Powered By Blogger

Saturday, September 13, 2014

BUKAN IKLAN. CUMA TERKENANG AYAH.



Setiap kali saya memandang dakwat Quink (Quick and Ink) dan pen Parker ini saya terkenang arwah ayah saya. Saya teringat inilah bentuk serta warna pen dan dakwat yang dibelikan ayah untuk saya semasa diminta guru menggunakan pen dan belajar tulisan sambung semasa darjah 4. Memang seronok dapat menggunakan pen dakwat (hanya pen jenis dakwat yang dibenarkan). Pen ini saya gunakan hingga tingkatan enam. Saya gunakan secara maksimum untuk subjek Geografi (subjek yg paling saya minati). Dari nota yg diberi guru hinggalah peta yg dilukis saya ingin melihatnya sempurna. Peta yang dilukis dan diwarna mesti sama seperti dalam buku teks. Baru saya puas hati.


Dakwat ini menghasilkan warna yang cantik

Pen Parker berwarna hitam yang ketika itu harganya cuma RM4.50 sebatang 

Pakaian terutama kasut sekolah, jenama Bata yang ayah pilih untuk kami. Semasa darjah 1 dan darjah 2 saya hanya memakai kasut getah. Berulang kali juga merengek pada ayah, tapi mak memujuk … “nanti le dulu. Pakai dulu kasut yang ada tu. Nanti kalau dapat duit lebih boleh le beli kasut tu.” Hati sedikit sedih dan terkilan tapi mengenangkan ketika itu hidup susah lantaran adik beradik ramai dan masih bersekolah, maka saya belajar untuk bersabar. Semasa darjah 3 saya dapat rasa memakai kasut Bata dengan potongan seperti yang sering dipakai jururawat. Tapi pandai2 la berjimat. Kasut yang ayah beli tu untuk dipakai 2 tahun. Hanya sepasang seorang. Kotor? Basuh dan diang tepi api. Kasut Bata BM2000 saya pakai masa darjah 4. Gembira tak terkira dapat kasut jenama itu. Terfikir juga ayah cuma penoreh getah. Dapat duit RM180 saja dari paysheet yang saya baca. 

Tahun-tahun 70-an yang mencabar kerana enam daripada lapan adik-beradik yang bersekolah termasuk dua oang di asrama. Tapi masa tu saya cuma budak2, fikiran tak jauh ke mana. Pendapatan ayah sebanyak itu sememangnya tidak cukup apatah lagi jika dibandingkan dengan keadaan ekonomi sekarang dan bilangan isi rumah yang ramai. Tapi mak bijak berbelanja dan mengurus wang.  Yang saya lihat, untuk kelengkapan persekolahan, ayah selalu pilih yg terbaik walaupun saya selalu dapati dompet ayah selalu nipis dan poketnya banyak duit syiling sahaja.  Bagi mak pula, apa-apapun hal sekolah diutamakan dahulu. Mak tak kisahpun kalau ayah tak belikan mak rantai tangan atau rantai leher. Tapi dia sangat risau kalau yuran sekolah kami belum dibayar atau buku rujukan tidak dapat dibeli.  Bergadai barang kemas dan tebus balik sudah jadi perkara biasa bagi mak. Semua tu untuk persekolahan kami.  Apa yang saya ingat, saya cuma pernah minta kasut Bata BM2000 dan tahun sebelumnya kasut Bata dengan potongan kasut yang sering dipakai jururawat ketika itu. Potongan kasut yang nampak feminine ( masa tu ada angan2 nak jadi jururawat tambahan pula mak sedara pun jururawat. Saya suka pekerjaan yang sering berjumpa orang ramai). Masa sekolah menengah, saya hanya memakai kasut Bata dengan jaluran hijau di sekeliling tumit. Kasut yang cantik dan potongannya kemas pada fikiran saya ketika itu. 

