Powered By Blogger

Monday, November 26, 2012

Hujan dan Kesesakan di Lebuh Raya

      Ketika saya menulis di blog ini, sudah satu jam saya berada di rumah sekembalinya dari mesyuarat bersama-sama En. Mohd Aris, Hj. Noor Azman Shah, Wan, Shahrul, Pn. Salmiah, Pn. Mariana, Pn. Zarina, CIk Rupini, Pn. Yosha.dan Pn. Siti Aishah di SMK Sentosa, Kampar. Kami bermesyuarat dah tiga hari sejak 24 November lepas. Sejak pukul 3.00 petang tadi hari dah mula gelap dan kemudiannya hujan renyai-renyai dan beransur lebat apabila saya dah masuk Lebuh Raya Utara-Selatan. Masuk Plaza Tol Tapah hari mula hujan dan makin lebat apabila sampai Bidor.  Saya masuk plaza tol kerana tak mahu mengekori lori tambahan pula hari hujan dan beberapa meter jalan Bidor-Sungkai yang teruk.  Memang membosankan apabila sampai di situ.

         Sebaik sahaja dapat memotong lori yang panjang dengan muatan berat, saya berasa lega. Malangnya terpaksa membatalkan niat keluar di Plaza Tol Sungkai kerana kesesakan di hadapan. Kenderaan dah berderet panjang di kedua-dua lakuan ke selatan lebuh raya. Seperti tak bergerak langsung. Saya mengagak, mungkin ada kemalangan. Tak mungkin polis trafik buat sekatan jalan raya.  Oleh sebab dah hampir sampai susur keluar ke Plaza Tol Bidor, saya membelokkan kereta untuk memasuki plaza tol sahaja. Bayar tol cuma RM2 sahaja.  Malas nak singgah di mana-mana langsung pulang ke rumah.

         Sampai di rumah saya mengeluarkan bakul yang berisi baki bekalan yang dibawa pagi tadi. Ada tiga keping roti canai yang dah sejuk (kata Siti Aishah, kalau masuk microwave panaskan balik, sedap ni!), kuih cucur badak, cekodok durian, kuih lapis dan kuih seri muka.  Sedap juga makan masa hujan ni.  Air nescafe dah siap dibancuh. Nak minumlah...

          Tugasan hari ni dah selesai.  Ada masa lebih kurang 20 hari untuk menyiapkan tugasan wajib tahun ni.  Apapun, saya perlu tunaikan amanah ni dengan sebaik-baiknya seperti kawan-kawan saya tadi tu.  Sekejap lagi atau malam ni saya akan sambung kerja saya. Sekarang nak rilekskan kepala supaya kembali 'mood' yang lebih baik.  Biarpun sekarang hujan masih agak lebat dan tak tahu bila nak berhenti, kewajipan itu tetap akan dilaksanakan.  Dah ada kerja ni, kurang sikit bosan tambahan pula Sarah, Afiq dan Sofia dah balik ke Shah Alam.  Apapun, syukur alhamdulillah kerana hampir dua minggu di sini saya dah dapat memberi keriangan kepada mereka bertiga. Makan di Pizza Hut, Dunkin Donat, beli peralatan melukis, beli peramainan dan bawa jalan2.  Yang belum sempat bawa dema bercuti ke Melaka. Betul la kata orang, budak2 cepat ingat dan menuntut janji. Bila agaknya nak pergi Melaka ni???

Saturday, November 10, 2012

Musim hujan, Musim durian dan Kerabu Taugeh

      Musim hujan masih belum reda.  Sejak bulan Oktober hujan lebat berterusan di sesetengah negeri menyebabkan mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir tak tenang fikiran. Kasihan mereka! Johor, Selangor dan Perak adalah antara negeri yang teruk dilanda banjir, Kalau di Perak, tempat yang kerap dilanda banjir ialah di kawasan Hilir Perak antaranya Changkat Jong.  Sehari sebelum saya menghadapi Peperiksaan STPM di SMK Seri Perak, Teluk Intan, saya dan kawan-kawan di rumah sewa sempat 'bermain' air banjir. Tangkap gambar buat kenangan! Masa tu tuan rumah kami yang kami panggil Makcik Wan tak ada di rumah  kerana berada di rumah anaknya di Parit Buntar.  Mujur juga rumahnya dua tingkat, tingkat bawah untuk memasak dan makan manakala tingkat atas bilik tidur dan tempat kami belajar.  Ketika air belum surut, kami semua malas nak turun bawah sebab banyak ulat air, Takut ular pun ya!

