Dah lama saya tak makan pengat pisang dan dah lama juga tak buat pengat pisang. Jadi, yang sedap dibuat pengat rasanya pisang abu, pisang nangka atau pisang tanduk. Pisang itu juga yang sedap digoreng....kan? Kebetulan pergi pasar Ahad baru-baru ni dengan kawan saya, Sharifah Adnan dan terjumpa pisang nangka, saya pun belilah satu sikat. Harganya RM10 saja. Adalah dalam 18 biji. Pisang nangka sesuai untuk goreng. Isinya krim putih bertekstur halus, lembut dan masam-masam sedikit . Berat tandan 12-14 kilogram dengan 6-8 sisir. Setiap sisir terdapat 14-24 jejari dan bentuk jejari bersegi, memanjang dengan saiz jejari sederhana hingga besar.
|
Pisang nangka |
Ada satu jenis lagi pisang yang sedap dibuat pengat iaitu pisang abu. Ehmmm....kalau buat pisang goreng cheese pun sedap ni. Pekerja di sebuah kedai kek pula cadangkan supaya saya mencuba makan pisang goreng dengan sos coklat. Sos coklat dah beli sebab anak saudara saya nak makan strawberi dengan sos coklat. Maka saya belilah sos coklat. Tadi pun tak terlintas nak colek pisang goreng tu dengan sos coklat yang tersimpan dalam peti ais.
|
Pisang abu
|
Petang tadi habislah sudah pisang nangka yang dibeli minggu lepas tu saya buat pengat. Ehmmm....memang puaslah makan. Cuma petua nak buat bubur atau pengat, sebaik-baiknya gunakanlah santan daripada sebiji kelapa yang baru diparut atau dimesin. Maksudnya kelapa baru. Kalau kita beli kelapa parut di pasar, kadang-kadang kelapa tu dah bercampur dengan kelapa yang dah masam sedikit. Sebab tu kadang-kadang pengat atau apa-apa masakan kita cepat basi.
Memandangkan dah lama tak buat pengat pisang ni, maka saya kongsikan resepi di sini. Selamat mencuba. Pingat pisang memang kegemaran arwah emak dan ayah saya. Kalau nak pengat pisang yang cantik, jangan cari yang masak ranum. Cari pisang yang mengkal .... yang tak terlalu masak dan tak terlalu muda. Barulah bentuk pisang tu cantik bila dah jadi pengat nanti.
PENGAT PISANG NANGKA
Bahan-bahan:
8 - 10 biji pisang nangka ( yang mengkal )
5 sudu makan gula merah
5 sudu makan gula putih
2 mug santan (daripada satu biji kelapa)
1 mug air (untuk jadikan air gula)
3 helai daun pandan
1/2 sudu teh garam
|
Langkah 1
Masukkan gula merah dan gula putih dalam periuk atau kuali yang dalam.
Kemudian, masukkan air dan daun pandan. Masak air gula hingga mendidih. |
|
Langkah 2
Setelah air gula mendidih, masukkan pisang dan biarkan pisang 'mesra' dengan air gula lebih kurang 10 minit. Kacau sekali sekala dengan api sederhana. |
|
Langkah 3
Kacau sekali sekala supaya pisang tidak melekat. |
|
Langkah 4
Masukkan santan. Kacau perlahan dengan api yang sederhana. Setelah mendidih bolehlah padamkan api dan biarkan sejuk.. |
|
Sudu dan mug yang saya gunakan untuk menyukat bahan. Senang je. |
|
Pengat pisang nangka sudah siap. Sedap. |
No comments:
Post a Comment