Memang puas hati biala ayah belikan kasut ini

Bila dah sekolah menngah, tiada lagi meminta itu ini sebab saya dapat biasiswa BKP. Alhamdulillah.  Duit itu digunakan untuk membayar yuran dan membeli buku rujukan. Nak jumpa guru biasiswa pun malu. Melihat ayah balik dgn peluh dan penat menoreh, saya jadi tak sampai hati nak minta macam-macam.  Duit belanja sekolah hanya disimpan. Bawa bekal nasi dengan lauk ala kadar. Kadang-kadang bawa kuih saja.  Cukup la. Makan dengan kawan2 di belakang Blok D. Gembira rasanya. Ya la ... belajar berjimat. Cuma sesekali pergi ke kantin untuk makan nasi lemak atau cucur udang.  Itu pun kerana saya pengawas bertugas memang dibenarkan keluar 10 minit awal ke kantin.  Jika tidak, saya lebih suka memilih menikmati bekalan yang dibawa ke sekolah.  Kesian ayah dan mak yang Cuma menoreh getah dan petangnya pula ke kebun lagi untuk mengutip getah buku atau getah skrap.  

Pada hari cuti, saya suka duduk di tingkap nako yang dibuka luas menunggu ayah lalu depan rumah. Saya nak tengok berapa plastik susu getah yang ayah bawa ke setor getah. Kadang-kadang dua plastik penuh yang diletakkan di depan dan di belakang motorsikal. Kadang-kadang cuma satu plastik saja.  Kami yang perempuan memang tidak dibenarkan menorah (takut pokok rosak …hehe) dan hanya dibenarkan kutip skrap sahaja, itu pun hari cuti sekolah. Bila ada kesempatan bersembang, saya tanya juga pada mak mengapa susu getah yang ayah dapat tak banyak macam orang lain? Sekali sekala saja saya Nampak plastik yang penuh dan diangkut dua kali ke setor.  Mak pernah kata dengan melawak, “nak banyak? Boleh. Kita campur dengan air.” Tapi, mak kata, “tak usah le nak buat macam itu. Itu namanya menipu.  Dengan susu getah tu le mak dengan ayah nak bagi kamu semua makan. Biar le halal.”   Saya terdiam.

Sememangnya ayah juga tau apa saya suka. Setiap kali saya pulang bercuti semester pula, ayah tak lupa belikan laksa yg saya suka. Turun bas saja, saya nampak ayah dah menanti di dewan orang ramai. Ketika sihatnya, subuh dan maghribnya hanya di masjid.  Sesekali kalau ayah solat maghrib di rumah, ayah yang mengajar kami mengaji Quran.  Waktu-waktu yang lain, emak yang mengajar mengaji.  Tiga rotan mak yang tersisip di dinding adalah penggerak utama kami mengaji … Sungguh lucu bila mengenangkan kembali kisah kanak-kanak.  Pernah juga emak berpesan kepada saya supaya mengajar sendiri anak-anak mengaji Quran.  Belajar mengaji Quran dengan atuk, opah, ayah dan mak bagai mengalirkan aura ke jiwa saya.  Begitulah kenangan yang tersimpan hingga kini. Kenangan yang ayah tinggalkan ...rebana, ukiran rumah, lagu2 dari paluan rebana masih terngiang-ngiang begitu juga lagu Jepun lama, jenaka ayah mengusik mak dan panggilan nama manja cucu2nya. 

Al-fatihah.


Thursday, June 05, 2014

CINTA NAN MERAH

Kanashii kimochi

Biarkan hati berbicara. Hati tidak selalu riang. Tapi, tidak juga selalu duka. Saat hati berdendang, yang lain sama gembira. Saat hati lara, air mata tertumpah jua. Pada yang mengerti, hati dapat menyelami kala resah sendu dan saat tawa ria. Ada saatnya hati menjadi rapuh meski kekuatan telah sekian lama dibina.