     Saat blog ini ditulis, banjir di  Perak dan Negeri Sembilan pulih sepenuhnya dan semua mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan pulang ke rumah masing-masing malam Jumaat.  Menurut laporan portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula, kesemua 134 mangsa banjir di Perak dan 34 di Negeri Sembilan telah pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan banjir di kawasan tersebut telah reda. Mangsa banjir di pusat pemindahan di Selangor pula berkurangan kepada 878 orang berbanding 983 petang semalam, setelah 105 orang pulang ke rumah masing-masing  (Berita dipetik daripada MStar Online, Sabtu 10 November 2012)

      Sekarang keadaan masih lagi mendung, Nak buat apa-apa kerja atau nak ke mana-mana perlu keluar pada waktu pagi.  Walaupun hujan, tanah basah, keadaan sekeliling yang lembab , saya perlu juga keluar mencari durian yang gugur. Walaupun belum 'gegak' tapi rezeki Tuhan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja untuk santapan tupai atau babi hutan.  Tengah hari tadi, dapatlah enam biji buah durian yang berbau harum dan masih elok buahnya. Syukur alhamdulillah. Selepas menolong emak memeriksa pokok asam gelugurnya, saya turun ke lurah nak tengok kalau-kalau ada buah durian yang luruh. Tak ada!  Naik semula ke atas.  Dah menebas-nebas dan mengambil bungan kantan, mak suruh saya naik ke rumah.  Oh ya, tiba masanya saya memasak.  Saya cuma memasak kanji (ala-ala McDonald) dengan tambahan lobak merah, kentang dan udang rasanya lebih enak dan menyelerakan.  Siap kerabu taugeh resipi opah Ramnah. Nampak mak berselera makan. Ayah makan nasi dengan gulai lemak ikan pari.  Sedang memikirkan apa pula nak masak untuk juadah minum petang.  Musim cuti sekolah ni, memang masanya la untuk saya melayani selera makan ahli keluarga saya terutama mak dan ayah.  Kalau hari bekerja memang tak sempat nak buat itu... ini... tapi musim cuti sekolah mereka perlu diberi keutamaan.

      

Monday, November 05, 2012

Menangis Itu Penawar


      Menangislah ...kerana menangis juga penawar. Kajian yang dijalankan di Jepun  mendapati kesihatan pesakit reumatisme (sering berasa sakit sebelum hujan, sengal di bahagian sendi atau seluruh bahagian badan) yang membiasakan diri menangis bertambah baik dalam masa setahun.  Daya tahan mereka juga meningkat apabila dibandingkan dengan mereka yang tidak membiasakan diri menangis.


Wanita dikatakan menangis 47 kali setahun manakala lelaki 7 kali (Gambar hiasan)

Reumatisme dilaporkan mendahului senarai penyakit tulang (Gambar hiasan)
      Menangis juga ada hubungkait dengan hormon kortisol. Hormon ini terhasil daripada kelenjar adrenal yang terletak pada buah pinggang kita. Hormon kortisol terlibat secara langsung dalam metabolisme lemak. Jika ia berlebihan atau berkurangan maka lemak akan berkumpul. Hormon ini juga mustahak dalam penghasilan tenaga tubuh kita. Jika berkurangan atau berlebihan tenaga tidak dapat terhasil dengan baik. Justeru hormon kortisol harus berada pada tahap optimum bagi seseorang itu memperoleh tubuh badan yang langsing serta tahap kesihatan yang baik.  

      Masalah obesiti selalunya disebabkan hormon kortisol yang berlebihan yang boleh menyebabkan mereka sukar menurunkan berat badan. Kortisol yang tidak seimbang sering mengganggu tindakan hormon lain seperti hormon tiroid, hormon estrogen, hormon progesteron dan lain-lain lagi. Hal Ini kerana hormon saling bertindak secara sinergistik. Kesan berlebihan atau ketiadaan satu hormon akan mengganggu tindakan hormon lain. 

      Kajian juga mendapati hormon kortisol tidak bertambah apabila bayi menangis dalam pelukan ibu ataupun pengasuh yang menyayanginya sepenuh hati.  Hal ini kerana bayi itu berasa selamat dan memperoleh kasih sayang.

      Kajian yang dijalankan di negara matahari terbit itu juga mendapati bahawa tangisan adalah satu daripada cara untuk membuang radikal bebas daripada badan. Selain itu, menangis juga adalah bentuk penyerahan diri seorang mukmin kepada Penciptanya. Menangis kerana takut atau merindui Allah adalah kebiasaan orang soleh. Keheningan malam mendekatkan diri seorang hamba kepada Tuhannya.  Rasulullah turut menyarankan agar kita bangun malam dan menangis memohon keampunan Allah.

Rujukan:


1. Dr. Mohammad Ali Toha, 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah, hlm. 36