Pokok
susun kelapa atau Tabernaemontata divaricata dikategorikan sebagai
tumbuhan renek yang sederhana tinggi dan tumbuh setinggi dua meter. Pokok ini
mempunyai silara yang rimbun, daun yang berkilat, dan berbentuk bujur serta
meruncing ke hujung. Susun kelapa tidak memerlukan penjagaan yang rapi dan
berbunga sepanjang tahun. Tumbuhan renek ini sesuai ditanam di tempat terbuka
dan lazimnya dijadikan tanaman hiasan atau tanaman pagar.
Selain
ditanam untuk tujuan perhiasan, susun kelapa juga mempunyai banyak kegunaan
dalam perubatan tradisional. Jus daripada bahagian daun yang ditumbuk digunakan
bagi melegakan batuk. Getah putih yang diperoleh daripada bahagian daun
dipercayai dapat menyejukkan badan dan mengurangkan bengkak pada luka.
Dalam
bidang mikrobiologi, ekstrak berakues, etanol, dan metanol daripada daun pokok
susun kelapa dapat merencatkan pertumbuhan bakteria seperti Staphylococcus
aureus, Streptococcus agalactiae, Streptococcus uberis, dan Escherichia
coli.
Kajian
lain yang dilakukan ialah kesan ekstrak tumbuhan ini dalam mengatasi masalah
kegemukan. Ekstrak metanol daripada bahagian daun susun kelapa didapati berjaya
menurunkan berat badan pada tikus obes. Palam kajian antidiabetic pula.
mendapati bahawa pemberian rawatan menurunkan aras glukosa di dalam darah tikus.
Selain
jtu, ada kajian awal untuk melihat kesan ekstrak daripada bahagian akar pokok
susun kelapa terhadap tekanan darah dan degupan jantung haiwan makmal. Penyelidik
di Thailand mendapati
ekstrak etanol daripada bahagian akar pokok ini merendahkan kadar denyutan
jantung dan menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik pada jantung tikus
kajian.
Dalam kajian lain, ahli sains juga mendapati bahawa
pemberian ekstrak metanol daripada bahagian bunga pokok susun kelapa dapat
mengurangkan risiko kejang otot atau pengecutan anggota badan tikus kajian.
Satu lagi kajian dijalankan untuk membuktikan kegunaan pokok
susun kelapa dalam mengubati sakit perut. Kajian tersebut menunjukkan bahawa
tikus kajian yang dikawal dengan sediaan ekstrak metanol daripada bahagian
bunga susun kelapa mengurangkan masalah saluran gastro usus.
Selain itu, ekstrak daripada bahagian daun pokok susun
kelapa berkesan dalam mengurangkan kandungan atau bilangan radikal bebas di
dalam badan. Sudah tentu pokok ini juga dapat digunakan sebagai sumber
antioksidan semula jadi dalam bidang pemprosesan makanan, kesihatan, dan
perubatan.
Pokok susun kelapa sering dijadikan tanaman hiasan di taman
awam dan kawasan perumahan. Orang ramai terutama kanak-kanak perlu berhati-hati
kerana getah putih yang dihasilkan daripada pokok ini bersifat menghakis dan
menyebabkan kegatalan pada kulit sensitif.
Selain itu, bahagian akar dan daun susun kelapa mengandungi
bahan kimia yang meninggalkan kesan keracunan yang lazim seperti loya, muntah,
dan sedikit menggigil. Jika terkena pada dos yang tinggi, getah susun kelapa
ini menyebabkan seseorang itu mengalami halusinasi, penurunan tekanan
darah, lemah denyutan nadi sehingga berlaku kegagalan fungsi jantung, sawan,
lumpuh anggota badan, dan kegagalan fungsi pernafasan.
Penemuan saintifik ini membantu kita untuk memahami tumbuhan
ubatan di sekeliling kita. Diharapkan ada lebih banyak penemuan baharu pada
masa akan datang yang dapat memberikan pelbagai manfaat kepada semua lapisan
masyarakat.
Sumber:
"Susun Kelapa antara Penawar dengan Racun" ,
Dewan Kosmik, Mac 2013)