Monday, March 31, 2014

PASSPORT PALSU, KOTAK HITAM DAN TEKNOLOGI SATELIT

31 Mac 2014 / 29 Jamadil Awal 1435


Isu yang sangat memberi kesan di hati ramai orang ketika ini ialah misteri kehilangan MH370 iaitu pesawat canggih dua enjin jenis Boeing 777-200ER milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi. Hari ini hari ke-24 misteri kehilangan pesawat itu disiarkan di media massa namun masih belum menemukan jawapan sejak kehilangannya pada 8 Mac lepas. 



          


Berita terbaru, Agensi Pusat Koordinasi Bersama (JACC) akan ditubuhkan untuk menyelaras operasi di antara semua pasukan pencarian antarabangsa dan agensi kerajaan Australia. JACC berpusat di Pangkalan Tentera Udara Pearce di Perth. Dalam pencarian tersebut, sembilan pesawat tentera Malaysia C-130, Cina Ilyushin IL-76, Jepun Coast Guard G5, Australia P3 Orion, New Zealand P3 Orion, Amerika Syarikat P8 Poseido, Jepun P3 Orion, Korea P3 Orion dan satu pesawat awam dari New Zealand akan diterbangkan ke kawasan carian malah 11 kapal laut milik China dan tiga milik Australia turut dikerahkan ke kawasan carian. Kapal KD Lekiu milik Malaysia dijangka akan tiba di kawasan carian pada 3 April. Pihak berkuasa Australia memaklumkan kawasan pencarian hingga hari ini sudah seluas 254, 000 kilometer persegi.


Kehilangan pesawat MH370 memang sangat misteri. Pencarian pesawat  MH370 yang hilang oleh pakar aviasi memerlukan dedikasi yang teramat tinggi dan perbelanjaan ratus juta dolar memandangkan insiden ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kenyataan ini dibuat oleh seorang saintis bertaraf dunia, David Mearns menerusi temuramahnya dengan China Central Television (CCTV) pada Sabtu lepas.







Kita menghargai kerjasama antarabangsa dalam menyelesaikan isu ini.  Kita turut merasai kepiluan yang menyelubungi keluarga mangsa tragedi namun sebagai orang yang beriman kita harus menerima takdir kerana kecanggihan teknologi tidak dapat menandingi kudrat dan iradat Allah SWT.  Setiap kejadian yang berlaku sudah tertulis sebagaimana firmanNya yang bermaksud, “ Dan tiada sesuatu perkara yang ghaib di langit dan di bumi, melainkan tertulis dalam Kitab yang terang nyata. (Surah An-Naml 27:75)  Juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid telah melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab. 



Provokasi media asing yang timbul ekoran pelbagai spekulasi berhubung isu ini akan memberi kesan kepada hubungan diplomatik dan ekonomi antara Malaysia dan negara luar. Firasat sesetengah pihak mengatakan ada sesuatu yang tidak beres. Andaian empat faktor kehilangan pesawat ini pula ialah kemungkinan pesawat dirampas, sabotaj, masalah psikologi penumpang serta anak kapal dan masalah peribadi mereka. FBI turut dilaporkan akan melengkapkan analisis data daripada  “flight simulator X”, “flight simulator 9” dan “X flight 10” milik Kapten Zaharie. Orang ramai turut tertanya-tanya adakah tiga jenis permainan penerbangan yang didapati telah dipadamkan pada 3 Februari itu mengancam keselamatan negara? Semoga semua persoalan ini dapat dikupas dengan begitu teliti, telus, rasional dan saksama. Hanya doa menjadi senjata ampuh agar Yang Maha Esa memberi kita kesempatan untuk memperbetulkan apa yang khilaf.  Namun demikian, ini bukan waktunya untuk kita menuding jari menyalahkan mana-mana pihak meskipun ada menyifatkannya sebagai kehilangan yang dirancang sebaliknya bersikap rasional dan sama-sama berdoa agar usaha semua pihak menemui penyelasaian terbaik.  Jangan berhenti berdoa. Semoga misteri ini akan segera terungkai.

