Powered By Blogger

Saturday, September 13, 2014

BUKAN IKLAN. CUMA TERKENANG AYAH.



Setiap kali saya memandang dakwat Quink (Quick and Ink) dan pen Parker ini saya terkenang arwah ayah saya. Saya teringat inilah bentuk serta warna pen dan dakwat yang dibelikan ayah untuk saya semasa diminta guru menggunakan pen dan belajar tulisan sambung semasa darjah 4. Memang seronok dapat menggunakan pen dakwat (hanya pen jenis dakwat yang dibenarkan). Pen ini saya gunakan hingga tingkatan enam. Saya gunakan secara maksimum untuk subjek Geografi (subjek yg paling saya minati). Dari nota yg diberi guru hinggalah peta yg dilukis saya ingin melihatnya sempurna. Peta yang dilukis dan diwarna mesti sama seperti dalam buku teks. Baru saya puas hati.


Dakwat ini menghasilkan warna yang cantik

Pen Parker berwarna hitam yang ketika itu harganya cuma RM4.50 sebatang 

Pakaian terutama kasut sekolah, jenama Bata yang ayah pilih untuk kami. Semasa darjah 1 dan darjah 2 saya hanya memakai kasut getah. Berulang kali juga merengek pada ayah, tapi mak memujuk … “nanti le dulu. Pakai dulu kasut yang ada tu. Nanti kalau dapat duit lebih boleh le beli kasut tu.” Hati sedikit sedih dan terkilan tapi mengenangkan ketika itu hidup susah lantaran adik beradik ramai dan masih bersekolah, maka saya belajar untuk bersabar. Semasa darjah 3 saya dapat rasa memakai kasut Bata dengan potongan seperti yang sering dipakai jururawat. Tapi pandai2 la berjimat. Kasut yang ayah beli tu untuk dipakai 2 tahun. Hanya sepasang seorang. Kotor? Basuh dan diang tepi api. Kasut Bata BM2000 saya pakai masa darjah 4. Gembira tak terkira dapat kasut jenama itu. Terfikir juga ayah cuma penoreh getah. Dapat duit RM180 saja dari paysheet yang saya baca. 

Tahun-tahun 70-an yang mencabar kerana enam daripada lapan adik-beradik yang bersekolah termasuk dua oang di asrama. Tapi masa tu saya cuma budak2, fikiran tak jauh ke mana. Pendapatan ayah sebanyak itu sememangnya tidak cukup apatah lagi jika dibandingkan dengan keadaan ekonomi sekarang dan bilangan isi rumah yang ramai. Tapi mak bijak berbelanja dan mengurus wang.  Yang saya lihat, untuk kelengkapan persekolahan, ayah selalu pilih yg terbaik walaupun saya selalu dapati dompet ayah selalu nipis dan poketnya banyak duit syiling sahaja.  Bagi mak pula, apa-apapun hal sekolah diutamakan dahulu. Mak tak kisahpun kalau ayah tak belikan mak rantai tangan atau rantai leher. Tapi dia sangat risau kalau yuran sekolah kami belum dibayar atau buku rujukan tidak dapat dibeli.  Bergadai barang kemas dan tebus balik sudah jadi perkara biasa bagi mak. Semua tu untuk persekolahan kami.  Apa yang saya ingat, saya cuma pernah minta kasut Bata BM2000 dan tahun sebelumnya kasut Bata dengan potongan kasut yang sering dipakai jururawat ketika itu. Potongan kasut yang nampak feminine ( masa tu ada angan2 nak jadi jururawat tambahan pula mak sedara pun jururawat. Saya suka pekerjaan yang sering berjumpa orang ramai). Masa sekolah menengah, saya hanya memakai kasut Bata dengan jaluran hijau di sekeliling tumit. Kasut yang cantik dan potongannya kemas pada fikiran saya ketika itu. 

Memang puas hati biala ayah belikan kasut ini

Bila dah sekolah menngah, tiada lagi meminta itu ini sebab saya dapat biasiswa BKP. Alhamdulillah.  Duit itu digunakan untuk membayar yuran dan membeli buku rujukan. Nak jumpa guru biasiswa pun malu. Melihat ayah balik dgn peluh dan penat menoreh, saya jadi tak sampai hati nak minta macam-macam.  Duit belanja sekolah hanya disimpan. Bawa bekal nasi dengan lauk ala kadar. Kadang-kadang bawa kuih saja.  Cukup la. Makan dengan kawan2 di belakang Blok D. Gembira rasanya. Ya la ... belajar berjimat. Cuma sesekali pergi ke kantin untuk makan nasi lemak atau cucur udang.  Itu pun kerana saya pengawas bertugas memang dibenarkan keluar 10 minit awal ke kantin.  Jika tidak, saya lebih suka memilih menikmati bekalan yang dibawa ke sekolah.  Kesian ayah dan mak yang Cuma menoreh getah dan petangnya pula ke kebun lagi untuk mengutip getah buku atau getah skrap.  

Pada hari cuti, saya suka duduk di tingkap nako yang dibuka luas menunggu ayah lalu depan rumah. Saya nak tengok berapa plastik susu getah yang ayah bawa ke setor getah. Kadang-kadang dua plastik penuh yang diletakkan di depan dan di belakang motorsikal. Kadang-kadang cuma satu plastik saja.  Kami yang perempuan memang tidak dibenarkan menorah (takut pokok rosak …hehe) dan hanya dibenarkan kutip skrap sahaja, itu pun hari cuti sekolah. Bila ada kesempatan bersembang, saya tanya juga pada mak mengapa susu getah yang ayah dapat tak banyak macam orang lain? Sekali sekala saja saya Nampak plastik yang penuh dan diangkut dua kali ke setor.  Mak pernah kata dengan melawak, “nak banyak? Boleh. Kita campur dengan air.” Tapi, mak kata, “tak usah le nak buat macam itu. Itu namanya menipu.  Dengan susu getah tu le mak dengan ayah nak bagi kamu semua makan. Biar le halal.”   Saya terdiam.

Sememangnya ayah juga tau apa saya suka. Setiap kali saya pulang bercuti semester pula, ayah tak lupa belikan laksa yg saya suka. Turun bas saja, saya nampak ayah dah menanti di dewan orang ramai. Ketika sihatnya, subuh dan maghribnya hanya di masjid.  Sesekali kalau ayah solat maghrib di rumah, ayah yang mengajar kami mengaji Quran.  Waktu-waktu yang lain, emak yang mengajar mengaji.  Tiga rotan mak yang tersisip di dinding adalah penggerak utama kami mengaji … Sungguh lucu bila mengenangkan kembali kisah kanak-kanak.  Pernah juga emak berpesan kepada saya supaya mengajar sendiri anak-anak mengaji Quran.  Belajar mengaji Quran dengan atuk, opah, ayah dan mak bagai mengalirkan aura ke jiwa saya.  Begitulah kenangan yang tersimpan hingga kini. Kenangan yang ayah tinggalkan ...rebana, ukiran rumah, lagu2 dari paluan rebana masih terngiang-ngiang begitu juga lagu Jepun lama, jenaka ayah mengusik mak dan panggilan nama manja cucu2nya. 

Al-fatihah.