke dalam mangkuk adunan telur. Kacau sebati.
8) Tuang ke dalam acuan kukus selama 20 minit. Boleh tutup acuan dengan aluminium foil 
     supaya permukaan puding cantik.
9) Setelah angkat dari kukusan, biarkan sejuk. 
10) Setelah sejuk boleh terbalikkan puding ke atas pinggan leper. Sejukkan dalam peti ais.

Kalau tak sabar .....makan je terus 😋😋

Terpecah masa nak terbalikkan ke pinggan ... mujur sedap 😋

Tak mengecewakan kerana tekstur puding ni halus je.


 Puding ni bersaiz kecil sebab susu segar hanya ada 300 ml je. Maka perlu disesuaikan dengan telur dan gula. Kalau nak guna acuan empat segi pun boleh juga. Lebih senang kalau nak simpan dalam peti ais. Kalau nak buat banyak gandakan saja sukatan. Tak susah la membuatnya. Sangat enak dimakan ketika sejuk.