Monday, March 24, 2014

REBUT LIMA SEBELUM LIMA


24 Mac 2014 / 22 Jamadil Awal 1435

Peringatan untuk diri:

Hari ini kita kehidupan kita penuh cabaran. Kita dikelilingi seribu satu macam kecantikan dan keindahan dunia sehingga kita terlupa untuk memikirkan banyak bekalan untuk dibawa mati.  Kita terpesona lalu alpa dengan amanah yang sepatutnya kita tunaikan terhadap Pencipta yang memberi kita limpahan rezeki dan umur panjang.  Panggilan Tuhan yang sering lambat disahut tetapi lebih bersegera untuk menjawab mesej yang ada di peti masuk.  Tuhan ... ampuni kami kerana kelalaian kami.

Sama-sama kita persoalkan bagaimana keadaan kita pada hari ini? Apakah hati kita sudah
sama seperti Ta’labah atau selama ini dibuai kenikamatan dunia? 
Sama-samalah kita insafi betapa banyaknya masa yang kita telah bazirkan dengan hiburan dunia, betapa sedikitnya masa yang kita luangkan untuk menggapai keredhaan Allah.




Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak berganjak langkah kaki seseorang hamba pada hari pembalasan kelak sehingga mereka ditanya empat soalan iaitu umurnya ke mana diperuntukkan, usia muda ke mana dihabiskan, hartanya dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah diamalkannya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)


Saturday, March 22, 2014

INTEGRITI ITU SOAL HATI

22 Mac 2014 / 20 Jamadil Awal 1435

TROLAK, 22 Mac - Warga pendidik disaran agar mengamalkan nilai integriti dalam diri di samping menjadikannnya budaya kerja dalam organisasi. Enam nilai teras integriti yang sepatutnya menjadi amalan individu ialah sifat benar, amanah, telus, bijaksana, bersyukur dan adil sementara setiap organisasi harus membudayakan amalan berdisiplin, mesra, bekerjasama, taat setia, komitmen, ikhlas / jujur, bertoleransi dan bertanggungjawab sebagai nilai teras integriti organisasi masing-masing seperti yang terkandung dalam Pelan Integriti Nasional.

Menurut Rakan Peningkatan Sekolah ( SIP), Haji Mohd Kamil bin Abdul Rahman dalam pembentangan kertas kerja beliau bertajuk ‘Pelan Integriti Nasional dan Pembudayaan Integriti dalam Pendidikan’, warga pendidik mempunyai peranan besar untuk mendukung tanggungjawab dan membina modal insan. Sewajarnya setiap warga pendidik mengamalkan sikap baik di samping mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tinggi. Nilai, etika dan integriti sangat penting sebagai amalan individu, organisasi, masyarakat dan negara. Dalam seminar berkenaan, beliau turut menggariskan lima tekad Pelan Integriti Nasional (PIN) sebagai mekanisme menjayakan agenda membudayakan integriti masyarakat Malaysia secara menyeluruh.



Bergambar bersama Rakan Peningkatan Sekolah (SIP) Tn. Hj. Mohd Kamil b. Abdul Rahman 
pembentang kertas kerja Seminar Integriti Warga Pendidik Daerah Batang Padang 2014
Seminar Integriti Warga Pendidik Daerah Batang anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang dan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi zon selatan telah diadakan di Maktab Rendah Sains Mara, Trolak. Seminar ini bertujuan meningkatkan nilai integriti dalam kalangan guru-guru di samping memberi maklumat ke arah memantapkan nilai integriti kepada warga pendidik. Penganjuran seminar ini juga adalah untuk memastikan warga pendidik daerah Batang Padang sentiasa menjadikan nilai integriti sebagai panduan pengurusan kerja. 

Menurut Rakan Peningkatan Sekolah, Haji Mohd Kamil bin Abdul Rahman dalam pembentangan kertas kerja beliau bertajuk ‘Pelan Integriti Nasional dan Pembudayaan Integriti dalam Pendidikan’, warga pendidik mempunyai peranan besar untuk mendukung tanggungjawab dan membina modal insan. Sewajarnya setiap warga pendidik mengamalkan sikap baik di samping mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tinggi. Nilai, etika dan integriti sangat penting sebagai amalan individu, organisasi, masyarakat dan negara. Dalam seminar berkenaan, beliau turut menggariskan lima tekad Pelan Integriti Nasional (PIN) sebagai mekanisme menjayakan agenda membudayakan integriti masyarakat Malaysia secara menyeluruh.


Seminar Integriti Warga Pendidik Daerah Batang anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang dan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi zon selatan telah diadakan di Maktab Rendah Sains Mara, Trolak. Seminar ini bertujuan meningkatkan nilai integriti dalam kalangan guru-guru di samping memberi maklumat ke arah memantapkan nilai integriti kepada warga pendidik. Penganjuran seminar ini juga adalah untuk memastikan warga pendidik daerah Batang Padang sentiasa menjadikan nilai integriti sebagai panduan pengurusan kerja.

Saturday, March 15, 2014

MISTERI HUJUNG JARI

        
15 Mac 2014/ 13 Jamadil Awal 1435

Mengesan Penyakit Melalui Cap Jari

        CAP JARI manusia terbentuk daripada lembah dan sisir yang silih berganti pada permukaan jari tangan.  Ia terbentuk pada awal pembentukan embrio iaitu pada minggu kesembilan belas kehamilan. Sebahagian besar organ tubuh contohnya pankreas juga terbentuk pada masa itu.  

        Menurut Henry Kahn dari pusat pengendalian dan pencegahan penyakit di Atlanta, dengan hanya melihat jari kelingking dan ibu jari seseorang boleh diketahui keadaan oragan bayi dalam kandungan, contohnya tahap pertumbuhan pankreas malah boleh juga diketahui sama ada bayi itu menghidap penyakit diabetis ataupun tidak selepas dilahirkan nanti.

        Di pusat kajian cap jari, menghitung jumlah sisir adalah cara bagi mendapatkan informasi kuantitatif. Pusaran yang besar pada hujung jari biasanya memiliki jumlah sisir yang lebih tinggi. Hasil penelitian Kahn kepada 569 cap jari rakyat Belanda menunjukkan purata perbezaan bilangan sisir antara jari kelingking dan ibu jari orang normal adalah 6.4 sedangkan purata perbezaan bagi pesakit diabetis adalah lebih tinggi iaitu 8.3.


Gambar rajah saraf jari dan tapak tangan
        Kahn melaporkan hasil kajiannya dalam forum berkenaan perkembangan penyakit dan kesihatan jiwa di Toronto, Amerika Syarikat.  Hasil kajian itu dianggap dapat membantu memahami keadaan pertumbuhan awal embrio. Dia yakin pada masa sejumlah faktor informasi mempengaruhi pertumbuhan organ, hal itu juga mempengaruhi pembentukan cap jari.  Bagaimanapun mereka mendapati  musim kehamilan ibu pada musim sejuk, beza cap jarinya lebih kecil berbanding ibu yang hamil pada musim panas. Selain itu, semasa sejumlah bayi belum dilahirkan waktu si ibu berada dalam bencana kelaparan di Belanda antara tahun 1944 hingga 1945, perbezaan musim pada cap jari hilang. Atas sebab itu Kahn percaya pembentukan cap jari dipengaruhi oleh faktor makanan, persekitaran, beban ibu dan beberapa faktor lain.

        Seorang pakar psikologi berbangsa Inggeris, John Manning mengatakan bahawa informasi pada cap jari terlalu padat. Oleh itu, masih sukar diketahui faktor yang menentukannya. Namun, dia beranggapan beberapa faktor informasi dan juga hormon memberikan kesan kepada pembentukan cap jari.

                                    
Misteri Hujung Jari

        Mengapa Allah swt menyebut jari-jemari sebagai contoh kekuasaanNya? Demikian Firman Allah swt dalam Surah al-Qiyamah [75]: 3 - 4 yang bermaksud, "Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih balus dari yang lain)".  Mengapa Dia tidak menyebut anggota tubuh lain? Wallahu a'lam. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Variasi cap jari
Setiap jalur cap jari 
mempunyai DNA tersendiri


        Pasti ada hikmah di sebalik penyebutan jari-jemari tangan. Jari-jemari manusia adalah antara anggota badan yang paling sukar dibina. Susunannya unik dan rumit. Atas sebab itu tidak hairan Allah bercakap berkenaan jari-jemari manusia. Dia mahu menegaskan kepada orang kafir, bukan setakat menghidupkan orang mati, membina bahagian tubuh paling rumit juga mudah bagiNya. Tiada yang mustahil bagi Zat Yang Maha Berkuasa.     

          Cap jari manusia sangat unik. Tiada cap jari yang sama. Itulah sebabnya cap jari dijadikan bahan bukti bagi menentukan identiti penjenayah dan manusia yang hilang.    
Keunikan cap jari membawa kepada penyelidikan berkenaan gen.  Gen ialah unit yang memprogramkan manusia supaya menjadi unik dan berbeza-beza. Cap jari menyerupai satu segmen di dalam gen yang memuatkan nukleotida dengan corak yang berulang-ulang.  Nukleotida ialah sebatian kimia yang terdiri daripada tiga bahagian iaitu bes heterosiklikgula dan satu atau lebih kumpulan fosfat. Nukleotida merupakan unit struktur RNA, DNA dan beberapa kofaktorCoAflavin adenina dinukleotida,flavin mononukleotidaadenosina trifosfat serta nikotinamida adenina dinukleotida fosfat. Dalam sel mereka mempunyai peranan penting dalam metabolisme dan pengisyaratan. 

        Cap jari manusia terbentuk semasa proses pembentukan kulit. Bahagian kulit yang menjadi cap jari memiliki gen pengatur khas yang hingga kini masih menjadi tanda tanya mengapa cap jari memaparkan corak berupa garis-garis yang berbeza-beza? Besar kemungkinan walaupun kajiannya belum sahih, gen cap jari adalah gen yang khusus tetapi gen yang menentukan cap jari hingga sekarang belum diketahui. Namun, ia tidak lebih daripada satu gen disebabkan perbandingan daripada beberapa gen yang menimbulkan variasi. Misalnya, ada dua gen menghasilkan dua garis lurus tetapi ada melibatkan lebih daripada dua gen sehingga menghasilkan dua garis lurus dan ada bengkoknya.  Variasi terjadi disebabkan wujudnya interaksi antara gen. Wallahua'lam.

       Pemetaan atau pencetakan cap jari DNA forensik digunakan buat pertama kalinya di British pada tahun 1986. Mangsa pertama ialah Colin Pitchfork yang didakwa memperkosa dan membunuh dua orang gadis belasan tahun. Selepas berjaya dalam kes ini, kaedah pemetaan cap jari DNA digunakan di seluruh dunia bagi menyokong pembuktian pelbagai kes jenyah dengan bahan bukti DNA. Mengapa menggunakan cap jari DNA? Sebenarnya, struktur kimia DNA setiap orang memiliki persamaan. Yang berbeza hanyalah turutan ataupun susunan dari pasangan bes yang membentuk DNA itu. 

        Ada jutaan pasangan bes terkandung dalam DNA setiap manusia. Berdasarkan perbezaan urutan ataupun susunan bes-bes dalam DNA, identiti setiap manusia dapat dikenalpasti. Namun demikian, disebabkan ada jutaan pasangan bes, kerja itu memerlukan tempoh masa yang panjang. Sebagai alternatif, para pakar menggunakan kaedah yang lebih pantas iaitu berdasarkan corak pengulangan turutan di dalam DNA setiap manusia. Bagaimanapun, corak ini tidak dapat memberikan cap jari secara individu sebaliknya lebih kepada proses penentuan sama ada dua sampel DNA yang dianalisis berasal daripada orang yang sama ataupun orang yang ada hubungan kekeluargaan. Para pakar menggunakan sejumlah kecil deretan DNA yang diketahui bervariasi antara individu lalu menganalisisnya bagi memperoleh tahap kesesuaian tertentu.





Rujukan:
Mohd Sodikin Rahman (2013). Misteri Keajaiban Dunia. Johor Bahru: Pustaka Azhar

http://en.wikipedia.org/wiki/Nucleotide

http://ms.wikipedia.org/wiki/Nukleotida







       

Tuesday, March 11, 2014

Anak Permata Hati

11 Mac 2014 / 9 Jamadil Awal 1435

          Semua pasangan yang sudah berkahwin tentu ingin menimang cahaya mata.  Rumah sunyi tanpa hilai tawa dan tangis anak kecil.  Perkahwinan dikatakan sempurna jika ada anak-anak yang menjadi penyeri rumahtangga yang dibina.  Pada hari perkahwinan, ucap selamat juga tak pernah tinggal dengan mendoakan agar pasangan memperoleh jodoh yang berkekalan ke akhir hayat dan cepat menimang cahaya mata.  
          ANAK anugerah dan nikmat terbesar daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Mutiara hati bagi pasangan ibu bapa ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan berlipat ganda jika mereka dididik dan dibentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh. Sebaliknya, jika mereka diabaikan tidak mustahil akan menjadi anak yang terbiar dan pada masa depan menjadi sampah kepada masyarakat serta negara. Justeru, memiliki anak yang salih serta baik budi pekerti menjadi impian setiap ibu bapa dan keluarga. Contohnya, kisah Nabi Zakaria yang sudah lanjut usia tetapi belum dikurniakan anak untuk menjadi pewaris keturunannya. Lalu Nabi Zakaria memohon dengan berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan anak yang soleh.
          Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Surah Ali-Imran, ayat 38).  Anak kita sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih daripada sebarang kekotoran zahir ataupun batin. Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan mereka menjadi insan berjaya ataupun tidak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
         Menurut Islam memberi pendidikan kepada anak hendaklah dimulakan sejak awal lagi kerana pada usia sebegini segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka. Ibnu Sina berpesan, katanya: “Ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai yang buruk.”


         Rasulullah SAW menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak iaitu anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang. Tahap Kedua, anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab. Tahap ketiga (15 hingga 21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan syariat.  Tahap keempat (usia lebih 21 tahun), hendaklah ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat supaya segala tindakan mereka terkawal. 
         Ibnu Khaldun membahagikan tujuan pendidikan kepada anak dalam tiga bentuk iaitu mempersiapkan anak dari segi keagamaan, akhlak dan pemikiran. Ibu bapa tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan beranggapan kita sudah menunaikan kewajipan dan hak anak apabila mereka dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan mereka hidup tetapi memastikan mereka mempunyai prinsip teguh dan jati diri yang kuat. Oleh itu, pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia penting untuk membantu mereka berdepan cabaran masa akan datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak kita mudah terpengaruh pelbagai pemikiran hingga sanggup menggadai prinsip kehidupan mereka.
          Memelihara anggota keluarga daripada ancaman neraka tidak bererti mencegah mereka daripada maksiat. Kita juga mesti bersikap aktif mendidik dan menerapkan nilai murni dalam diri mereka sebagai kubu yang dapat menepis serta menapis pengaruh sekitar yang penuh mencabar.
           Pada musim cuti sekolah, ibu bapa hendaklah mengambil peluang ini mengatur program bermanfaat buat anak seperti menghadiri kem ibadah serta motivasi yang dianjurkan pelbagai pihak. Rancanglah sesuatu supaya cuti sekolah dimanfaatkan sebaiknya. Jangan biarkan mereka sendiri yang menguruskan masa cuti tanpa sebarang pemantauan atau panduan kerana mutiara hati ini sebahagian daripada amanah Allah SWT yang akan dipersoalkan di akhirat nanti.

Monday, March 10, 2014

Lima macam dosa yang tidak ada tebusannya

10 Mac 2014 / 8 Jamadil Awal 1435

Bersama-sama membentuk peribadi Muslim yang sejati. Jauhi lima macam dosa yang tiada tebusannya.